suria

3 tahun cari kerja, pergi banyak temuduga... satu pun tak berjaya! Anak Selangor di Sarawak harap ada sinar di hujung jalan

Syafiqah kesal masyarakat Semenanjung tidak diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan di Sarawak.

SEJAK kebelakangan ini, media sosial dipenuhi dengan luahan perasaan sebilangan rakyat Malaysia yang sukar mendapatkan pekerjaan.

Tidak terkecuali wanita berusia 30 tahun yang kini menetap di Kuching-Padawan.

Menceritakan pengalaman memohon pekerjaan sejak 2019, ujarnya yang ingin dikenali sebagai Syafiqah, dia tidak pernah diterima masuk ke mana-mana syarikat mahupun agensi kerajaan walaupun sudah berpuluh temuduga dihadiri.

Malah pemegang Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) dengan pangkat kelas pertama itu menyatakan dia tidak pernah memilih pekerjaan sejak berpindah ke bumi kenyalang kerana mengikut suami yang berkhidmat sebagai askar.

“Saya memang seorang wanita yang bekerjaya dan mempunyai pekerjaan tetap semasa berada di Semenanjung.

“Pengalaman saya dalam bidang PAKK tidak sebanyak orang lain tetapi saya boleh dan yakin dengan pengalaman yang saya ada untuk dikongsi selain berkeupayaan mendidik tidak kira umur.

“Saya ke Sarawak kerana mengikut suami yang kini hampir empat tahun berkhidmat dan akan berada di sini dalam tempoh masa yang panjang,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut anak jati Selangor itu lagi, dia sudah terbiasa bekerja sejak zaman diploma.

Tambahan pula, sesudah habis praktikal ijazah, dia ditawarkan pekerjaan dalam sektor swasta sehinggalah tahun 2019.

Ketika memohon kerja di Pejabat Pendidikan Padawan.

Ketika memohon kerja di Pejabat Pendidikan Padawan.

Namun, katanya, semenjak suami posting ke Sarawak pada tahun yang sama, dia masih belum ditawarkan pekerjaan walaupun telah memulakan pencarian sedari awal lagi.

“Saya sekarang mengikuti program pencarian kerjaya di bawah Perkeso. Alhamdullilah saya rasa lega kerana ada program ini dan dapat bantu saya untuk mencari kerja di Futurejob.

“Di samping itu, inisiatif saya sendiri untuk mencari kerja di laman sesawang sektor swasta mahupun kerajaan. Cakap saja apa jenis agensi pencarian kerja, saya sudah pun terokai. Tidak kurang juga di laman Facebook, Instagram mahupun di keratan akhbar,” luahnya lagi.

Meskipun ramai yang menyatakan dia sudah berkahwin dan tidak perlu mencari pekerjaan lagi, namun baginya mempunyai kerjaya sendiri dapat membantu menambah simpanan kewangan keluarga di samping menyelesaikan komitmen yang lain.

“Saya masih ada keluarga di Semenanjung dan mempunyai seorang cahaya mata. Lagi pula, saya seorang wanita yang sebelum ini berkerjaya serta mempunyai wang sendiri untuk simpanan atau melakukan komitmen lain.

Program Perkeso banyak membantu Syafiqah mencari pekerjaan.

Program Perkeso banyak membantu Syafiqah mencari pekerjaan.

“Hutang pelajaran juga belum saya langsaikan jadi disebabkan komitmen saya dan untuk masa depan, saya perlu mencari kerja,” katanya.

Saya faham dan saya ‘aware’ tentang perjanjian MA63. Andai dapat dilonggarkan atau ada pengecualian sudah syukur Alhamdullilah.

SYAFIQAH

Mengakui sukar mendapatkan kerja di Sarawak kerana bukan berasal dari bumi tersebut, Syafiqah berkata, dia pernah menerima kata-kata seperti ‘orang Semenanjung, susah nak ambil sebab kena uruskan permit kerja’ dan ‘kerja ini untuk Sarawakian saja’ semasa menghadiri temuduga.

Katanya, walaupun perit mendengar kata-kata tersebut, namun dia terpaksa akur kerana ia telah tertulis dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

ARTIKEL BERKAITAN: Penganggur kecil hati dapat kawan jenis tiada hati perut, paksa travel ketika 5 bulan ‘jobless’... Rupanya nak cukupkan korum je!

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar gaji ‘ciput’ tapi tak setanding beban kerja! Graduan ini pakat dengan encik tunang buka bisnes tudung

“Kalau kita tengok sendiri di ruang pencarian kerja, ada sesetangah pihak sudah memaklumkan kekosongan ini untuk semua tidak kira sesiapa dan ada juga yang mengatakan jawatan ini khas untuk rakyat mereka.

Syafiqah turut menghadiri karnivel kerjaya yang diadakan.

Syafiqah turut menghadiri karnivel kerjaya yang diadakan.

“Saya akur andai memang hanya untuk mereka (rakyat Sarawak) tetapi di mana kesudahan yang senasib kami di sini?

“Saya faham dan saya ‘aware’ tentang perjanjian MA63. Andai dapat dilonggarkan atau ada pengecualian sudah syukur Alhamdullilah,” luahnya lagi.

Tambah Syafiqah, perkongsiannya itu adalah untuk meminta syarikat-syarikat mahupun agensi supaya lebih terbuka dan memberi kelonggaran serta mempunyai cara yang lebih profesional dalam pengendalian mahupun pengambilan pekerja tanpa mengira bangsa dan asal.

Dia juga berharap rakan-rakan lain yang masih mencari kerja untuk teruskan usaha tanpa menghiraukan kata-kata yang boleh mematahkan semangat demi meringankan beban serta untuk simpanan pada masa hadapan.

Terdahulu video perkongsian yang dimuat naik di TikTok ditonton lebih 124,000 pelayar.

Rata-rata netizen menyatakan kesukaran mendapatkan pekerjaan di bumi kenyalang itu adalah disebabkan peluang kerja yang terhad.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain