suria

Kecewa sekotak limau kena kongsi 3, pekerja doa syarikat lingkup... Rupanya ada isu terbuku di hati - “Orang tak ada dekat kasut kita”

Seorang pekerja merungut dengan pemberian sekotak limau daripada majikannya.

BUAH limau mandarin yang dihidangkan pada setiap kali tibanya Tahun Baru Cina merupakan simbolik memberi tuah atau membawa nasib baik kepada masyarakat Tiong Hua.

Selain dihidangkan kepada tetamu pada hari perayaan, sesetengah syarikat turut memberikannya kepada para pekerja sebagai buah tangan.

Kebiasaannya diberikan dalam bentuk pek atau kotak, namun menerusi video yang tular di media sosial, seorang pekerja terkilan dengan pemberian limau daripada majikannya.

Limau mandarin menjadi kegemaran ramai. -Gambar The Star

Rakaman itu menunjukkan pekerja berkenaan membuka sebuah kotak yang mengandungi kira-kira 24 biji limau di atas bonet sebuah kereta, namun dia kesal kerana terpaksa dibahagikan kepada tiga orang.

“Satu kotak bahagi tiga, mantap punya syarikat. Memang mantap,” katanya berbaur sindiran.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemikiran orang bisnes... dah dibayar gaji, majikan tak perlu lagi belanja staf makan! Bukan kedekut, tapi tanda bijak urus duit

ARTIKEL BERKAITAN: Bos ‘kedekut’ nak bagi staf cuti anak kena Influenza, sekali terkena batang hidung sendiri terus menangis- “Tuhan balas cash depan mata”

Menerusi video berdurasi 38 saat itu kedengaran dia terus mempertikaikan pemberian itu kerana dianggap sedikit jika dibandingkan dengan syarikat tempatnya bekerja yang besar.

“Syarikat besar tapi kena bahagi ni, bahagi tiga. Kotak kecil pula tu. Kalau kotak besar, panjang bonet okay juga bahagi tiga. Besar ni bahagi tiga?

“Anak aku sahaja (makan) setengah kotak. Satu kotak kongsi tiga, aku doakan syarikat lingkup,” katanya lagi.

Sekotak limau dibahagi kepada tiga pekerja.

Susulan video yang tular, pemuda itu dikecam teruk oleh netizen kerana tidak bersyukur dengan pemberian daripada majikan.

Apa yang lebih dikesalkan netizen apabila dia tergamak mendoakan perkara tidak baik buat syarikat tempat dia mencari rezeki hanya disebabkan limau.

“Aku kalau dapat tiga biji pun dah bersyukur sangat. Pernah dapat sekotak tak habis makan sampai buruk jadinya.

Saya ikhlas hati memohon maaf, tak patutlah saya doakan syarikat tu lingkup.

PEKERJA KECEWA

“Inilah pemikiran kolot, bodoh dan sombong. Doakan yang tak elok. Dia lupa syarikat itulah tempat dia cari rezeki,” demikian antara komen netizen.

Menyedari dikecam teruk oleh netizen, pemuda itu tampil memberi penjelasan berhubung isu pemberian limau menerusi video terbaharu yang dimuat naiknya di TikTok.

“Bukan tak bersyukur... saya nak sampaikan adalah dalam video tu yang tauke ni kedekut, bukannya saya tak bersyukur.

“Kita bekerja di bawah dia, macam saya bekerja sebagai operator jengkaut. Kerja saya boleh dikatakan bahaya sebab duduk dalam teres,” katanya yang merujuk kepada keadaan tempat dia bekerja di kawasan tanah datar yang mempunyai ketinggian dan bertingkat-tingkat.

Pekerja itu tampil membuat permohonan maaf.

Mengulas lanjut, dia mahu pihak majikan menghargai mereka yang bertungkus-lumus bekerja untuk syarikat.

“Apa salahnya kalau diberi penghargaan, itu je saya minta. Bukannya saya minta dia hormat saya. Tak dapat bonus tak apa. Kita minta dia hargai kita je sebab kita dah buat yang terbaik.

“Dia minta apa-apa, semua kita buat. Benda yang tak boleh buat pun kita cuba buat walaupun hampir meragut nyawa,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, pemuda berkenaan membuat permohonan maaf di atas kata-katanya yang dianggap menyinggung perasaan ramai.

“Tak apalah, saya mengaku salah saya... saya ikhlas hati memohon maaf di atas apa yang saya buat. Tak patutlah saya doakan syarikat tu lingkup.

“Tapi tak apalah, orang tak ada dekat kasut kita, sebab tu orang pandai cakap je. Yang ada dekat kasut kita je tahu. Sekali lagi saya mohon maaf atas apa yang saya dah buat,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain