suria

Pensyarah harap filem dalam kamera 18 tahun lalu dapat ‘dicuci’, baru teringat di dalamnya ada gambar sahabat meninggal kemalangan

Filem yang terdapat dalam kamera berusia lebih 18 tahun terdedah pada cahaya ketika dibuka.

KEHILANGAN sahabat yang sentiasa ada di saat susah dan senang pastinya tidak dapat diungkap dengan kata-kata, malah setiap kenangan indah yang tercipta bersama akan tersemat di sanubari selamanya.

Begitu juga dengan wanita ini yang mana memori bersama rakan karib yang dikenali semasa zaman pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) masih utuh meskipun sudah lapan tahun 'terpisah'.

Menerusi video tular baru-baru ini, Nur Aniza Mohd Lazim meluahkan harapan agar gambar daripada filem yang digunakan semasa semester akhir pengajiannya dapat dilihat semula.

Ia berikutan kamera SLR jenis Canon EOS66 yang digunakan sekitar tahun 2003 dijumpai semula dan masih mempunyai filem di dalamnya.

"Tak ingat langsung dalam tu ada filem, jadi masa ni dah terdedah.

"Cik Nur baru teringat, last guna kamera ni tahun 2003... mungkin banyak gambar arwah kawan baik bernama Dewi. Arwah pergi (meninggal dunia) pada 8 Mac 2014," coretnya di kapsyen video.

Mengimbas kembali kisah persahabatan yang tercipta 18 tahun lalu kepada mStar, dia yang mesra disapa Cik Nur berkata dia sepatutnya bertemu semula dengan Dewi sekitar April 2014.

Rakannya yang berada di Tawau, Sabah itu akan datang ke semenanjung bagi mengikuti kursus di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Namun tanpa diduga rakannya yang merupakan seorang guru ketika itu terlibat dalam kemalangan pada 8 Mac 2014.

"Hari terakhir saya berjumpa dengannya adalah di lapangan terbang pada tahun 2004 iaitu selepas graduasi Unimas. Dia pulang ke Sabah manakala saya kembali ke Kuala Lumpur.

"Disebabkan kira-kira 10 tahun tidak bertemu, kami rancang untuk berjumpa semula pada 2014. Dia ada nyatakan hasrat untuk tidur di rumah saya dan nak luangkan masa bersama.

"Tapi Allah lebih sayangkan dia. Saya dapat berita kematiannya semasa sedang mengikuti konvoi motosikal ke Melaka, disebabkan sedih saya pulang semula ke Shah Alam.

"Semasa perjalanan pulang tu, cuaca hujan dan air mata saya sentiasa mengalir sehingga basah topi keledar yang dipakai," ujarnya sebak.

Pekerja kedai gambar cuba mengeluarkan filem secara manual.

Pekerja kedai gambar cuba mengeluarkan filem secara manual.

Menurut wanita berusia 42 tahun itu lagi, dia dan Allahyarhamah Dewi berkenalan semasa ditempatkan di bilik asrama yang sama.

Walaupun berbeza fakulti dan bidang pengajian namun hubungan yang terjalin begitu rapat dan mesra.

"Saya ambil jurusan rekaan grafik manakala arwah bidang pelancongan.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 BFF bergegas balik kampung, mahu iring sahabat yatim piatu pulang ke negeri abadi - “Kami dah janji susah senang sampai mati”

ARTIKEL BERKAITAN: Saat berpantang hari ke-25 suami dijemput Ilahi, wanita ini tak sangka dapat ‘hadiah’ lebih 700 foto kenangan... 3 gambar paling menyentuh hati, nampak real!

"Dialah yang membantu saya untuk menukar bidang dan fakulti pengajian kerana asalnya saya ditawarkan kursus di bawah Fakulti Teknologi Maklumat.

"Masa tu saya suarakan pada dia yang saya suka melukis dan pengajian yang diikuti tidak sesuai, jadi mahu pulang ke semenanjung.

"Tapi dia tak bagi balik pada masa sama suruh saya mohon Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka... dia yang bantu buat surat untuk tukar fakulti sehingga saya dipanggil temuduga dan berjaya," ceritanya.

Saya main lintas jalan sahaja tanpa menoleh kiri dan kanan sehingga hampir dilanggar kereta. Mujur arwah ada tolong tolak saya daripada menjadi mangsa kemalangan.

CIK NUR

Malah katanya, dengan bantuan Dewi jugalah dia berjaya meneruskan cita-cita sehingga bergelar pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor dalam Kolej Pengajian Seni Kreatif.

Tidak terhenti di situ saja, Dewi juga pernah menyelamatkan nyawa Cik Nur semasa mereka keluar bersama.

Bercerita mengenainya, ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, dia hampir dilanggar kereta semasa melintas jalan.

"Masa keluar bersama tu, saya main lintas sahaja tanpa menoleh kiri dan kanan sehingga hampir dilanggar kereta. Mujur arwah ada tolong tolak saya daripada menjadi mangsa kemalangan.

"Disebabkan cuba menyelamatkan saya, dia sendiri yang cedera sebab terjatuh," ujarnya mengimbau kenangan bersama arwah.

Bersama arwah Dewi (kanan) semasa di Unimas.

Bersama arwah Dewi (kanan) semasa di Unimas.

Bercerita lanjut tentang kamera manual yang digunakan semasa zaman belajar itu, katanya ia ditemukan kembali oleh bapanya semasa membersihkan rumah.

"Selepas tamat pengajian dulu, barang-barang dalam beg yang dibawa balik pun tak sempat buka sebab saya dan keluarga perlu berpindah ke tempat lain.

"Ayah saya kerja dengan organisasi minyak, jadi banyak kali pindah randah sehingga ada beg yang tidak dibuka.

"Saya guna kamera tu hujung tahun 2004... ia baru dijumpa semula semasa ayah kemas stor dan apabila saya buka bahagian belakang rupanya masih ada filem. Iyalah, saya pun dah tak ingat tentangnya.

"Tapi yang pasti kali terakhir gunakannya semasa semester akhir dan bergambar kenangan bersama rakan-rakan termasuk arwah Dewi," luahnya yang turut berharap dapat 'mengembalikan' kenangan tersebut.

Terdahulu video perkongsiannya di aplikasi TikTok menjadi tular sehingga ditonton lebih 323,200 pelayar dan mendapat lebih 18,000 tanda suka.

Rata-rata warganet yang meninggalkan komen berharap dapat mengetahui tentang gambar yang terkandung di dalam filem berkenaan.

Difahamkan, proses untuk mencuci gambar tersebut mengambil masa dua minggu kerana menggunakan alatan mencuci filem yang sudah lama.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain