suria

PA lebih sudu dari kuah, Khairulaming mohon maaf! Akui sukar asing persahabatan dan bisnes sebab ‘mula dari bawah dengan kawan’

Khairulaming memohon maaf susulan kontroversi melibatkan pengurusnya.

SELEPAS terpalit dengan isu kontroversi melibatkan pengurusnya sebagaimana yang hangat diperkatakan di media sosial sejak Khamis, pempengaruh yang juga selebriti masakan popular, Khairulaming, akhirnya tampil bersuara.

Menerusi bebenang di laman Twitter, Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman mengakui 'terlepas pandang' kerana mempercayai sepenuhnya sahabat yang menggalas tugas sebagai pengurusnya itu.

Selebriti yang terkenal dengan ungkapan 'Hey what's up guys' itu dengan rendah diri membuat permohonan maaf kepada semua pihak yang terlibat dan mengalami 'pengalaman buruk' dengan pengurusnya sebelum ini.

AMING 3

Sebahagian ciapan Khairulaming di Twitter pada Jumaat.

"Saya nak personally minta maaf dengan semua pihak yang pernah berurusan dengan pengurus saya sebelum ni.

"Dia adalah sahabat saya dan saya sangat mempercayainya untuk kendalikan perkara ini tanpa betul-betul crosscheck kualiti kerja dia. Akhirnya banyak orang ada pengalaman buruk dengan dia selama ni," tulis pempengaruh berusia 30 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau baru start, better cari level you saja” - Ramai merungut PA Khairulaming ‘bermulut puaka’, sombong layan peniaga taraf biasa-biasa

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan Sambal Nyet cecah RM1juta, tiada video masakan 11 Ramadan... Khairulaming ambil ‘off day’ nak rehatkan minda - “Saya hanya lelaki biasa...”

Dalam masa yang sama, pengasas Sambal Nyet ini tidak lepas tangan sebaliknya menggariskan beberapa langkah penambahbaikan dalam usaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan netizen.

"Berkenaan isu semalam, berikut ialah langkah ke hadapan untuk penambahbaikan.

"Saya telah memadamkan semua contact pengurus daripada media sosial. Buat masa ini saya sendiri akan menguruskan segala pertanyaan sehingga ada pengganti baru.

"Buat masa ini saya akan berhenti membuat video untuk pelanggan, termasuk produk makanan, restoran atau seminar dan lain-lain. Saya ingin menumpukan terhadap perkara yang saya suka dari tujuh tahun yang lalu, iaitu video memasak," kongsinya.

Saya belajar banyak hari ini dan akan cuba perbaiki lagi lain kali.

KHAIRULAMING

SELEBRITI MEDIA SOSIAL

Khairulaming juga berkata dia mengambil maklum saranan yang dibangkitkan netizen yang memintanya tidak melantik seseorang dalam kalangan rakan untuk menggalas tugas berkaitan kerjayanya.

"Ramai juga yang nasihat untuk asingkan persahabatan dengan bisnes dan saya setuju benda ini yang paling sukar buat saya sebab saya bermula dari bawah dengan kawan-kawan. Saya mengambil maklum dan akan melakukan tindakan yang perlu

"Sekali lagi saya nak mohon maaf kepada semua pihak yang terlibat selama ni. Saya belajar banyak hari ini dan akan cuba perbaiki lagi lain kali. Terima kasih banyak-banyak," tulisnya lagi.

Sehingga kini, perkongsian Khairulaming meraih melebihi 5,600 ciapan sejak dimuat naik dalam tempoh sejam.

aming komen

Antara komen netizen pada ciapan Khairulaming.

Menjengah ruangan komen pula, rata-rata netizen memuji pendekatan pempengaruh berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah yang tepat.

"Tahniah Khairulaming terima teguran dengan hati terbuka. Betulkan apa yang negatif from your side.

"Saya tahu awak seorang yang bijak. Jangan biarkan pengurus yang teruk memberi kesan kepada reputasi kamu. Reputasi tidak dibina dalam satu hari.

"Kawan tu tetap kawan. Personal dan kerja atau bisnes jangan campur. Anda kalau nak jadi partner bisnes atau pembantu peribadi atau pengurus dan lain-lain kepada kawan baik, anggap kawan anda sebagai bos dan bukan sebagai rakan," demikian antara komen netizen.

Terdahulu, nama Khairulaming menjadi buah mulut di media sosial selepas ramai membuat pendedahan mengenai sikap pengurusnya yang dikatakan lebih sudu daripada kuah.

Malah, ramai turut berkongsi pengalaman mendapat layanan yang buruk daripada pengurus pempengaruh itu, sehingga membuatkan segelintir daripada mengakui sudah 'memboikot' selebriti berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain