suria

Kereta ‘total loss’, bapa cari Proton Wira bajet RM3,000 nak bayar sikit-sikit... Tiba-tiba ada hamba Allah bagi Saga Aeroback percuma

Rezeki lelaki ini apabila dia dihadiahkan sebuah kereta Proton Saga Aeroback (foto kiri).

KISAH seorang bapa yang sedang mencari sebuah kereta terpakai untuk kegunaan dia sekeluarga ternyata meruntun emosi netizen.

Menurut Apit Abby, dia mahu mencari sebuah Proton Wira terpakai dengan bajet sekitar RM3,000 selepas kereta lama miliknya rosak teruk dalam kemalangan.

"Salam semua. Saya post semula untuk mencari Wira bajet dalam RM3,000 yang boleh bayar ansur-ansur. Nak beli cash memang tak mampu sangat-sangat dengan keadaan yang sekarang saya lalui.

wira1

Seorang individu bermurah hati menghadiahkan kereta buat pemuda itu.

"Mohon ada kawan-kawan yang sudi bantu saya. Ni gambar kereta lama yang accident dan gambar family saya. Terima kasih admin dan semua. Semoga Allah permudahkan untuk saya," tulisnya.

Dia berkongsi hal itu menerusi group Facebook 'Jual Beli Kereta Wira Bawah RM4.5K' sehingga kisahnya mendapat perhatian ramai.

Tanpa disangka-sangka, seorang individu dikenali sebagai Mohd Afizal Bakhtiar menawarkan untuk memberikan sebuah kereta percuma buat lelaki itu.

Nak beli cash memang tak mampu sangat-sangat dengan keadaan yang sekarang saya lalui.

APIT ABBY

"Abang kat mana? Meh datang Port Dickson. Saya bagi kereta sebiji. Saya baru je beli semalam untuk niaga. Tapi saya nak bagi je kat abang. Buruk sikit tapi enjin baik lagi.

"Lepas cat terus okey dah ni. Boleh la sementara abang nak buat (untuk kegunaa) anak jalan-jalan. Kereta boleh tukar nama. Kalau nak abang mesej kat Messenger saya," ujar lelaki itu di ruangan komen.

Dalam perkongsian berlainan, Mohd Afizal mendedahkan dia sudah memberikan kereta tersebut akhirnya diserahkan kepada lelaki dari Banting, Selangor berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas jual Wira ‘lejen’, Rhys William ‘test drive’ semua model Proton... Tetap nak beli kereta Malaysia!

ARTIKEL BERKAITAN: Proton Wira Jadi Pilihan Pencuri Kereta

"Alhamdulillah selesai bagi kereta kat owner kereta ni. Semoga dipermudahkan urusan beliau," tulisnya ringkas beserta sekeping foto.

Difahamkan Mohd Afizal menghadiahkan sebuah kereta Proton Saga Aeroback yang baru dibelinya dengan harga hampir RM2,000.

Bantuan untuk lelaki itu nampaknya tidak terhenti di situ apabila muncul pula dua lagi individu prihatin menawarkan khidmat baik pulih serta modifikasi kereta percuma kepadanya.

"Kalau dah bagi kat owner baharu tu bang. Kalau dia nak cat kereta bagi elok, bagitahu la bang. Saya belanja buat saham akhirat. Free je," tulis Nabil Zhafran MF.

"Meh (mari) bang datang kedai saya. Saya sponsor tinted kereta untuk abang. Moga tak panas nanti abang anak beranak dalam kereta tu. WhatsApp saya bang," tulis Faizal Yusof pula.

wira3

Netizen turut memuji sikap pemurah yang dipamerkan dua peniaga ini.

Dalam pada itu, ramai netizen turut memuji sikap pemurah tiga individu berkenaan yang sanggup menghulurkan bantuan buat insan memerlukan.

Ujar netizen, bantuan yang dihulurkan wajar menjadi inspirasi untuk orang di luar sana terus peka dan prihatin dengan mereka yang berada dalam kesusahan.

"MasyaAllah, baiknya hati mereka, Alhamdulillah, semoga diberi ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah.

"Alhamdulillah, tak perlu tunggu kaya untuk sedekah. Semoga Allah bagi ganjaran yang baik.

"Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang besar untuk si pemberi sekeluarga," tulis beberapa individu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain