suria

Wow! Berkain pelikat angkat tong gas, ramai kagum tengok ‘bicep’... tapi apa hal pula pemuda ini pakai ‘gelang putih’?

Ali Dzul melakukan senaman di rumah menggunakan tong gas.

MENJADIKAN tong gas sebagai peralatan alternatif untuk melakukan latihan dan senaman di rumah ketika pandemik Covid-19 bukan perkara baharu.

Namun menerusi video terbaharu di aplikasi TikTok, seorang pemuda menjadi perhatian apabila berkain pelikat ketika bersenam mengangkat tong gas di rumah.

"Memang steady lah bro. Selamba je angkat tong gas macam tu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara tayang 'bicep', video 'buang sampah' raih lebih 320,000 tontonan di TikTok... pemuda Kluang perjelas simbolik di sebaliknya, bagai jatuh ditimpa tangga

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah turun 66kg dalam setahun... Penat usaha, ada pula sanggup tuduh kurus sebab hisap dadah! –- "Yang tak kenal akan kata fake"

"Besar betul bicep abang ni," demikian antara komen-komen netizen.



Senaman yang dilakukan oleh Ali Dzul ketika menjalani kuarantin di rumah.

Pemuda berkenaan, Ali Dzulfiqar Al Murtaza Dzulkifli berkata, dia menggunakan tong gas kosong seberat kira-kira 16 kilogram (kg) sebagai aktiviti senaman di rumah.

Pada masa sama, anak muda berusia 26 itu mahu menghabiskan tempoh kuarantin di rumah sewanya dengan aktiviti berfaedah selepas menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

"Dalam video saya angkat tong gas tu nampak gelang putih di tangan, tanda saya menjalani kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat kepada seorang rakan serumah.

"Sebenarnya dah hampir sebulan saya menjalani kuarantin ni, mula-mulanya dua minggu apabila seorang rakan serumah disahkan positif Covid-19, selepas itu sambung kuarantin selepas seorang lagi rakan serumah pula dijangkiti Covid-19," katanya kepada mStar.



Senaman seumpama ini menguatkan otot dan stamina.

Lebih mesra disapa Ali Dzul, dia mula melakukan aktiviti kecergasan sejak usianya 17 tahun dan lebih menumpukan senaman berat badan, tanpa menggunakan peralatan.

Berkongsi pengalaman, dengan ketinggian badan yang agak rendah iaitu 160 sentimeter ketika itu, dia mempunyai bentuk badan sedikit berisi dengan berat 65kg.

"Ramai yang tegur saya badan berisi dan 'berlemak' masa tu. Malah, antara mereka tak yakin saya mampu berubah, mereka kata buatlah berpuluh tahun pun macam tu juga.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengurangkan berat badan kepada 57kg dan badan menjadi lebih fit dalam tempoh lima tahun menerusi senaman dan diet pemakanan," katanya yang berasal dari Klang, Selangor.



Tanpa perlu ke gim, Ali Dzul masih melakukan latihan di mana-mana.

Menurut anak kelima daripada 13 beradik itu, perubahan fizikalnya itu menarik perhatian segelintir pihak dan memberinya semangat untuk menjadi jurulatih kecergasan.

Namun kata Ali Dzul, dia masih meneruskan konsep senamannya tanpa perlu berlatih di gim bagi kliennya yang mahu menguruskan badan dan mempunyai fizikal yang lebih berotot.

Nak kuruskan badan ke, nak badan sado ke bukan berlatih dua, tiga hari terus nampak perubahan. Sekurang-kurangnya ambil masa beberapa bulan. Kena sabar, disiplin dan konsisten

ALI DZUL

"Saya bukannya anti gim tapi ketika itu penat kalau workout di gim selepas kerja. Kalau dah balik rumah, lagi tak bersemangat untuk keluar semula ke gim.

"Masa tu pula saya tak ada bajet untuk bayar yuran keahlian di gim yang bukannya murah. Itu belum lagi kos yang perlu dibayar untuk sesi latihan bersama personal trainer," ujarnya yang bekerja sebagai jurutera bunyi sebelum beralih kepada jurulatih kecergasan sejak empat tahun lalu.



Menurut Ali Dzul, displin dan konsisten amat penting untuk melakukan perubahan pada fizikal.

Mengenai video 'tong gas', dia yang bakal mengakhiri tempoh kuarantin pada Ahad ini mahu menyampaikan mesej bahawa disiplin amat diperlukan untuk berlatih secara konsisten.

"Nak kuruskan badan ke, nak badan sado ke bukan berlatih dua, tiga hari terus nampak perubahan. Sekurang-kurangnya ambil masa beberapa bulan. Kena sabar, disiplin dan konsisten.

"Kalau bosan asyik buat senaman sama, boleh cuba latihan lain seperti guna tong gas ni. Ada beberapa senaman untuk menguatkan otot bahu, lengan seperti biceps dan triceps dan skuat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Tak ada masalah kalau tak ada tong gas kosong di rumah. Boleh juga guna barang-barang lain di rumah sebagai alternatif seperti baldi berisi air, kerusi dan meja makan untuk melakukan senaman, selain menjaga pemakanan harian," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain