suria

Berpanas dari KL ke Kuala Pilah! Kegigihan rider hantar ‘makanan pengikat kasih’ gembirakan ibu mentua uzur - “Saya sangka motor dia berkuasa tinggi”

Seorang penghantar makanan membuat penghantaran dari Kuala Lumpur ke Dangi dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

PERJALANAN seorang penghantar makanan ini merupakan pengalaman yang jarang-jarang berlaku kepada rider lain, tidak seperti kebiasaan.

Menerusi satu video di aplikasi TikTok, lelaki berkenaan sanggup menunggang motosikal sejauh lebih 120 kilometer (km) dari Kuala Lumpur ke sebuah kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi memenuhi permintaan sebuah keluarga.

"Kegigihan mencari nafkah tu," tulis seorang wanita menerusi keterangan video.

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi rider selepas dibuang kerja, 2 beradik sengau dedah sebab hantar Musang King berdua... - "Kalau telefon terpadam habislah"

ARTIKEL BERKAITAN: Rider muka garang cemas kopi habis tumpah... reaksi pelanggan 'kempunan' memang tak disangka - "Esoknya terkejut dapat bungkusan"

Wanita berkenaan, Shahila Kasa berkata, penghantaran itu dibuat baru-baru ini yang mana segala urusan termasuk bayaran dibuat oleh kakak ipar dan anak saudaranya yang menetap di Kuala Lumpur.

Dia yang berusia 46 tahun itu memberitahu, rider tersebut menghantar sebiji kek butter dan sebekas ikan bakar untuk ibu mentua yang tinggal bersamanya di Dangi dekat Johol.

"Ibu mentua saya yang uzur tidak sihat kira-kira seminggu sebelum penghantaran itu. Sakit tua, dah berusia 87 tahun. Sebelum ini pernah guna alat bantuan pernafasan.

"Jadi, kakak ipar hantar kek butter yang dibuat keluarganya yang menjadi kegemaran ibu mentua untuk naikkan semangat. Bukan bisnes kek, hanya buat suka-suka.

"Sebelum ini setiap kali Hari Raya atau balik bercuti di kampung, kakak ipar pasti akan buat kek butter dan bawa untuk ibu mentua. Tapi dah lama dia tak balik kerana sekatan rentas negeri disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya kepada mStar.



Kek butter kesukaan ibu mentua.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Shila, katanya, anak saudaranya pula berniaga ikan bakar di Keramat, Kuala Lumpur turut mengirimkan hidangan itu untuk neneknya.

"Mulanya nak kirim kek melalui pos saja, tapi sebab anak buah nak hantar ikan bakar yang dimasak, jadi guna khidmat penghantaran.

"Bila abang rider tu hantar pesanan ke rumah dari Kuala Lumpur, ibu mentua seronok sangat. Nampak happy di wajah dia... Alhamdulillah, keadaan ibu mentua selepas itu bertambah baik," ujarnya yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah.



Ikan bakar kiriman anak saudara.

Menurut guru yang berpengalamaan selama 23 tahun itu, dia sebenarnya terkejut sewaktu menerima kehadiran penghantar makanan tersebut.

"Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Pilah bukannya dekat, boleh mengambil masa hampir dua jam. Saya sangka motor dia berkuasa tinggi sebab sanggup datang dari jauh.

Semoga Allah murahkan rezekinya, dan selamatkan perjalanannya menghantar barang ke mana saja. Mereka bukan sekadar hantar makanan, tapi juga pengikat kasih antara keluarga seperti kami dari kejauhan.

CIKGU SHILA

"Bila dia sampai, saya sebak tengok keadaan motor dia biasa, tapi terharu kerana kegigihan dia mencari rezeki sampai sejauh ini. Sudahlah cuaca panas terik masa tu.

"Dalam keadaan sekarang, antara kita mengalami kesulitan akibat PKP, dia ambil job walaupun jauh demi meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga," katanya.



Cikgu Shila (belakang, kanan) bersama ibu mentua (belakang, tengah) dan suami (belakang, kiri) serta anak-anak.

Cikgu Shila yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, peranan penghantar makanan itu juga sebenarnya menjadi pengikat kasih antara keluarga yang tinggal berjauhan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Tak boleh rentas negeri buat sementara waktu, pemberian daripada kakak ipar ibarat pengikat kasih selain panggilan telefon dan video call.

"Pesanan saya buat abang rider tu, terima kasih kerana bersusah-payah sampai sanggup hantar makanan sampai ke Kuala Pilah.

"Semoga Allah murahkan rezekinya, dan selamatkan perjalanannya menghantar barang ke mana saja. Mereka bukan sekadar hantar makanan, tapi juga pengikat kasih antara keluarga seperti kami dari kejauhan," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain