suria

Besar ujian buat pengantin! Bapa meninggal 5 jam sebelum majlis nikah, selesai ijab kabul terus buat tahlil

Teha mendapat perkhabaran mengenai kematian bapa pada hari pernikahannya.

HARI bahagia bertukar duka.

Siapa sangka, dalam keterujaan Fatihah Abdul Rahman, 24, untuk bernikah pada 2 September lalu, dia mendapat perkhabaran duka bapanya meninggal dunia lima jam sebelum majlis berlangsung.

Menurut Fatihah yang mesra disapa Teha, bapanya, Abdul Rahman Abdul Kadir, 65, sememangnya tidak sihat sehingga terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda tetapi tetap menggagahkan diri membuat persiapan demi menjayakan majlis pernikahannya.

“Pada mulanya abah demam. Bila hantar pergi klinik, doktor bagi ubat demam saja. Tapi lepas lima hari dia masih sakit. Satu hari tu badan abah panas sangat.

“Jadi malam tu kami bawa abah pergi wad kecemasan di hospital untuk buat pemeriksaan secara menyeluruh. Bila abah keluar dari hospital dia cuma bawa balik ubat demam dan tahan sakit saja.

“Saya tanya abah doktor ada check tak. Abah beritahu yang dia ditanya beberapa soalan dan periksa kencing manis saja sebelum diberi ubat sama seperti klinik. Jadi kami pun balik rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa baru meninggal, Dr Maza terima panggilan dari Brunei walau arwah tak pernah ke sana... Mahu wakaf atas nama ayah

ARTIKEL BERKAITAN: Terkesan bapa meninggal mengejut, anak ubah fikiran nekad belajar ke peringkat lebih tinggi... mengaku cuma berlakon tunjuk kuat!

“Abah ni warganegara Singapura. Bila famili bawa dia balik ke Singapura untuk berubat, abah tetap nak balik sini sebab nak tengok saya nikah dan jadi wali,” ujar Teha ketika dihubungi mStar.

Setelah tiba di Malaysia sehari sebelum majlis pernikahan, bapanya sempat melihat pelamin, makanan dan persiapan lain yang sudah lengkap walaupun terpaksa duduk di kerusi roda kerana keadaan dirinya yang lemah.

Imbasnya yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik, bapa bagaimanapun sempat membantu membuat persiapan khemah untuk persembahan silat bersama rakan-rakanya namun hasratnya itu tidak kesampaian.

Teha (kanan) bersama ibu dan arwah bapanya.

Menurut Teha yang menetap di Pontian, Johor, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada hari pernikahannya lebih kurang jam 4 petang di kediaman neneknya yang terletak di hadapan rumah mereka sahaja.

Kesedihan Teha semakin bertambah kerana dia juga baru kehilangan abang kesayangan pada 3 Mac lalu.

“Tibanya hari nikah, dapat tahu abah 'pergi' masa dekat rumah nenek tempat kami berkumpul. Mungkin abah lega dapat tengok segala persiapan anak bongsu dia dah siap sepenuhnya. Sebelum abah sakit, dia dah siapkan baju songket sedondon dengan mak untuk pakai sama-sama masa majlis. Tapi tak sempat pakai.

Saya paling rapat dengan arwah abah dan arwah abang. Tapi Allah ‘ambil’ kedua-duanya sekali dalam masa yang singkat.

FATIHAH

“Sedih, hiba, terkejut dan sebak sangat apabila ketua keluarga, abah yang selalu ada dengan mak dan jaga keluarga kami selalu tapi sekarang dah pergi selama-lamanya. Perasaan kami sekeluarga tak tahu nak cakap macam mana.

“Saya paling rapat dengan arwah abah dan arwah abang. Tapi Allah ‘ambil’ kedua-duanya sekali dalam masa yang singkat,” jelasnya.

Majlis nikah tetap diteruskan pada jam 9 malam dan Teha sah bergelar isteri setelah abang sulungnya menjadi wali pada malam tersebut menggantikan bapanya.

Selesai diijabkabul, majlis pada malam tersebut diteruskan dengan tahlil buat arwah yang telah kembali ke Rahmatullah.

Majlis pernikahan tetap dilangsungkan seperti dirancang.

Kisah menyayat hati ini pada mulanya dikongsikan oleh jurusolek Teha di TikTok dan telah meraih lebih 1.5 juta jumlah tontonan.

Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib Teha yang diduga dengan ujian terlalu besar namun masih mampu tersenyum di hari bahagianya walaupun bersedih atas kehilangan bapa tersayang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain