suria

Tinggal dalam semak, kanak-kanak miskin sanggup tahan gatal digigit nyamuk teruja ‘jumpa’ McD... lelaki bantu sambil berjurai air mata

Lelaki ini menyerahkan McDonald's kepada kanak-kanak yang tidak pernah berpeluang merasainya.

KETIKA dirasakan hidup kita begitu sarat dengan segala macam kesulitan, nescaya ada insan lain yang lebih berat diuji.

Itulah pengajaran yang diperoleh lelaki ini setelah hampir sedekad bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan kepada kumpulan masyarakat kurang berkemampuan.

Melalui satu video tular di laman TikTok, lelaki itu dilihat menahan sebak ketika sedang menyerahkan bungkusan McDonald's kepada kanak-kanak yang kali pertama dapat menikmati makanan segera tersebut.

Bercerita kepada mStar, Saharuddin Amirullah, 31, berkata dia sering masuk ke kawasan pedalaman di Sandakan, Sabah untuk menyantuni golongan asnaf yang hidup serba kekurangan.

"Kami dekat Sabah ni memang ramai pekerja buruh yang bukan warga tempatan, mereka ini tidak tertakluk di bawah gaji minimum Jabatan Tenaga Kerja Sabah.

"Biasanya gaji minimum yang ditetapkan ialah RM1,700 kan, tapi untuk mereka ni, gaji biasanya dapat bawah RM1,000. Memang tak cukup untuk sara hidup, nak beli lampin bayi dan susu semua.

ARTIKEL BERKAITAN: Tetamu hotel order makanan, walker jalan kaki 7km hantar! Tak buang masa lepas dapat hadiah basikal, terus sambung cari rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: Tak berlengah, Ebit Lew ‘muncul’ hulur bantuan... bawa berkampit-kampit ayam, usahakan cari ‘rumah baharu’ untuk anjing jalanan

"Jadi saya dan pasukan NGO akan ronda ke dalam untuk bagi bakul makanan. Saya selalu jumpa bapa-bapa dan pakcik-pakcik buruh yang baru pulang dari kerja.

"Dari situlah saya jumpa pakcik ni dengan anak-anak dia yang saya berikan McD tu. Saya bagi mereka nugget dan set Happy Meal," kata Saharuddin yang mula berjinak dengan aktiviti NGO melalui program kemanusiaan di masjid kariahnya.

Menurut Saharuddin, ketika memberikan bantuan kepada mana-mana keluarga, dia akan meraikan sekali kanak-kanak dalam isi rumah itu melalui pemberian hadiah.

Pemberian yang kecil je sebenarnya tapi dihargai sebab mereka selalu diselubungi kesusahan.

SAHARUDDIN AMIRULLAH

"Kita selalu berikan bakul makanan yang terdiri daripada makanan ruji, akan digunakan untuk bantu mereka sekeluarga teruskan kehidupan.

"Macam untuk saya, saya lebih suka untuk selitkan pemberian hadiah dalam bantuan tu, contohnya mainan, buku dan McD untuk gembirakan anak-anak mereka, bagi rasa seronok juga kepada anak kecil.

"Tak sangka pula anak-anak itu tak pernah makan McD. Mereka duduk dalam hutan ni biasanya jarang nak pergi ke bandar. Dan bagi mereka McD ini macam premium dan mahal dari makanan segera yang lain.

Saharuddin mengagihkan McDonald's kepada kanak-kanak di kawasan pedalaman.

"Kalau makanan segera yang mereka mampu makan sekali-sekala pun cuma Kentucky Fried Chicken (KFC) waktu hari keramaian macam sambutan hari raya," jelas Saharuddin.

Lebih menyayat hati, menurut Saharuddin, keluarga yang diberikan McDonald's itu tinggal di dalam kilang yang dipenuhi semak samun dan situasi itu membuatkannya berjurai air mata.

"Tempat tinggal pakcik tu dan anak-anak dia adalah di dalam kilang yang penuh dengan semak. Kilang itu tidak berdaftar sebab itu tak terjaga.

"Dekat tempat tu banyak sangat nyamuk, kami yang baru tiba nak serahkan makanan ni sampai dah garu-garu satu badan sebab tak tahan gatal. Tapi anak-anak itu tenang je walaupun badan kena serang nyamuk.

Kanak-kanak ini teruja dapat makan McDonald's buat pertama kali.

"Saya jadi sedih sebab dalam keadaan mereka yang daif itu, mereka sangat gembira dan bersinar-sinar mata mereka apabila dapat McD tu. Pemberian yang kecil je sebenarnya tapi dihargai sebab mereka selalu diselubungi kesusahan.

"Lagi satu, saya tengok muka anak kecil tu tenang dan bersih je walaupun hidup mereka bukannya senang, buatkan saya insaf dan muhasabah diri," kata Saharuddin menceritakan semula detik yang menyentuh hatinya itu.

Saharuddin berkata setiap insan dilahirkan untuk melalui perjalanan hidup yang berbeza-beza dan dia berharap anak kecil yang dibantunya itu akan dapat keluar dari kepompong kemiskinan suatu hari nanti.

"Rasa sayu hati fikir masih ada lagi di luar sana yang makan sekadar untuk alas perut sedangkan kebanyakan dari kita boleh makan sehingga kenyang.

"Bagi kita yang berkemampuan dan ada rezeki lebih, marilah ringankan tangan untuk bantu mereka. Bantu dari hati dan dengan keikhlasan. Kita tak akan rugi pun," ujar Saharuddin menoktahkan bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain