suria

Isteri takut nak ikut suami bertugas di India, selepas tiba persepsi terus berubah... beri pujian bukan sebab tinggal di kawasan ‘kayangan’

Persepsi Iman berubah selepas menjejakkan kaki di India.

ANGGOTA mahupun pegawai keselamatan perlu bersiap siaga untuk meninggalkan tanah air dalam jangka masa yang lama.

Begitulah yang dilalui pegawai kanan tentera darat, Mejar Mohd Fierman Abd Aziz apabila dia dikehendaki mengikuti kursus selama 12 bulan di India.

Menceritakan penghijrahan yang bermula 13 Mei lalu kepada mStar, isterinya, Nurul Iman Fatihah Abdul Razak berkata, pada awalnya dia berasa teruja dan gembira kerana berpeluang duduk di negara asing serta mempelajari budaya setempat.

Namun katanya, pada masa sama, perasaan takut dan bimbang tetap wujud dalam diri kerana cerita-cerita negatif yang tersebar luas tentang India.

“Masa mula dapat tahu memang rasa takut sebab dengar banyak bad news tentang India. Memang mind set masa tu sangat bercelaru dan memang saya keliru... tapi saya bertawakal kepada Allah kerana mengikut suami menjayakan tugasnya di perantauan,” luahnya memulakan bicara.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, persepsi buruk tentang India seperti yang digembar-gemburkan masyarakat dunia ternyata meleset sejurus dia tiba di negara berkepadatan tinggi itu.

Malah katanya, walaupun India antara negara termiskin di dunia, namun persekitaran dan sikap masyarakat setempat mencerminkan kisah sebaliknya.

“Setiba di negara India, keadaannya berbeza dengan apa yang dipertontonkan di televisyen mahupun pembacaan atau penceritaan orang ramai yang pernah berkunjung ke sini.

“Persekitaran tempat kami menetap ketika ini sangat bersih terutama air dan makanan. Di sini juga mudah untuk mendapatkan makanan halal serta kebanyakan penduduk beragama Islam.

Iman bersama suaminya ketika menghadiri perjumpaan rasmi.

Iman bersama suaminya ketika menghadiri perjumpaan rasmi.

“Paling bersyukur adalah tiada sebarang gangguan atau ancaman seperti yang ditonton dalam filem-filem hindi. Kami hidup dalam keadaan harmoni, selamat dan meriah.

“Penerimaan masyarakat setempat juga sangat baik serta ramah. Mereka juga sangat bermurah hati dan suka membantu,” luahnya yang kini berusia 33 tahun.

Ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan itu lagi, dia sangat bersyukur kerana dibenarkan untuk memakai tudung walaupun perlu mengenakan pakaian rasmi wanita India iaitu sari.

Ia berikutan terdapat konflik antara masyarakat Muslim dan Hindu ketika ini yang menyebabkan pertumpahan darah berlaku di beberapa kawasan.

“Kita boleh pakai tudung macam biasa dan solat seperti biasa termasuk pergi ke masjid.

“Orang tempatan juga sangat baik. Contohnya bila nak beli sesuatu barang, mereka akan berlumba-lumba untuk membantu.

Suami Iman perlu menghadiri kursus selama 12 bulan di India.

Suami Iman perlu menghadiri kursus selama 12 bulan di India.

“Oleh itu, saya berpegang kepada prinsip... jika kita mahu orang hormat, kita perlu menghormati mereka terlebih dahulu. Jadi disebabkan penerimaan yang baik itu, kami layan mereka seperti ahli keluarga sendiri juga,” katanya.

Dia yang menetap di Defence Services Staff College, Wellingtonmemberitahu, isu kotor seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak juga tidak wujud sebaliknya kawasan perkampungan mahupun rumah penduduk teramat bersih.

Anak bersekolah di Gurukul iaitu institusi pendidikan yang popular dalam filem Mohabbatein.

NURUL IMAN

“Kawasan di sini sangat cantik sedangkan saya bukanlah pergi ke lokasi tumpuan... tetapi memang tempat ini cantik. Bayangkan lantai rumah mereka pun berkilat seperti rumah masyarakat India di Malaysia,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat degil tak mahu jadi askar, 5 tahun bapa ‘pulau’ anak sendiri... Mujur dapat restu ibu, lelaki ini akhirnya jadi jurutera kimia

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 bulan di Lubnan, askar balik cuti plan kejutan buat si suri hati... batal trip ke Pulau Redang, ganti hadiah gajet untuk isteri - “Terpaksa berlakon setiap kali video call”

Menyentuh soal pendidikan anak-anak pula, dia yang mesra disapa Iman berkata, isu pembelajaran tidak menjadi masalah kerana bahasa utama yang digunakan di penempatannya adalah bahasa Inggeris.

“Alhamdulillah, main language adalah Inggeris. Apa-apa urusan rasmi memang guna bahasa Inggeris.

Antara bandar yang dikunjungi Iman bersama keluarganya.

Antara bandar yang dikunjungi Iman bersama keluarganya.

“Jadi anak saya tiada masalah untuk berbual dengan budak tempatan di sini kerana mereka dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.

“Memang rasa sangat gembira apabila sudah berada di sini lebih dari dua bulan,” ceritanya sambil berkata, anaknya bersekolah di Army Public School.

Tambahnya lagi, makanan yang disediakan sangat sedap serta mudah diperoleh.

Menepis dakwaan bahawa lokasi yang dihuninya bersih disebabkan berada dalam kawasan ‘kayangan’ (elit), tegas Iman, gambaran yang diberikan adalah berdasarkan pemerhatian dan perjalanannya di sekitar India dan bukan hanya bandar-bandar utama.

Malah, dia mengajak rakyat Malaysia untuk datang melihat keindahan serta mengenali masyarakat India dengan mata sendiri supaya dapat mengetahuinya dengan lebih mendalam.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain