WANITA dan tudung memang tak dapat dipisahkan, malah hanya golongan Hawa saja yang faham kenapa mereka membeli berhelai-helai tudung yang warnanya sama di mata orang lain tetapi tidak bagi mereka. Disebabkan tudung ibarat 'teman' akrab wanita yang tidak boleh disentuh sesiapa terutama selepas diseterika, kain yang digunakan untuk menutup aurat ini sering menjadi punca pergaduhan kecil khususnya suami isteri. Perkongsian seorang bapa tunggal dikenali sebagai Muhammad Firdaus Ngah Said di aplikasi Threads mengenai tudung ternyata mencuri perhatian ramai. Kongsi lelaki ini, selepas isterinya meninggal dunia, dia mengemas dan menyerahkan tudung arwah kepada ibu saudaranya di kampung bagi tujuan agihan. Selepas agihan dibuat, ibu saudaranya menghantar mesej kepadanya memaklumkan bahawa penerima di kampung seronok diberikan tudung-tudung berkenaan. Seorang wanita boleh memiliki lebih 100 koleksi tudung. -Gambar hiasan “Hari tu aku packing tudung-tudung arwah isteri masuk dalam karung, aku beri pada ibu saudara di kampung dan minta tolong agih pada siapa yang nak. “Ibu saudara kemudian memberitahu penerima seronok betul dapat (tudung). Alhamdulillah," tulisnya di media sosial. Apa yang mencuit hati, disebabkan perlu mengemas pakaian milik arwah isteri, dia mula mengenali jenis-jenis tudung. Jika selama ini dia mungkin hanya pernah mendengar tentang tudung bawal, kini dia sedar rupa-rupanya terdapat banyak jenis lain yang dijual di pasaran. Cara lelaki ini bercerita dengan menyebut beberapa jenis dan material tudung membuatkan ramai terhibur serta mengundang pelbagai reaksi warga maya. ARTIKEL BERKAITAN: Suami nak sedekah tudung, pinggan mangkuk arwah isteri... Nanti dulu, ini huraian lengkap Ustaz Azhar Idrus ARTIKEL BERKAITAN: Sedap kritik influencer pakai tudung nampak leher, lupa diri sendiri pun tak jaga aurat pakai seluar atas lutut “Lepas tu baru aku tahu selain ada nama bawal, shawl dan sarung, ada juga kulit jagung (corn skin) serta instant shawl. “Nippon, kapas, satin, lycra dan lain-lain," katanya, sambil menambah tudung berkenaan diagihkan kepada penduduk sekitar SK Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak. Perkongsian lelaki ini turut mendapat reaksi pelayar wanita. "Shawl, corn skin ke kulit jagung tu? Lepas tu baru aku tahu selain ada nama bawal, shawl dan sarung, ada juga kulit jagung (corn skin) serta instant shawl. FIRDAUS “Pada awal baca macam emosi juga, tapi tiba part shawl tu, alahai, terima kasih sebab bahagiakan mereka yang dapat merasa shawl bawal dan lain-lain juga. “Barang-barang arwah suami saya pula diberikan semua pada orang, yang tinggal kenangan hanya sehelai kemeja dan seluar. “Wah, Daus lagi tahu nama-nama tudung dari perempuan. Alhamdulillah, semoga pahala mengalir kepada arwah isteri hendaknya. “Alhamdulillah mengalir pahala arwah bila orang guna tudung dia,” demikian antara komen warganet. Hukum faraid bukan hanya melibatkan harta seperti rumah, duit dan tanah tetapi juga pakaian dan kelengkapan diri. -Gambar hiasan Dalam pada itu, sebagai umat Islam, kita wajib mengambil tahu tentang hukum faraid selepas kematian pasangan. Memetik laman sesawang Jabatan Mufti Terengganu, semua harta atau benda yang dimiliki oleh si mati semasa hidup menjadi harta pusaka kepada pewarisnya yang masih ada, sama ada harta tersebut diperoleh secara langsung atau tidak. Pewaris seperti ibu, bapa, isteri atau anak-anak si mati berhak mewarisi kesemua harta peninggalan si mati mengikut pembahagian yang telah ditetapkan. Sekiranya barang tersebut mempunyai nilai dan berharga, perlulah diisytiharkan kepada semua waris yang berhak untuk dinilai semula. Namun, jika barang tersebut tidak mempunyai nilai dan hanya boleh dipakai untuk kegunaan harian maka bolehlah sekiranya ada di antara ahli waris yang mahu menyimpan atau menggunakan barang tersebut tanpa dinilai atau dibahagikan secara faraid dengan syarat mendapat keizinan ahli waris. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube