suria

Tak tergamak tipu pelanggan, 100 ekor ayam dihumban masuk tong sampah! Bahan perap berbuih, peniaga rugi RM2,000

Sebanyak 100 ekor ayam terpaksa dibuang demi mengelakkan sebarang risiko kesihatan pelanggan.

UNTUNG dan rugi menjadi lumrah biasa bagi mereka yang terlibat dalam dunia perniagaan.

Begitulah situasi dihadapi pasangan peniaga Ahmad Faizal Abdullah, 28, dan isterinya Noraziah Hasbullah, 30, apabila 100 ekor ayam di kedai mereka di di Mentakab, Pahang, terpaksa dibuang, pada 11 April lalu.

Ketika dihubungi mStar, pengusaha kedai Port Bako-Bako yang popular dengan menu ayam tong itu berkata dia reda dengan apa yang berlaku dan yakin akan aturan rezeki Allah.

ayam tong2

Faizal dan isterinya mula berniaga sejak dua tahun lalu.

"Ayam tu sebenarnya baru saja diambil. Ada kesan lebam pada ayam. Tukang perap dah perasan, tapi dia tak biasa situasi macam tu. Jadi dia kumpul semua ayam dan perap dalam satu bekas.

"Apabila ayam yang dah busuk terendam dengan bahan perap, ayam yang masih elok pun ikut berbau. Kemudian bahan perap jadi berbuih. Terus staf saya tak berani nak bakar.

"Selepas kami periksa balik, ayam memang dah tak boleh pakai. Jadi kami ambil keputusan untuk buang saja. Kalau dikira, rugi dalam RM2,000," ujar bekas pekerja kilang arang itu.

Saya tak berani nak sedekah makanan yang dah tak elok... risiko keracunan makanan boleh bawa kematian.

AHMAD FAIZAL ABDULLAH

PENIAGA

Menurut Faizal, dia yang berkongsi kisah malang itu menerusi TikTok turut menerima pelbagai komen netizen termasuklah yang menyelar tindakannya membuang kesemua ayam itu.

"Memang ada yang bagi cadangan suruh rendam cuka untuk hilangkan bau. Tapi kami tak mahu jual ayam tak elok kepada pelanggan. Kami bukan berniaga sebulan dalam bulan puasa, kami ada kedai dan berniaga sepanjang masa.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi senget kepala peniaga pisang cheese bikin ramai ‘cair’, paling jadi perhatian soalan tentang menu... “Biasa? Biasa maksudnya?”

ARTIKEL BERKAITAN: Termenung tunggu pelanggan di kaki lima... Nasib peniaga Penang berubah selepas viral, nasi lemak RM1 tiba-tiba laris sampai Sarawak

"Kami jaga kualiti. Siapa yang nak rugi kan? Ramai juga yang cakap saya patut sedekah ayam tu kepada orang ramai. Saya tak berani nak sedekah makanan yang dah tak elok. Sebab risiko keracunan makanan boleh membawa kematian," ujarnya.

Tambah Faizal, dia turut menerima cadangan supaya ayam-ayam itu diberi kepada haiwan lain, namun katanya dia tidak mempunyai kelapangan masa kerana sedang sibuk menyiapkan tempahan iftar.

ayamtong4

Port Bako-Bako meriah dengan kehadiran pelanggan.

"Ada yang suruh kami bagi pada kucing. Masalahnya seekor kucing tak mungkin dapat habiskan seekor ayam. Takkan kami nak cari kucing seekor demi seekor untuk bagi makan. Ayam tu ada 100 ekor.

"Ada juga yang suruh bagi pada anjing. Tapi kami tak sempat sebab tengah kejar tempahan lain. Yang suruh beri pada penternak keli pun ada, tapi saya tiada contact penternak keli. Kami pula tengah kejar masa.

"Selain itu, ada juga yang cadangkan supaya saya sedekahkan ayam tu semua kepada zoo. Kat sini mana ada zoo. Cadangan itu bagus, tapi tak kena dengan situasi," ujarnya yang mula berniaga sejak dua tahun lalu.

ayamtong43

Faizal terpaksa membuang ayam-ayam yang berada dalam keadaan tidak elok.

Di sebalik dugaan itu, Faizal berkata dia bersyukur apabila kedainya sentiasa menjadi pilihan ramai dan turut dikunjungi individu dari luar negeri Pahang.

Akhir bicara, Faizal turut menitipkan pesan kepada para peniaga agar sentiasa jujur dan berusaha memberikan kualiti terbaik buat pelanggan masing-masing.

"Pada saya, kalau makanan itu rosak, jangan jual walaupun ada orang kongsi cara untuk hilangkan baunya. Kita kena ambil iktibar kes orang mati keracunan makanan.

ayamtong5

Menu ayam tong yang digemari pelanggan.

"Ada orang guna kaedah macam tu kalau makanan rosak, tapi saya memang tak berani," ujarnya lagi.

Menu ayam tong yang dihasilkan pasangan itu bersama tujuh pekerja mereka dijual pada harga RM26, RM28 dan RM30, mengikut saiz yang tersedia bersama sos istimewa.

Selain itu, kedai tersebut juga ada menyediakan menu-menu lain seperti makanan laut dan sebagainya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!