suria

Pemuda ini sedar rabun warna semasa pemeriksaan mata di sekolah rendah, tak sangka ramai berminat nak tahu... mujur tak minat kejuruteraan

Jaa mengalami masalah rabun warna sejak kecil.

MASALAH penglihatan rabun warna jarang sekali didengari namun tetap ada dalam kalangan kita.

Demikian yang dialami pemuda ini, Nik Muhammad Nur Afza Mad Zaid, 20 yang mengalami kesukaran melihat rona sebenar dalam menjalani kehidupan harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Impian bergelar pilot terkubur, rakan sekuliah 'penyelamat' si rabun warna.... “Ibu tampal sticker objek ikut warna pada pensil bagi saya cam”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki buta warna pilih kerjaya jurufoto, hasilnya sangat wow! - “Client ragu-ragu, saya tak ambil hati”

Jelasnya ketika dihubungi mStar, dia mula menyedari tentang masalah matanya ini sewaktu pemeriksaan di sekolah rendah di Jerteh, Terengganu.

"Dulu tak tahu saya ni rabun warna. Masa darjah empat, ada nurse datang sekolah buat pemeriksaan mata. Masa ujian rabun jauh dan dekat tu saya tak ada masalah. Bila buat ujian rabun warna saya tak nampak dah semua nombor.

"Warna terang-terang saya masih nampak. Ada warna gelap sikit saya dah nampak samar-samar. Nak lihat sekeliling saya masih nampak je. Kadang-kadang je saya tengok objek biru muda, saya nampak macam warna hijau.

"Bagi saya, rabun warna ni tak susah sangat. Saya masih bukan di tahap kritikal lagi. Warna-warna asas tu saya masih nampak lagi.

Bercerita mengenai masalah mata dihadapi pemuda mesra disapa Jaa ini, jururawat tersebut juga memaklumkan bahawa Jaa tidak boleh mengambil bidang kejuruteraan sebagai kerjaya kelak.



Jaa mengambil bidang Pendidikan Bahasa Melayu di sebuah institusi di Kuala Nerang, Terengganu.

"Lepas nurse check dan sahkan saya rabun warna, dia bagitahu saya tak boleh jadi engineer. Nanti saya salah tengok warna wayar pula.

"Saya tak sedih dan terima saja masa dapat tahu tu. Lagipun saya memang tak minat bidang tu. Saya anggap ini sebagai ujian Allah nak bagi dekat saya.

Saya sangat happy bila pakai spec dan contact lens tu, tak sangka selama ni macam tu nikmat dapat melihat secara normal.

NIK MUHAMMAD NUR AFZA

Jelas anak bongsu daripada empat beradik ini, dia tidak melihat rabun warna sebagai satu kekurangan, namun menjadikan ia sebagai satu kekuatan buat dirinya.

Malah katanya, dia juga tidak mengalami kesukaran ketika mahu mengambil lesen kenderaan tetapi masih memerlukan surat pengesahan daripada hospital terlebih dahulu.

"Saya masih boleh ambil lesen kenderaan. Tapi saya kena ada surat pengecualian daripada doktor terlebih dahulu.

"Dekat lampu isyarat saya boleh je nampak. Alhamdulillah tak pernah lagi ada kejadian tak diingini berlaku semasa saya memandu.

Menurut Jaa yang kini menuntut dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di sebuah institusi di Kuala Nerang, Terengganu, dia turut berkongsi video mengenai masalah mata yang dihadapi di Tiktok.



Reaksi Jaa ketika pertama kali melihat secara normal meraih perhatian ramai.

Ujarnya, setelah melihat video-video tersebut menjadi tular, dia tidak menyangka bahawa ramai netizen yang berminat untuk mengetahui berkenaan masalah rabun warna yang dihadapi.

"Sejak main TikTok dari 2020, saya banyak terima reviu makanan dan produk daripada seller lain sekitar Kelantan dan Terengganu. Pernah satu video tu saya reviu kedai cermin mata. Pekerja kedai tu ada minta saya cuba cermin mata dan contact lens yang khas untuk orang rabun warna.

"Saya upload rakaman video tu dekat Tiktok, sebab saya sendiri teruja bila tahu ada kanta khas untuk orang rabun macam saya ni. Tak sangka video saya dapat perhatian sampai ramai yang excited nak tahu pasal orang rabun warna.

"Jadi saya banyak share pasal pengalaman saya yang ada masalah ni. Mungkin ramai yang tak tahu sebab tak banyak kita jumpa orang yang ada masalah macam ni di Malaysia," ujarnya.

Menurut Jaa lagi, dia tidak menyangka bahawa harga untuk sepasang kaca mata untuk orang yang memiliki masalah seperti yang dihadapinya ini mampu milik.

Malahan, dia sangat teruja setelah melihat keadaan dan warna sekeliling menggunakan contact lens dan kaca mata yang dicuba di kedai cermin mata di Jerteh, Terengganu.



Jejaka ini tidak menghadapi kesukaran dalam mengambil lesen kenderaan sama seperti orang lain.

"Saya sangat happy bila pakai spec dan contact lens tu, tak sangka selama ni macam tu nikmat dapat melihat secara normal. Saya pun tengah usahakan kumpul duit untuk beli kaca mata tu.

"Saya harap semua orang dapat jaga mata dengan baik sebab dah tak ada ganti kalau rosak. Dapat melihat dengan baik ciptaan Allah pun satu nikmat yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," tambah Jaa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain