suria

Perjalanan cuma 2km, tapi Dr Say ‘bayar’ RM56 naik e-hailing... Terduduk dengar kisah pemandu tua kerja 15 jam, tumpang tidur di madrasah

Dr Say berkongsi pengalaman menaiki kenderaan e-hailing pulang ke rumah.

CAJ tambang perkhidmatan e-hailing sentiasa berubah-ubah dan tidak menentu, terutama mengikut waktu.

Memang bernasib baik jika caj yang dikenakan adalah murah dan berpatutan.

Begitu juga pempengaruh media sosial, Dr Say Shazril yang berkongsi mengenai tambang ketika dia menaiki kenderaan e-hailing untuk perjalanan sejauh dua kilometer (km) hanya berjumlah RM6.

Doktor selebriti itu bagaimanapun bukan mahu bercerita mengenai tambang, sebaliknya tentang pemandu yang menghantarnya dari gim ke kediamannya di Bangsar, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 malam, baru-baru ini.

Dr Say kagum dengan kesungguhan abang Karim mencari rezeki.

Menurut Dr Say atau nama sebenarnya Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, pemandu tersebut berusia lingkungan 60-an dan kelihatan ramah membuka perbualan.

“Dia tanya saya, baru habis gym ke? Saya jawab hari ni sibuk sikit, selalu workout petang.

“Saya tanya, abang mula buat Grab waktu malam ke?” katanya menerusi satu video yang dimuat naiknya di laman sosial.

Berkongsi cerita, pemandu yang mesra disapa abang Karim itu mula mencari rezeki setiap hari seawal pukul 7 pagi bagi menampung kos sara hidup diri dan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak banyak ‘job’, penumpang terakhir ubah nasib! Akak Grab ‘masyuk’ selepas layan baik pelancong Indonesia nak makan Musang King

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Grab dapat durian runtuh! Pelanggan pemurah bagi tip RM500 tunai... Memang rezeki kumpul duit kahwin

Tambahan pula, kata Dr Say, abang Karim menggunakan kereta sewa untuk menjalankan tugasnya dan caj yang dikenakan adalah RM60 sehari.

Kos tersebut tidak termasuk petrol dan caj yang dikenakan oleh syarikat e-hailing, sekali gus dia perlu bekerja membawa penumpang dengan meletakkan sasaran pendapatan minimum RM200 sehari.

Kenderaan e-hailing yang dinaiki Dr Say.

Selepas tolak kesemua caj dan kos, abang Karim memperoleh baki RM40 sehari, yang mana ia digunakan untuk menanggung perbelanjaannya di Kuala Lumpur dan keluarga di Melaka.

“Kalau RM40 darab dengan 30 hari, baru bersamaan dengan RM1,200, di bawah (pelaksanaan) gaji minimum di Malaysia sebanyak RM1,500.

“Untuk dia (abang Karim) dapat RM200 tu, dia selalu bekerja dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam. Terduduk saya, abang Karim kerja 15 jam. Pendapatan di bawah gaji minimum.

“Saya bertanya, kenapa abang tak buat kerja biasa-biasa, sekurang-kurangnya abang dapat minimum RM1,500 tu?” soal Dr Say.

Tolonglah orang di sekeliling kita sekiranya kita ada kemampuan sebab ada orang yang kais pagi makan pagi.

DR SAY SHAZRIL

Mengulas lanjut, abang Karim memberitahu dia sebelum ini merupakan pengawal keselamatan di sekolah, namun diberhentikan kerana faktor usia mencecah 60 tahun.

Abang Karim perlu bekerja untuk menyara isteri dan anak-anak yang tinggal berjauhan, manakala dia hanya menumpang teduh secara percuma di sebuah madrasah dekat Lembah Pantai.

“Masa ni, mata saya mula berlinang. Sampai di destinasi, saya ucapkan terima kasih tak terhingga kepada abang Karim dan perkara terbaik yang boleh saya lakukan adalah memberi tip kepada dia sebanyak yang boleh,” katanya.

Tip RM50 yang diberikan Dr Say kepada abang Karim.

Dr Say turut berkongsi rezeki yang diberikan kepada abang Karim adalah RM50, menjadikan jumlah keseluruhan yang dibayarnya termasuk tip adalah RM56 bagi perjalanan 2km.

“Pengajarannya, tolonglah orang di sekeliling kita sekiranya kita ada kemampuan sebab ada orang yang kais pagi makan pagi.

“Semoga orang-orang macam abang Karim dipermudah segala urusan dan dimurahkan rezekinya. Kalau sesiapa naik Grab dengannya, bermurah hati beri tip pada dia,” katanya lagi.

Di ruangan komen, rata-rata netizen menghargai bantuan Dr Say di samping mendoakan abang Karim dimurahkan rezeki dan dipermudah urusannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain