suria

‘Bapa B40’ buka cerita tak habis sekolah... akui kerap termenung, menangis di tempat kerja kenangkan nasib anak-anak – “Tak mahu mereka jadi seperti saya”

Foto kiri Hamdan berkongsi situasi yang dihadapinya, foto kiri salah seorang anaknya belajar di rumah.

SUARA tangisan seorang bapa meluahkan perasaan mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjadikan stesen radio Suria.fm halwa terlinga mereka pada pagi Isnin.

Bukan wang ringgit yang diminta, jauh sekali mengharapkan gajet canggih tetapi hanya mahu berkongsi suara hatinya terhadap topik 'Murid tak join Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh digantung sekolah' yang diutarakan dalam Segmen Team Pagi Suria.

Ia susulan cadangan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini, agar hukuman gantung persekolahan ke atas murid yang tidak mengikuti sesi PdPR selama tiga hari berturut-turut tanpa alasan kukuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah PdPR! 'Bapa B40' menangis teresak-esak di radio, tak mampu beri pendidikan terbaik untuk 5 anak - "Mereka ketinggalan, saya nak ajar tak pandai"

Sama sekali tidak menyangka luahannya meraih perhatian ramai selepas ke udara, bapa lima anak itu, Hamdan Mohd Isa berkata, pendapatannya sebagai pembantu am rendah di sebuah sekolah tidak sebesar mana tetapi bersyukur masih mampu menyara keluarganya.

Dia mengakui hanya sebuah telefon pintar kepunyaan isteri yang digunakan tiga daripada lima anaknya yang masih bersekolah ketika sesi PdPR secara bergilir-gilir.



"Isteri saya suri rumah, jadi bila ada kelas online ketiga-tiga anak saya akan bergilir-gilir menggunakannya. Bukanlah canggih pun, cuma kadang-kadang liputan tidak begitu baik.

"Kalau ada kelas online anak-anak berlaku serentak, saya akan tinggalkan telefon saya di rumah untuk kegunaan mereka. Saya pergi kerja tanpa bawa telefon, dahulukan untuk kegunaan anak-anak," katanya yang berusia 51 tahun kepada mStar.

Namun kerisauan Hamdan sebenarnya bukanlah terletak pada kemudahan gajet bagi memudahkan PdPR, tetapi kesukarannya untuk membimbing anak-anaknya dalam pelajaran.

Dia yang berasal dari Raub, Pahang tidak mampu memberi tunjuk ajar kepada tiga anaknya yang bersekolah, masing-masing berusia 16, 13 dan 10 tahun kerana tidak berkelulusan tinggi.



Penyampai Suria.fm, Ajak Shiro (kiri) dan Issey Fazlisham tersentuh ketika mendengar kisah Hamdan.

"Saya dari keluarga susah, ayah saya cuma peneroka Felda dan ibu suri rumah. Jadi saya hanya berlajar setakat Tingkatan Empat, itupun tak habis sebab tak mampu.

"Isteri saya lagilah, hanya belajar setakat Darjah Empat. Keluarga dia pun susah juga. Jadi, selama ini kami mengharapkan guru-guru yang boleh mengajar anak-anak kami.

"Walaupun saya sekarang pun susah, dari keluarga B40... tapi saya tetap sekolahkan anak-anak selagi boleh. Saya tidak mahu mereka jadi seperti saya yang tak berpelajaran," katanya yang mempunyai gaji bersih bulanan kira-kira RM1,300.

Saya bukan nak bantuan kewangan atau laptop atau telefon, cukuplah apa yang kami ada. Tapi saya merayu agar kerajaan dapat mempertimbangkan nasib ibu bapa yang tidak berpendidikan tinggi seperti saya untuk memastikan pelajaran anak-anak terus terjamin.

HAMDAN

Menurut Hamdan yang menetap di Temerloh, air mata lelakinya jatuh jua apabila mengenang nasib anak-anak yang memerlukan bantuannya dalam pelajaran.

"Bila anak-anak minta ajar, saya tak reti. Ada juga saya usahakan bukan tak usaha, tapi selalu je tak betul. Saya sendiri pun tak faham, dan tahu memang salah.

"Bila tengok kesusahan anak-anak buat PdPR, saya kasihankan mereka. Tapi saya tak tunjuk kesedihan saya di hadapan mereka. Saya biasa akan termenung di tempat kerja mengenangkan anak-anak dan ketika itulah saya boleh menangis.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kadang-kadang saya rasa menyesal sebab tak belajar tinggi, tak dapat bantu anak-anak belajar. Tapi saya reda sebab saya dulu bukan dari keluarga senang," katanya dengan nada sebak.



Hamdan cuba tidak menunjukkan kesedihannya di hadapan anak-anak. -gambar hiasan

Bagaimanapun kata Hamdan, dia bersyukur kerana menyedari sebenarnya lebih ramai yang jauh lebih susah daripadanya dan turut terjejas dengan PdPR ketika PKP ini.

"Saya bukan nak bantuan kewangan atau laptop atau telefon, cukuplah apa yang kami ada. Tapi saya merayu agar kerajaan dapat mempertimbangkan nasib ibu bapa yang tidak berpendidikan tinggi seperti saya untuk memastikan pelajaran anak-anak terus terjamin.

"Saya tak salahkan guru-guru, mereka semua bagus-bagus. Cuma bukan semua anak-anak yang bernasib baik ada mak ayah yang boleh bimbing mereka sepanjang PdPR.

"Saya berharap sangat kerajaan membenarkan sekolah dibuka sekolah sekiranya keadaan selamat bagi kawasan-kawasan zon hijau dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan. Biarlah mereka bergilir-gilir ikut hari datang ke sekolah pun tak apa.

"Dengarlah suara kami mak ayah B40 ni yang tak pandai ajar anak-anak mereka sebab tak berpendidikan tinggi atau orang sekarang kata 'low class'. Saya merayu," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain