suria

Kasihan! Bersungguh laung, ingatkan panggil nenek sendiri... rupa-rupanya si kecil ini hanya tumpang kasih jiran

Anak bongsu Bya, Jibril bersama nenek yang merupakan jiran mereka.

TIDAK semua orang berkesempatan atau berpeluang merasai kasih sayang daripada datuk dan nenek.

Sebuah video yang dikongsikan oleh seorang wanita mengenai gelagat anak bongsunya yang melaung memanggil 'nenek' di pagar, benar-benar menyentuh hati warganet.

Mana tidaknya, 'nenek' yang dipanggil oleh si kecil tersebut bukanlah neneknya sendiri, sebaliknya wanita itu adalah seorang warga emas yang juga jirannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan dapat kerusi baharu, rupa-rupanya nenek buka bonet disergah 3 cucu! Lega plan kejutan menjadi, nasib baik ibu tak pengsan - "Jenuh nak jawab nanti"

ARTIKEL BERKAITAN: Opah lagi best! Nenek rela batal temu janji selepas ‘tewas’ dengan video cucu, cubaan ibu ‘umpan’ anak gagal - “Dia seret beg sampai tengah malam”

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang mahu dikenali sebagai Bya Rahman berkata, anak kecilnya yang berusia dua tahun itu sememangnya tidak sempat untuk merasai kasih sayang daripada seorang nenek lantaran ibu dan ibu mentuanya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

"Ibu saya meninggal dunia pada 2015 kerana strok, manakala ibu mentua saya pula meninggal dunia dah lama, sebelum saya berkahwin dengan suami lagi.

"Maksudnya anak-anak saya dah tak ada nenek sama ada sebelah saya ataupun bapa mereka. Hanya anak sulung dan anak kedua saya je sempat kenal nenek mereka... itu pun arwah dah sakit masa mereka kecil lagi.

"Jadi yang si bongsu ni langsung tak kenal nenek dia. Mujurlah ada jiran yang baik hati... bolehlah dia menumpang kasih seorang nenek. Sekarang jiran di depan dan di sebelah rumahlah jadi 'nenek' tempat dia bermanja," ujar wanita berusia 37 tahun ini ketika bercerita mengenai anak kelimanya, Aldrich Jibril.

bya 1

Bya bersama suami dan lima anak lelakinya.

Bya berkata, anak bongsunya yang dipanggil Jibril sememangnya seorang yang mudah mesra dengan individu yang biasa dilihatnya termasuklah jiran-jiran di sekitar taman perumahan.

"Kalau buka je pintu rumah, kemudian dia nampak kelibat nenek-nenek dia, terus dia melaung. Waktu saya rakam video ketika dia melaung nenek sebelah rumah banyak kali, neneknya tak ada di rumah.

"Kalau berjalan-jalan sekitar taman perumahan waktu petang, ada saja dia dapat coklat, jajan, air kotak dan macam-macam lagi daripada dua neneknya tu.

Kalau buka je pintu rumah, kemudian dia nampak kelibat nenek-nenek dia, terus dia melaung.

BYA RAHMAN

"Kesian juga mengenangkan anak hanya mampu tumpang nenek orang lain. Nenek saudara pula jauh di Singapura. Alhamdulillah, rezeki kami dapat jiran yang baik.

"Saya selalu bercerita dan tunjukkan gambar arwah ibu dan ibu mentua kepada anak-anak. Biar mereka kenal nenek mereka. Arwah ibu saya sememangnya seorang yang sangat manjakan cucu-cucunya.

"Waktu dia sihat, apa saja cucu minta, mesti dapat. Lagi satu, dia suka menangkan cucu-cucunya," cerita Bya yang juga ibu kepada lima cahaya mata.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih sehingga melebihi 355,000 jumlah tontonan, Bya berkata dia terharu dengan komen rata-rata netizen yang secara sukarela 'menawarkan' diri mahu menjadi 'nenek' kepada anak kecilnya itu.

bya 2

Bya bersama anak bongsunya, Aldrich Jibril.

"Ada yang komen, datanglah sini dekat nenek. Ramai betul offer jadi nenek. Ada juga yang teringat dekat cucu masing-masing bila dengar Jibril melaung 'nenek'.

"Tak sangka pun video tu viral. Namun apa yang boleh saya kongsikan, ukhuwah sesama jiran tu penting. Alhamdulillah rezeki dapat jiran baik, bolehlah tumpang kasih, boleh minta tolong kalau kecemasan.

"Janganlah menyombong kalau hidup berjiran," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain