suria

Bayi umur 16 bulan dibawa tawan puncak Kinabalu, mak ayah tetap dikritik walau dah buat persiapan rapi

Pasangan suami isteri ini membawa bayi mereka ke puncak Gunung Kinabalu.

AKTIVITI lasak seperti mendaki gunung sememangnya mencabar tetapi menyeronokkan.

Namun begitu, aktiviti sebegini tidak sesuai untuk semua peringkat umur terutamanya anak kecil.

Baru-baru ini tular satu hantaran di media sosial @mysabahinfo memaparkan pasangan suami isteri membawa cahaya mata mereka yang berumur 16 bulan ke puncak Gunung Kinabalu.

Hantaran asal di laman Facebook.

Menerusi hantaran Instagram @melissasulaiman, Melissa mengatakan idea tersebut tercetus kerana suaminya memiliki sebuah syarikat pelancongan yang menyusun atur pendakian ke gunung tertinggi di Malaysia.

Pada mulanya rancangan itu tidak dipersetujui oleh ibu bapa mereka kerana risau akan keselamatan si cilik ketika berada di altitud yang tinggi.

Oleh itu, mereka menunggu sehingga anak mereka berumur setahun lebih untuk meneruskan rancangan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Nanti kita tegur kata dengki” - Tiada helmet, 2 nyawa bergantung pada satu tali! Ibu dukung anak naik flying fox dikecam

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Safety ke laut” - Dua beradik takut-takut naik flying fox! Abang ‘ditugaskan’ lindungi adik sambil pegang kamera rakam momen

Perancangan yang penuh risiko itu diimbangi dengan persiapan rapi oleh pasangan suami isteri tersebut.

"Kami datang bersedia. Kami ada first aid kit, warmer patch, winter socks, semuanya kami ada untuk anak kami.

"Syukur Daddy (suami) ada stamina dan mental kuat. Daddy yang rancang semua ini untuk anak dia.

"Banyak kali mahu give up dan takut semua sebab concern dengan baby. Alhamdulillah kami sampai dan baby pun kuat juga," kata Melissa.

Orang dewasa biasa belum tentu boleh handle, apa lagi bayi, sangat-sangat tidak digalakkan.

NETIZEN

Selain itu, Melissa telah mendapatkan nasihat daripada doktor perubatan tentang rancangan pendakian mereka dan saranan persiapan yang perlu dilakukan.

Pasangan itu juga telah memaklumkan kepada pihak Taman Kinabalu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah mengenai rancangan mereka untuk mendaki Gunung Kinabalu bersama bayi mereka.

Seterusnya sebelum pendakian bermula, pasangan suami isteri itu setiap minggu membuat latihan dengan membawa bayi mereka mendaki pelbagai bukit di sekitar Kundasang, Sabah.

Selesai sahaja ekspedisi pendakian mereka, pasangan suami isteri itu terus membawa bayi mereka untuk membuat pemeriksaan kesihatan bersama doktor perubatan.

Berkongsikan penenerimaan bayi mereka ketika mendaki ke tempat yang ekstrem di Gunung Kinabalu, si kecil hanya menangis sekali pada hari kedua perjalanan turun.

Melissa dan suami bersama bayi mereka di puncak Gunung Kinabalu.

Melissa sempat berterima kasih kepada rakan sepasukan mereka dalam ekspedisi pendakian itu kerana memahami cabaran yang perlu dihadapi bersama apabila membawa seorang bayi.

"Terima kasih sebab banyak membantu kawan-kawan. Sanggup tunggu kami kalau kami lambat, sanggup layan kerenah baby.

"Tolong nyanyi-nyanyi untuk baby dan bagi sokongan moral kepada Daddy," kata Melissa bersyukur kerana misi mereka berjaya disempurnakan.

Meskipun langkah berjaga-jaga yang telah diambil pasangan tersebut, rata-rata warga maya masih tidak bersetuju dengan idea untuk membawa seorang bayi ke puncak Gunung Kinabalu.

"Bukan tindakan yang bijak bagi ibu bapa, tolong la kalau ada apa-apa hal nanti, budak umur setahun lebih saja tu.

"Kurang oksigen di atas sana, dengan sejuknya lagi, sana pressure tidak menentu sebab ketinggian.

Kumpulan ekspedisi ke puncak Gunung Kinabalu yang disertai pasangan suami isteri itu.

"Orang dewasa biasa belum tentu boleh handle, apa lagi bayi, sangat-sangat tidak digalakkan," kata seorang netizen menyelar tindakan ibu bapa itu.

Seorang warga maya juga mengesyaki Melissa hanya mahu mengejar populariti melalui tindakannya itu.

"Satu tindakan yang berani, mungkin suami isteri suka adventure so nak bagi anak biasa ikut adventure sekali.

"Semoga baik-baik sahaja. Cuma tidak digalakkan untuk buat macam ini sebab risiko bahaya lagi tinggi dari glamour yang nak dikejar," kata seorang netizen.

Terdapat juga netizen yang berpihak kepada ibu bapa tersebut dengan menyatakan anak kecil di luar negara sudah didedahkan dengan aktiviti dan sukan lasak sejak usia muda.

"Kalau di negara Barat, biasa sudah bawa bayi ini pergi hiking dan ski salji semua.

"Dekat sini je yang tak biasa lagi sampai mengecam," kata seorang pelayar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain