suria

“Jangan ambil walau RM1” - Anak mengadu Volkswagen dilanggar, ibu beremosi fikir nasib penunggang motor nak bayar ganti rugi

Farhan mendengar nasihat ibunya supaya tidak meminta duit ganti rugi daripada lelaki yang melanggar keretanya.

MESEJ suara di WhatsApp yang dihantar seorang ibu kepada anak lelakinya meraih perhatian netizen.

Farhan Kaswahadi, 24, memuat naik mesej tersebut yang memaparkan ibunya sebak apabila dia memaklumkan bahawa kereta Volkswagen Scirocco miliknya mengalami kemalangan kecil.

Ketika dihubungi mStar, anak jati Terengganu ini menceritakan semula kisah yang berlaku di sebalik video TikTok itu yang tular baru-baru ini.

“Saya dalam perjalanan nak pergi Car Food Sahur untuk bersahur dekat Pantai Batu Buruk. Masa bagi signal nak masuk simpang, ada motor langgar dari belakang.

“Dia tak nampak saya mungkin sebab pakai maskot Mickey Mouse. Dia ‘hentam’ lampu dan bumper kereta. Sikit saja ada kesan calar tapi lampu pecah.

“Selepas langgar dia tanya saya berapa kos ganti rugi. Saya beritahu anggaran RM800 untuk sepasang lampu,” ujarnya yang senang disapa Farhan.

Insiden itu kemudian diceritakan kepada ibunya, Nor Hasimah Sulong, 47, menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik MPV tunjuk reaksi tak disangka selepas ‘soal siasat’ rider langgar keretanya - “Saya dah buat salah, takkan nak lari”

ARTIKEL BERKAITAN: Sampai terkopek cat! Gadis luah rasa terkilan di TikTok, dakwa kenderaan polis langgar keretanya depan Pavilion

Mendengar cerita Farhan, ibunya terus berasa sedih tetapi bukan kerana simpati terhadap anaknya sebaliknya kerana mengenangkan nasib malang penunggang motosikal tersebut yang mencari rezeki dengan memakai maskot.

“Lelaki tu lebih kurang 40an umur dia. Dia ada tunjuk duit seringgit (RM1) je banyak jadi saya fahamlah kalau tak boleh nak bayar ganti rugi sekarang. Dia ada minta nombor telefon saya.

“Saya pun ceritalah apa yang terjadi kepada ibu termasuklah fasal lelaki tunjuk duit RM1 tu. Ibu terus kasihankan dia dan tak bagi ambil duit. Ibu memang hati tisu mudah kasihankan orang.

Farhan dan ibunya.

“Saya pun dari kecil sampai besar tak pernah kena pukul atau rotan dengan ibu. Dia selalu beri pesanan dengan suara lembut macam dalam video yang saya share tu,” ujar Farhan.

Menerusi mesej yang dihantar, dapat didengar suaranya yang sebak dan dalam masa sama tegas menasihati Farhan supaya tidak mengambil wang ganti rugi daripada lelaki itu.

Ibu tak bagi ambil duit. Ibu memang hati tisu mudah kasihankan orang.

FARHAN

Jangan ambil duit orang tu ya. Dengar dia cakap nanti cukup duit pun ibu dah sedih dengar. Nak cukupkan RM200... (cari duit) pakai maskot bang.

Padahal nak cukupkan duit (ganti rugi) tu kita tak tahu makan dia macam mana. Kalau dah berkahwin, susu anak dia macam mana nak boleh cukup RM200.

Duit seringgit-seringgit tu pun punca mata pencarian dia. Nak cukupkan duit bagi kita, (nasib) anak dan isteri dia macam mana. Ni dah la nak raya, nak buka puasa. Tak payah ambillah, abang niat sedekah saja. Ingat pesan ibu,” demikian pesanan ibu kepada Farhan yang bercakap dalam dialek Kelantan

Berikutan kejadian, Farhan yang memiliki bisnes menjual dan baik pulih telefon di Kuala Terengganu menjelaskan bahawa dia tidak akan mengambil walau satu sen pun duit lelaki tersebut sekiranya dihubungi kelak.

Farhan merupakan anak jati Terengganu.

Malah, dia juga sudah menukar sendiri lampu baharu keretanya yang berharga RM800 sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Sehingga kini, hantaran tersebut meraih lebih 460,000 jumlah tontonan setelah disiarkan.

Rata-ratanya memuji ibu Farhan yang dikatakan bertimbang rasa dan mempunyai empati dengan nasib lelaki tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain