suria

Terjumpa kertas tulisan tangan arwah suami selepas 5 bulan meninggal... Isteri baru habis berpantang dedah pesan terakhir

Natrah berkongsi kisah penemuan kertas tulisan tangan arwah suami.

PEMERGIAN insan tersayang adalah perkara yang paling ditakuti bagi setiap individu.

Bukan mudah untuk menerima takdir itu, hanya gambar-gambar dan barang-barang peninggalan seperti baju arwah sahaja yang dapat dijadikan pengubat rindu.

Tanpa diduga, seorang wanita terjumpa sekeping kertas dengan tulisan tangan arwah suaminya yang kemudian dikongsikannya di laman sosial.

“Buat sayangku Siti Natrah, jangan nangis-nangis tau. Saya sayang awak, rindu awak,” demikian menurut mesej yang ditulis tangan itu.

Pesanan yang ditulis arwah suami.

Berkongsi cerita, Siti Natrah Ahyat berkata, suaminya, Allahyarham Zulfadililah Mohd Zain meninggal dunia pada 8 Ogos tahun lalu akibat penyakit saluran darah ke jantung tersumbat.

Lebih memilukan, pemergian suaminya yang ketika itu berusia 30 tahun hanya tiga hari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya pada 5 Ogos dan sedang hamil anak kedua.

“Kertas tulisan arwah saya jumpa ketika kemas beg-beg lama di bilik tidur, awal bulan lalu. Kertas tu tersorok dalam zip kat bahagian dalam. Pada mulanya, saya ingatkan kertas resit-resit lama.

“Saya nak buang, tapi tergerak hati nak buka kertas tu dan saya tak tahu dan tak ingat arwah suami ada tulis kat situ. Mungkin dia tulis dan letak dalam beg saya,” katanya kepada mStar.

Natrah dan suami berkahwin pada Disember 2018.

Wanita berusia 32 tahun itu mengakui terkejut menemui kertas tulisan tangan suaminya kerana secara kebetulan ketika itu dia amat merindui arwah.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri 10 hari! Tak banyak kenangan tercipta, tak sempat bulan madu... solat bersama arwah suami jadi memori terindah

ARTIKEL BERKAITAN: Saat berpantang hari ke-25 suami dijemput Ilahi, wanita ini tak sangka dapat ‘hadiah’ lebih 700 foto kenangan... 3 gambar paling menyentuh hati, nampak real!

Tambahan pula kata Natrah, dia baru saja melahirkan anak keduanya dan pemergian arwah suami sememangnya amat dirasai.

“Saya baru lepas bersalin, jadi selalu terbayang suami ada tolong jaga anak-anak. Masa jumpa kertas tu, saya menangis sebab dapat rasakan waktu tu arwah suami macam tahu saya tengah sedih dan terlalu rindukan dia.

“Mungkin sebab itu Allah gerakkan hati saya untuk buka beg lama yang sudah setahun saya tak guna,” ujarnya sambil menambah anak keduanya dilahirkan pada akhir Disember lalu dan baru habis tempoh berpantang.

Kenangan... Natrah (kanan) dan anak pertama (tengah) bersama arwah suami.

Menurut Natrah yang merupakan anak kelahiran Terengganu, suaminya suka menulis dan kertas yang dijumpai itu hanya kertas biasa mungkin dari buku kerja arwah.

“Arwah suami mungkin tulis beri semangat masa saya kehilangan arwah ibu pada 2019, ketika itu saya hamil anak pertama dan selalu menangis selepas kehilangan ibu,” katanya.

Saya baru lepas bersalin, jadi selalu terbayang suami ada tolong jaga anak-anak.

SITI NATRAH AHYAT

Mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2018, wanita ini menyifatkan arwah suaminya sebagai penyayang dan rajin membantunya membuat kerja-kerja rumah.

“Arwah suami selalu siapkan kerja kerja rumah sebelum ke tempat kerja seperti menjemur baju dan mandikan anak kami. Paling tak dapat lupakan adalah semua kebaikan arwah, dan arwah dulu selalu ajar saya untuk sentiasa bertenang dan memaafkan sesiapa yang menyakitkan hati kami,” katanya.

Natrah memangku anak keduanya di pusara arwah suami.

Natrah berkata sehari sebelum meninggal dunia, suami baring di hadapannya selepas solat Maghrib dan meninggalkan satu pesanan yang tidak disangka-sangka.

“Arwah suami kata kalau dia meninggal dunia, dia mahu saya mandikan jenazahnya dan jangan tinggalkan dia. Arwah tak pernah sakit atau mengadu sakit, dia meninggal mengejut dalam tidur.

“Sebelum tidur kami masih bergurau macam biasa. Selepas dua jam tidur, arwah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya dan anak pertama kami yang kini berusia lima tahun.

“Alhamdulillah saya dapat mandikan jenazah arwah dan tidak meninggalkannya keseorangan sehingga urusan pengebumian... anak kedua saya ini lahir pada tarikh sama kami nikah iaitu 21 Disember,” katanya.

Dia kini membesarkan dua anaknya tanpa kasih seorang bapa, namun bersyukur mendapat sokongan keluarganya dan famili arwah suami.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain