suria

Ladang sering diserang, lelaki perah otak mahu halang! Akhirnya berjaya atasi kebijakan gajah, tak guna kekerasan

Radio yang dipasang di dalam hutan bertujuan menghalau gajah. -Gambar hiasan The Star (kanan)

BERTANI atau berladang pastinya mempunyai pelbagai cabaran yang perlu dihadapi.

Antaranya serangan haiwan atau serangga perosak yang boleh memusnahkan tanaman dan menyebabkan kerugian besar.

Bermacam teknik yang boleh diaplikasikan golongan peladang untuk berdepan masalah pencerobohan haiwan perosak seperti memasang patung, orang-orang atau menyembur racun kimia.

Namun, melalui satu video tular di TikTok, seorang lelaki dilihat mempunyai idea bernas di luar kebiasaan bagi menghentikan serangan gajah di ladang kelapa sawit miliknya di Kota Tinggi, Johor.

Menerusi video tersebut, lelaki berkenaan dilihat memasang radio yang diubah suai di kawasan sempadan ladang, lengkap dengan kebolehan memainkan pelbagai rakaman siaran.

Bercerita lanjut kepada mStar, Mohd Arfanny Arbin, 33, atau senang disapa Arfan berkata inisiatif tersebut diusulkan selepas kaedah lain untuk menghalau gajah menemui kegagalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Luar biasa kreatif orang Felda Lui! 6 buah kipas siling tergantung tengah rumah elak panas... Netizen cuak takut bumbung terbang

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kembar kreatif buat hal lagi, hasilkan lampu berjurai guna sabut kelapa... Netizen cuak sangka hantu penanggal!

"Ladang yang saya sedang usahakan ni adalah kelapa sawit yang ditanam semula, jadi pokoknya masih kecil. Kalau sekali kawanan gajah tu masuk, dalam 10 ekor, mahu dekat 500 pokok boleh rosak kena pijak.

"Saya dan pasukan ada cuba korek longkang besar di sekeliling perimeter ladang kami untuk halang gajah daripada ceroboh, tapi mereka bijak untuk hakiskan tanah dan lepas juga masuk.

"Selain itu, kami juga ada buat pagar elektrik dengan panjang 14 kilometer (km), tapi itu belum siap sepenuhnya, setakat ni baru siap sembilan kilometer. Dijangka selesai pembinaan menjelang hujung tahun ni.

Kami mula pasang radio ni sejak awal November, dah seminggu lebih berjalan, syukur nampak keberkesanannya.

MOHD ARFANNY ARBIN

"Sementara itu, saya kena rangka perancangan kontigensi bagi menangani masalah gajah, itu yang boleh timbul idea radio ni," jelas Arfan yang merupakan lepasan Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurut Arfan yang merupakan seorang penyelia ladang, berdasarkan pemerhatiannya, gajah adalah sejenis haiwan yang tidak gemar berada berdekatan dengan manusia dan akan melarikan diri jika terdengar bunyi bising.

"Kami perasan gajah ni kalau kami buat rondaan secara beramai-ramai waktu malam, mereka akan lari dan mengelak daripada berjumpa dengan kami.

Kerosakan di ladang kelapa sawit yang diakibatkan oleh kehadiran gajah.

"Jadi kami terfikir, kalau kami boleh hasilkan suasana yang macam sentiasa ada orang di situ, dengan membuat bunyi bising, mungkin gajah tak akan lagi kacau ladang kelapa sawit ni.

"Kami pun mula gerak kerja, kaji dekat point mana dalam sempadan ladang yang gajah ni selalu masuk dan kami pacak radio custome-made dekat situ.

"Alhamdulillah, kami mula pasang radio ni sejak awal November, dah seminggu lebih berjalan, syukur nampak keberkesanannya. Tapi gajah tu pergi ceroboh kawasan lain pula, mungkin kena pacak lebih lagi radio, tengok keadaan" kata Arfan.

Pagar elektrik yang masih dalam pembinaan.

Berkongsikan dengan lebih lanjut mengenai penghasilan radio itu, Arfan berkata dia mendapatkan khidmat daripada kedai kimpalan besi.

"Kami pergi ke kedai besi dan buat konsultasi, cakap kami nak buat radio dengan tujuan sekian-sekian. Jadi mereka buat design untuk kami dan kami pun bersetuju.

"Radio yang dipacakkan ni akan diaktifkan dari petang hingga awal pagi sebab gajah ni aktif pada waktu malam.

"Radio ini dikuasakan oleh tenaga elektrik daripada powerbank. Saya yang akan datang tukar powerbank tu setiap hari ketika rutin rondaan, gantikan dengan powerbank baharu yang sudah dicaj," ujar Arfan.

Longkang yang digali khas untuk menghalang gajah daripada memasuki ladang.

Mengulas mengenai audio yang dimainkan melalui corong radio tersebut, Arfan menjelaskan dia memasukkan rakaman bacaan ayat suci al-Quran dan doa Nabi Sulaiman.

"Kalau tengok dalam video TikTok tu, waktu tu saya tengah test radio, itu yang dengar ada macam-macam lagu dan muzik dibuka secara rawak.

"Tapi kalau waktu malam, radio tu akan pasang ayat al-Quran dan doa Nabi Sulaiman, dengan ikhtiar untuk menghindari binatang-binatang buas daripada datang dekat," kata Arfan menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain