suria

Peniaga sakit hati dipanggil dajal, aksi perempuan bertudung menari sakan demi air percuma hanya ‘content’

Tangkap layar video yang kini tular di media sosial.

VIDEO tular memaparkan aksi peniaga minuman dan pelangan yang sedang menari di Pesta Pulau Pinang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Menerusi video itu, seorang peniaga lelaki berada di atas foodtruck sebelum dia menghulurkan minuman kepada pelanggan wanita bertudung yang mana kedua-duanya kelihatan rancak menari mengikut alunan muzik.

"Menari dapat air free, only at Pesta Penang," tulis pemilik akaun TikTok Teh Ais Avenger yang berniaga di lokasi itu bermula 26 hingga 30 Disember ini.

Video tersebut yang meraih lebih 2.2 juta tontonan turut dihujani dengan kecaman netizen termasuklah komen yang mengingatkan tentang cara dia mencari rezeki.

"Kita berniaga dik, duit tu rezeki Allah bagi.

"Halal ke rezeki tu bang? Moga ada keberkatan dalam rezeki," komen beberapa individu pada posting video itu.

Mengulas kecaman dan sindiran itu, pengusaha jenama The Name by Teh Ais Avenger HQ, Mohd Amin Fardullah Muthu berkata terdapat salah faham dalam kalangan netizen.

Banyak yang samakan kita dengan dajal, tipulah kalau tak sakit hati... mereka panggil kita dajal.

MOHD AMIN FARDULLAH MUTHU

PENIAGA AIR

Katanya apa yang dikongsikan itu hanyalah content TikTok semata-mata.

"Sebenarnya kat sini tak ada pun bagi air feee. Itu semua content. Kalau pelanggan menari dapat air free, dengan tayar lori pun saya kena jual.

"Tapi memang sejak dulu, kalau ada pelanggan cakap tak mampu, saya akan bagi minuman free. Itulah kunci kejayaan dalam perniagaan. Saya dah berniaga lima tahun, dengan trak pula dah tiga tahun.

"Saya berniaga bersama tiga orang staf. Saya juga dah belanjakan RM12,000 untuk set up lampu dan sound system untuk trak," ujar pemuda berusia 33 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tauke gerai tepi jalan berlagak ‘kak long kawasan’ ugut peniaga sebelah, sakit hati jual menu sama... “Esok saya tak nak tengok nasi lemak ni!”

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga berlagak ‘kak long kawasan’ kena saman? Tular foto gerai nasi lemak dikunjungi pihak berkuasa

Kata Amin lagi dia akui terkesan dengan komen-komen negatif, namun menganggap ia sebagai lumrah yang perlu dihadapi sebagai peniaga.

"Viral untuk orang kenal tu, kita sebagai peniaga rasa seronok. Tapi apabila viral dengan kecaman, banyak yang samakan kita dengan dajal, tipulah kalau tak sakit hati. Mereka panggil kita dajal.

"Mungkin mereka tak kenal lagi bagaimana dajal yang sebenar. Kita berniaga, kecaman ini perkara biasa. Tapi apabila dah main bab agama ni rasa tak best la. Mereka sebenarnya salah faham. Isunya sekarang orang salah faham.

IMG_0877

Antara komen netizen di laman TikTok.

"Banyak orang curi video saya, repost dan masukkan ayat pelik-pelik, seolah-olah mereka ada di tempat kejadian. Yang nak samakan saya dengan dajal tu, terpulang," ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Di sebalik kecaman yang diterima, Amin berkata dia terharu dengan sokongan pelanggan yang meniup semangat untuk dia terus cekal berniaga sehingga ke hari ini.

"Sesiapa saja bebas untuk tulis komen. Tapi komen itu mencerminkan diri kita. Jangan komen sekadar nak like supaya orang hentam, tengok balik niat apabila nak komen. Yang mana tegur secara berhemah, saya ucap terima kasih dan saya akan perbaiki.

"Ada pelanggan yang baru nak cuba, mereka duduk perhati dulu depan trak. Mereka tengok, adakah betul kena menari atau kena beli? Baguslah netizen yang tak terikut-ikut. Mereka tengok benda viral, datang ke tempat kejadian dan tengok sendiri apa yang terjadi sebenarnya.

WhatsApp Image 2022-12-11 at 7.21.39 PM

Kaedah kreatif yang digunakan mereka berjaya menarik perhatian pembeli serta netizen.

"Ribuan terima kasih buat pelanggan yang pernah beli dengan kami. Setiap pembelian anda, ada terselit untuk tujuan kebaikan. Memang setiap bulan, beberapa peratus hasil jualan akan saya sumbangkan untuk tujuan kebaikan," ujarnya lagi.

Mengenai perniagaan itu, Amin berkata dia menawarkan empat seleksi minuman iaitu coklat, ice coffee, ice milk tea dan ice matcha yang dijual pada harga RM5.90 (normal) dan RM9.90 (special).

Amin dan pekerjanya yang menetap di Alor Setar, Kedah berniaga di merata lokasi di seluruh Malaysia, malah mereka juga aktif menyertai pelbagai acara jualan.

Selepas Pesta Pulau Pinang, mereka akan menyertai satu lagi acara jualan di Shah Alam, Selangor, pada Januari depan.

Trak minuman itu menjadi perhatian ramai kerana dihiasi lampu warna-warni serta muzik yang menambahkan lagi kemeriahan suasana di tapak jualan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain