suria

Wajah mirip Nora Danish, tapi idolanya Neelofa... jangan tanya tentang rawatan veneer kepada gadis ini - “Gigi saya memang panjang”

Mai dikatakan mirip wajah pelakon Nora Danish.

NIAT awalnya mahu berkongsi tip kecantikan dan menghiburkan para pengikut di aplikasi TikTok, namun wajahnya menjadi bualan ramai.

Gadis berkenaan dikatakan mirip pelakon Nora Danish, malah ada yang menyamakannya dengan usahawan dan selebriti Neelofa.

Turut hangat di ruangan komen video-video yang dikongsikannya adalah mengenai bentuk gigi hadapan gadis itu sehingga ada yang menjadikannya bahan gurauan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aktif berborak di TikTok, followers sedar jejaka mix Melayu-Itali ini ada persamaan dengan Syamsul Yusof - "Rasa kelakar bila ramai tak percaya"

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Siapa jejaka 'tinggi luar biasa' persis bintang Korea Lee Kwang Soo berjalan di tengah KL? - "Umur 5 tahun dah sama tinggi abang"

Mai Husna Mior Kamarul Bahrain berkata, dia mula aktif di aplikasi itu sejak awal tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.



Selain Nora Danish, wajah Mai turut dikatakan mirip Neelofa.

Mengenai persamaan dengan wajah beberapa selebriti popular, dia yang berusia 24 tahun itu sudah lali dengan komen-komen sebegitu sebelum ini.

"Sebenarnya sebelum saya ada akaun TikTok lagi, rakan-rakan terutama yang rapat dengan saya sudah lama menyamakan saya dengan Nora Danish dan Neelofa.

"Bagi saya, tak ada persamaan pun. Itu pandangan masing-masing. Jadi bila ada followers di TikTok bercakap perkara yang sama, saya tak terkejut pun," katanya kepada mStar.



Mai (kiri) bersama pelakon Nora Danish.

Lebih mesra disapa Mai, dia bagaimanapun mengakui dua batang gigi hadapannya lebih panjang sehingga menjadi perhatian ramai.

"Dulu masa saya kecil, gigi saya tak berapa cantik... gigi jarang-jarang. Rasa insecure dengan kritikan orang. Saya kemudian pakai braces (pendakap gigi) semasa darjah enam.

Dulu masa saya kecil, gigi saya tak berapa cantik... gigi jarang-jarang. Rasa insecure dengan kritikan orang. Saya kemudian pakai braces (pendakap gigi)

MAI

“Ada juga tampal gigi bagi menutup bahagian yang jarang. Tapi disebabkan saya tak menjaganya dengan baik secara konsisten, jadi gigi saya kembali jarang.

"Gigi saya memang panjang dua batang di bahagian depan, hingga ada followers labelkan 'gigi arnab'," ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.



Ketika terlibat dalam penggambaran iklan.

Namun, hati anak ketiga daripada empat beradik itu tersentak apabila disangka melakukan rawatan veneer bagi mencantikkan giginya.

"Saya tak faham kenapa ramai yang suka cakap pasal gigi saya. Dari kecil ada kawan-kawan yang kutuk pasal gigi saya, tapi saya sedar memang gigi saya jarang dan panjang.

"Cuma saya triggered bila ada yang membuat andaian yang saya melakukan veneer. Kalau saya buat veneer, gigi saya jauh lebih cantik berbanding sekarang," katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawan Kesihatan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Berminat dalam bisnes, Mai yang kini menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Kuala Lumpur berjinak-jinak dalam perniagaan produk penjagaan muka scrub.



Mai (kiri) bersama kakak.

Katanya, dia mengimpikan untuk mempunyai rangkaian produk kecantikan jenama sendiri pada masa akan datang.

"Dalam bisnes, saya mengidolakan Neelofa dan kakak saya, Mai Alia. Neelofa kerana beliau telah membawa jenamanya ke pasaran antarabangsa serta menjadi duta jenama terkemuka.

"Manakala kakak saya yang berusia 29 tahun banyak membuktikan bahawa dia boleh menjana pendapatan menerusi bisnes dalam talian," katanya.

Siapa sangka model sambilan ini juga berminat untuk menceburi bidang lakonan sekiranya diberikan peluang kerana suka berada di hadapan kamera.

"Bila wajah saya dikatakan iras Nora Danish atau Neelofa, saya menganggapnya sebagai pujian kerana kedua-dua mereka cantik. Jika dari segi lakonan, saya menyukai lakonan Sharifah Sakinah kerana bersesuaian dengan perwatakan saya yang ceria, 'gila-gila' dan kelakar," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain