suria

Setahun tunggu, baru guna seminggu kereta baharu ‘total lost’ akibat kemalangan! Pemuda syukur tiada kecelakaan ketika mak ayah guna di kampung

Akif terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 8 Mei lalu sehingga mengakibatkan kereta barunya 'total loss'.

BERPANTANG maut sebelum ajal.

Itulah pepatah sesuai bagi menggambarkan tragedi yang menimpa pemuda ini apabila nyawanya hampir melayang selepas terbabit dalam kemalangan, seminggu selepas umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Melihat kepada keadaan keretanya yang 'total loss', tiada siapa menyangka pemuda berkenaan hanya mengalami luka kecil pada bahagian mulut akibat terhantuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi pulang dari bazar Ramadan! Sempat hantar mak ayah balik rumah sebelum kereta baru beli terbalik 4 kali

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah jumpa kain putih bawah kereta selepas terlanggar bangkai anjing - “Ada yang fikir kami langgar mayat atau pocong”

Tidak terungkap rasa syukur kepada Yang Maha Esa kerana masih dipanjangkan usia, namun pemuda bernama Akif Firdaus ini mengakui dirinya tidak dapat menahan sebak setiap kali melihat gambar kereta model Toyota Vios miliknya remuk teruk.

Lebih menambahkan rasa sedih, Akif berkata kereta tersebut adalah kereta pertama yang dimiliki hasil titik peluhnya bekerja dan baru sempat menggunakannya dalam tempoh seminggu!

Mengimbas kembali insiden yang berlaku pada 8 Mei lalu, pemuda yang senang disapa Akif ini berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Semenyih, Selangor selepas menghantar seorang kenalan di Puncak Alam.

"Saya memandu berseorangan... ketika itu waktu sekitar pukul 11.30 malam. Saya memandu santai dengan kelajuan 70 kilometer/jam dan berada di lorong kiri.

"Tiba di Kilometer KM 17.7 Lebuh Raya Elite berhampiran Putra Heights, tiba-tiba ada sebuah kereta memintas kereta saya. Kereta tu nak potong tapi sebab ada kenderaan lain di lorong kanan, ia pintas kereta saya di sebelah kiri.

vios 2

Kereta baharu yang hanya sempat berada di dalam tangan selama seminggu.

"Disebabkan terkejut, saya cuba mengelak dan ketika itulah hilang kawalan lalu terbabas menghentam pembahagi jalan. Kereta itu pula lesap macam itu saja," ceritanya kepada mStar.

Menurut pemuda berusia 23 tahun ini, dia mengambil masa beberapa minit untuk 'menghadam' apa yang sedang menimpanya kerana segala-galanya berlaku dengan pantas.

"Saya langsung tak perasan keadaan kiri sebelah penumpang. Saya blank sekejap. Bila tenang dan beristighfar, saya cari telefon bimbit dan barang peribadi lalu keluar. Ketika itulah baru nampak keadaan sebenar kereta yang remuk.

"Sebelah kiri memang teruk. Besi penghadang tembus dari lampu depan kiri sampai ke seat belakang. Bahagian driver tak remuk. Waktu itu bukan saja bersyukur sebab nyawa masih panjang.

vios 3

Bahagian kiri kereta Akif remuk teruk ditembusi besi penghadang.

"Tapi saya bersyukur kerana dah selamat hantar kenalan. Saya tak dapat bayangkan kalau ada penumpang dalam kereta saya. Melihat keadaan besi yang tembus, mungkin siapa yang berada di sebelah kiri cedera parah atau tak survive," ujarnya yang bekerja dalam sektor swasta.

Bercerita lebih lanjut, Akif berkata kejadian tersebut adalah kemalangan kedua yang menimpanya dalam tempoh kurang dari sebulan.

"Pada 12 April lalu, saya kemalangan motor. Ketika itu saya dalam perjalanan nak ambil kereta ini. Motor saya hilang kawalan ketika melalui jalan berpasir. Mujurlah saya hanya luka-luka ringan.

"Disebabkan kemalangan itu, saya tangguh untuk ambil kereta pada keesokan harinya. Lepas ambil kereta, saya hantar ke kampung di Lanchang, Pahang untuk bagi ibu dan ayah merasa dulu.

Bila fikir balik, saya kurang ralat sebab sempat bagi ibu dan ayah merasa sebab ibu pernah sebut nak naik kereta baru saya.

AKIF FIRDAUS

"Ketika hari raya apabila saya pulang ke kampung, barulah saya ambil kereta tersebut. Sempat jugalah ibu ayah merasa kereta saya dua minggu... manakala di tangan saya pula seminggu.

"Bila fikir balik, saya kurang ralat sebab sempat bagi ibu dan ayah merasa sebab ibu pernah sebut nak naik kereta baru saya," ujarnya lagi.

Sungguhpun agak perit untuk dikenang, Akif berkata dia reda dan menganggap apa yang berlaku sebagai ujian daripada Tuhan.

"Itu adalah kereta pertama hasil penat lelah bekerja. Setahun juga saya tunggu sebab prosesnya mengambil masa. Bila dah dapat, sempat berjodoh sekejap pula.

vios 1

Sungguhpun perit, Akif menganggap apa yang berlaku sebagai ujian dari Yang Maha Esa.

"Bagi saya, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin bukan rezeki saya. Mungkin juga belum sampai waktu untuk saya berkereta. Saya juga banyak bermuhasabah diri.

"Mungkin ada benarnya juga pesanan orang-orang tua... jangan terlalu suka, nanti bertukar duka. Jadi kepada orang di luar sana, bila dapat sesuatu benda tu, kena bersyukur dan zuhud. Jangan berlebihan.

"Sehingga sekarang pun saya masih terkejut dan sebak jika tengok video dan gambar. Buat masa ini, tiada lagi perancangan untuk beli kereta baru. Tak sangka video yang dimuat naik abang saya di TikTok raih sehingga lebih 300,000 jumlah tontonan.

"Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain