suria

Selepas meraung teruk, bapa lega anak sebenarnya tak hilang di sekolah! Kesian pak guard ‘disalahkan’ gara-gara murid nama Zahra

Kisah Zehra yang kononnya hilang menjadi tular di Facebook selepas diceritakan semula oleh si bapa. (Foto kanan) Gambar hiasan.

SEMPENA hari lahir anak perempuannya tahun ini, seorang bapa membuat keputusan untuk bercerita tentang satu peristiwa ‘meruntun jiwa’ di media sosial.

Menurut si bapa, peristiwa itu berlaku pada 2018, ketika anaknya, Ericka El Zehra berusia lapan tahun.

Menceritakan pengalamannya di Facebook Rabbai Heimein II, dia ketika itu bertugas sebagai seorang perisik yang menyamar sebagai pemandu teksi di sekitar lapangan terbang yang tidak dinyatakan lokasi.

Tambahnya, pada hari kejadian dia terlambat mengambil anaknya di sekolah dan detik cemas timbul apabila dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa Ericka El Zehra tidak dapat dikesan.

Posting asal yang menjadi tular.

“Hari Khamis, lepas turunkan dia (Zehra) di sekolah dalam jam 12 tengah hari, saya dapat penumpang pergi airport.

“Dah turunkan penumpang kat airport saya pun terus masuk baris beratur untuk dapatkan penumpang yang keluar dari airport. Bajet (anggaran) saya mungkin jam 5 dapat la penumpang yang nak hala ke Kuala Lumpur. Kira sempatlah nak ambil dia balik dari sekolah.

“Sekali, penumpang yang saya dapat tu nak pergi Klang. Masa tu tak ada pula penumpang lain yang nak ke Kuala Lumpur. Kalau ada boleh swap dengan penumpang teksi lain. Tapi biasanya gagal main tukar ni sebab jarang ada teksi yang sukarela nak pergi Klang, melainkan rumah pemandu teksi tu belah-belah hala ke Klang,” jelasnya.

Gagal untuk bertukar penumpang dengan pemandu teksi lain dan tiada pilihan lain, dia terpaksa menghantar penumpang tersebut ke Klang.

Jelasnya, faktor masa dan jarak membuatkan dia tidak sempat untuk menjemput anaknya pulang dari sekolah seperti biasa, sebelum jam 6.30 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak perempuan mula hilang sabar, ibu sendiri bersifat ‘annoying’ suka kongkong rumah tangga... Kasihan suami banyak makan hati

ARTIKEL BERKAITAN: Anak disangka hilang dibawa ke Australia, kering air mata wanita ini 8 tahun menanggung rindu... benarlah doa ibu tiada hijab

Ketika dalam perjalanan menghantar penumpang, dia sempat memaklumkan tentang situasinya kepada guru yang mengajar Zehra bahawa anaknya bakal dijemput oleh seorang rakan.

Dia kemudian meminta nombor pegawai keselamatan bertugas daripada guru untuk memaklumkan perkara sama.

“Lepas turunkan penumpang dekat Klang, nak setting cun-cun ni. Call pak guard, cakap kawan akan jemput anak saya. Minta pak guard tolong tengokkan dia.

“Kemudian saya hantar gambar anak melalui WhatsApp. Lalu saya call kawan minta tolong pick up anak saya. Tapi masalahnya kawan saya tak pernah pula tengok anak saya. Saya pun bagi la gambar dekat dia melalui WhatsApp,” ujar si bapa.

Selepas menghubungi individu-individu sepatutnya, dia menarik nafas lega kerana dapat menyusun perjalanan pulang Zehra pada hari tersebut.

Namun, 'kelegaan' itu hanyalah seketika apabila rakannya menghantar pesanan melalui WhatsApp, jam 6.30 petang memaklumkan dia tidak menjumpai Zehra.

Para pelajar sedang menunggu untuk pulang ke rumah. -Gambar hiasan

Bagaimanapun, dia cuba menenangkan keadaan dengan menjelaskan kepada kawannya yang Zehra suka meronda kawasan sekolah sebelum pulang.

“Jam 6.40 petang kawan saya call, cakap anak saya tak ada dekat sekolah. Dia beri telefon ke pak guard, dia (pak guard) pun cakap anak saya tak ada dekat sekolah. Saya dah menggelabah.

“Bini saya? Dia tak terlibat sebab dia dekat kelas Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia). Kalau beritahu dia, keadaan akan jadi semakin tak terkawal.

“Bayangkan, 6.40 petang saya melekat dekat federal highway. Saya dalam kereta dah meraung macam nak gila. Macam mana Zehra boleh tak ada dekat sekolah? Dia ikut siapa? Tak boleh nak explain dah macam mana perasaan masa tu,” imbasnya.

Lebih kurang jam 7 petang, lelaki tersebut tiba di sekolah dengan keadaan cemas dan cuak.

Dia beri telefon ke pak guard, dia pun cakap anak saya tak ada dekat sekolah. Saya dah menggelabah.

RABBAI

Jelasnya, sebaik tiba dia ternampak pengawal keselamatan dan kawannya sedang berbual di luar pagar lalu segera menghampiri mereka.

“Belum lagi saya sempat saya buka mulut untuk mulakan perbualan, terdengar suara kanak-kanak dari belakang pondok guard. 'Yeay ayah saya dah sampai'. Suara Ericka El Zehra.

Pak guard dan kawan saya tercengang. Tadi pakcik tanya kamu, kamu nama Zahra ke, kamu cakap 'tak'...kenapa?," soal pengawal itu kepada Zehra.

“Dengan muka blur, hidung kembang kempis, Zehra pun balas, Kan nama saya Zehra. Eja Z.E.H.R.A, Zehra. Tapi pakcik cakap Zahra, haa Z.A.H.R.A. Kan tak sama bunyinya Zeh dengan Zah tak samalah. Bukan sayalah tu" imbas si bapa lagi mengenai penjelasan anak perempuannya yang panjang lebar.

Mendengar jawapan Zehra membuatkan mereka bertiga tepuk dahi.

Si bapa menjawab pertanyaan berhubung gambar Zehra yang diberikan kepada rakannya.

Ketika pulang, Zehra turut menceritakan pengalamannya membantu mencari murid yang bernama Zahra sehingga ke tandas sekolah.

Perkongsian yang menggeletek hati sesiapa sahaja yang membacanya ini telah meraih lebih 15,000 tanda suka dan lebih 5,000 perkongsian semula di Facebook.

Di ruangan komen, si bapa turut menjelaskan bahawa Zehra tidak mengakui dirinya setelah melihat gambar ditunjukkan rakannya kerana dalam foto itu dia tidak memakai baju sekolah serta tidak bertudung.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain