suria

Dari subjek gagal terus ubah strategi sampai dapat 9A! Pelajar ini anggap ada hikmah di sebalik PKP, jadi ‘guru’ ajar lebih 100 calon SPM

Foto kiri Alif semasa di MRSM Beseri, dan foto kanan ketika mengajar menerusi kelas online.

DULU remaja ini memperoleh keputusan gagal bagi subjek Matematik sewaktu di tahap menengah rendah, malah mendapat A bagi mata pelajaran lain pun sukar sekali.

Selepas lima tahun, dia kini berbangga dengan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila berjaya mencapai 'straight A' bagi kesemua sembilan subjek.

Bukan 'edit', namun itulah realiti transformasi seorang remaja yang membuat perkongsian tersebut menerusi video di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A!

ARTIKEL BERKAITAN: Apa sudah jadi? Lepasan SPM sujud syukur selepas teruja tengok keputusan, tapi kemudian menangis teresak-esak di riba ibu

Remaja berkenaan, Alif Iskandar Shamsuhaime mengakui tidak berminat dengan subjek Matematik ketika di peringkat menengah rendah.



Keputusan peperiksaan Alif ketika menengah rendah.

"Bila tak minat, saya belajar pun main-main. Bila dapat keputusan peperiksaan, memang gagal dengan keputusan F untuk Matematik seperti yang dijangka.

"Saya kemudian mendapati Matematik tak susah pun sebenarnya, saya sendiri buatnya susah. Cikgu-cikgu bersusah-payah mengajar tapi saya main-main," katanya kepada mStar.

Alif berkata, transformasi dirinya bermula apabila dia terdetik hati untuk bertemu dengan senior-seniornya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri di Perlis bagi mendapatkan tip menjadi pelajar cemerlang.



Mengajar menerusi kelas online ketika PKP.

"Senior-senior kata beri lebih tumpuan kepada subjek yang kita rasa susah. Sejak itu saya buat persiapan untuk target keputusan lebih baik dalam PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga).

"Selama ini saya selalu ikut cara belajar macam rakan-rakan lain. Tapi selepas itu saya belajar mengikut kaedah sendiri yang saya lebih selesa dengan gaya belajar kinestetik.

"Antara yang saya buat adalah menulis nota yang pertama sebagai draft dan fahamkannya, sebelum menyalin semula untuk nota yang lebih lengkap dengan tambahan info dan gambar menarik untuk pemahaman lebih berkesan," ujar anak kelahiran Sepang, Selangor itu.



Ketika mengajar rakan-rakan yang juga calon SPM di kelas.

Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, prestasinya menunjukkan peningkatan apabila memperoleh keputusan A untuk enam subjek daripada 10 mata pelajaran bagi PT3.

"Matematik saya meningkat daripada gagal kepada C dan seterusnya B dalam PT3. Masa tu saya semakin bersemangat sebab nampak corak belajar yang baru berhasil.

"Bila masuk Tingkatan Empat, saya belajar di aliran Sains dan Matematik dah dapat A, tapi masa tu belum A+. Saya juga mencapai keputusan yang baik dalam subjek Fizik," ujarnya.



Keputusan cemerlang Alif dalam SPM 2020.

Namun timbul persoalan dalam dirinya sama ada boleh mencapai keputusan semua A dalam SPM 2020 berikutan cabaran yang dihadapi akibat pandemik Covid-19.

"Boleh ke saya dapat 9A? Mulanya saya tak yakin sebab masa dah suntuk. Tiba-tiba PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan menyukarkan lagi keadaan.

Saya kemudian mendapati Matematik tak susah pun sebenarnya, saya sendiri buatnya susah. Cikgu-cikgu bersusah-payah mengajar tapi saya main-main

ALIF

"Tapi saya anggap PKP sebagai hikmah yang memberikan saya lebih masa untuk membuat persediaan termasuk mengajar rakan-rakan di Tingkatan Lima menerusi program guru muda.

"Dari kelas online membabitkan lebih 100 calon SPM hingga belajar di kelas dengan kira-kira 30 pelajar bagi setiap sesi. Peranan saya seperti guru dengan konsep seperti tuisyen," katanya yang membimbing rakan-rakannya menerusi 20 kelas secara keseluruhan.



Alif (kanan) mendapat sokongan daripada keluarga.

Alif berkata, dia seperti tidak percaya apabila memperoleh keputusan SPM dengan 9A, baru-baru ini kerana menyedari dahulunya mencatatkan subjek yang gagal.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya fikir tak kisah dari mana kita mula, tapi dari mana ia akan berakhir. Apa yang penting adalah dedikasi dan motivasi serta sokongan daripada keluarga, guru-guru dan rakan-rakan.

"Macam tak percaya pernah dapat F dan sekarang peroleh 9A. Syukur Alhamdulillah," katanya yang bercita-cita untuk menjadi jurutera mekanikal.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain