suria

Baru buka tak sampai seminggu, gerai kek di laman rumah asyik kena serbu... laksa air tangan ibu pun padu!

Norshahila membuka gerai kek 'Asha Cakes' di halaman rumah ibunya di Kampung Manjoi, Ipoh.

SEBELUM ini pernah tular kisah seorang gadis berniaga aneka jenis kek dan pencuci mulut di gerai tepi jalan sahaja.

Sama seperti konsep berkenaan, wanita ini turut mencabar diri berniaga aneka jenis kek di halaman rumah ibunya!

Siapa sangka, percubaannya sejak tiga hari lalu membuahkan hasil di mana kesemua jualannya laris dalam masa tiga jam sahaja, penangan kuasa viral TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, Norshahila Martuki berkata dia sebelum ini merupakan pembuat kek di rumah (home baker) yang menerima tempahan awal daripada pelanggan.

"Kalau ikutkan sejak bujang lagi saya suka buat kek, mewarisi minat ini daripada ibu. Saya bekerja sebagai kerani tetapi suka ikuti rancangan atau menonton video buat kek dari YouTube.

ARTIKEL BERKAITAN: Kek premium, harga psiko! Lulusan universiti ‘redah’ buka gerai ala bakeri di tepi jalan... lebih 50 kek ‘licin’ tak sampai setengah hari

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan nasi lemak PKPB, jual depan rumah pun boleh laku beratus bungkus... yang tak dapat datang beli selamba DM anak tauke minta resipi

"Selepas lebih setahun berkahwin, saya tetap terima tempahan buat kek tapi agak penat. Akhirnya saya putuskan untuk berhenti kerja dan 'pursue' minat untuk buat kek.

"Jadi, sekarang ni dah lapan tahun sebenarnya saya bergelar seorang home baker. Sebelum ini dah terfikir nak buka gerai jual kek tapi belum berkesempatan.

"Kali ini barulah ada peluang untuk merealisasikannya," ujar wanita berusia 32 tahun ini.

kek 1

Antara kek yang dijual di gerai Norshahila.

Menurut Norshahila, dia pada mulanya agak bimbang dengan sambutan dan penerimaan daripada pelanggan kerana ini merupakan percubaan pertamanya membuka gerai.

"Mula-mula takut juga kek tak habis, tapi dengan sokongan padu keluarga, suami dan kawan-kawan, saya jadi bersemangat. Nak buat banyak tak berani. Hari pertama saya buat lapan biji kek sahaja.

"Lagipun saya seorang yang bancuh adunan, bakar, deko, kemas dapur. Pendek kata dari A hingga Z saya buat. Adik pula tolong bungkus.

kek 2

Antara pelanggan yang tidak melepaskan peluang membeli kek air tangan Norshahila.

"Hari pertama buka gerai iaitu 15 September, saya buat hebahan dalam Facebook saja. Tapi orang yang biasa tempah dengan saya, mereka bantu share. Ada juga yang datang gerai siap buat video dan bantu promote.

"Alhamdulillah, sejam setengah saja kek licin! Hari kedua, saya tambah kepada 10 biji kek. Yang saya terkejut, ada yang beritahu mereka dari Kuala Lumpur dan singgah gerai sebelum ke Pulau Pinang. Mereka kata masuk dalam FYP (for your page) TikTok. Terharu rasanya," ujarnya yang berniaga di Kampung Manjoi, Ipoh, Perak.

Antara jenis kek hasil air tangan Norshahila adalah kek batik 'legend', kek chocolate moist, kek butterscotch caramel, aneka kek cheese leleh, kek chocolate caramel dan kek burnt cheese.

Ada yang beritahu mereka dari Kuala Lumpur dan singgah gerai sebelum ke Pulau Pinang. Mereka kata masuk dalam FYP (for your page) TikTok.

NORSHAHILA MARTUKI

PEMILIK GERAI ASHA CAKES

Apa yang lebih menarik, kesemua jenis kek berharga antara RM5 hingga RM8 sepotong, iaitu harga istimewa dan mampu milik.

Selain kek, gerai Norshahila turut menjual laksa air tangan ibunya dan pencuci mulut seperti tat buah dan puding yang dibuat oleh rakannya.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di aplikasi TikTok meraih melebihi 70,000 jumlah tontonan, Norshahila berkata dia sekadar suka-suka berkongsi selain mahu mengiklankan gerai barunya.

kek 3

Gerai Norshahila 'diserbu' sekumpulan wanita yang sedang berkonvoi.

"Tak sangka langsung naik FYP. Saya anggap ini sebagai rezeki. Tapi saya sedar, dalam dunia bisnes ni pasti ada yang suka dan tak suka... saya cuma positifkan diri.

"Kalau ada yang kurang berkenaan atau yang tak kena pada kek, direct saja pada saya... tiada masalah. Harapan saya moga bisnes kecil ini makin berjaya dan jika ada rezeki, teringin nak buka kafe yang comel," kata ibu kepada dua cahaya mata ini lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain