suria

Bapa giat shopping online sejak PKP 1.0, masuk PKP 3.0 semakin ‘rare’ barang yang sampai di rumah - “Tak sia-sia ayah beli, jadi rebutan keluarga”

Tab mandi yang dibeli bapa Hani sering digunakan ahli keluarga, terutama adik bongsunya.

SALAH satu aktiviti 'wajib' ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah tentunya membeli barangan secara dalam talian (online).

Bukan sahaja disebabkan pergerakan yang terhad untuk keluar rumah, tetapi ia juga bagaikan terapi minda memandangkan terlalu banyak masa dihabiskan di rumah.

Namun perkongsian video di aplikasi TikTok oleh seorang gadis mengenai gelagat bapanya yang aktif membeli barangan secara online benar-benar membuatkan netizen terhibur.

ARTIKEL BERKAITAN: Stres asyik kena ambil parcel anak beranak, bapa membebel jadi ‘mangsa’ – “Ayah order barang juga tapi belum sampai”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak-anak pening, usia 69 tahun tapi si ibu masih ketagih shopping online... siap sorok barang dibeli dalam bilik!

Mana tidaknya, bapa gadis berkenaan bukan membeli barang biasa tetapi sebuah tab mandi mudah alih (portable bath tub) malah siap 'berendam' di dalamnya!

"Tak tahulah lepas ni parcel apa pula yang sampai," tulis kapsyen pada video yang sehingga kini meraih lebih 127,000 jumlah tontonan itu.

Menurut Nurul Farhani Mohd Salleh, dia sendiri tidak menyangka barangan yang dibeli oleh bapanya, Mohd Salleh Ismail, 54, merupakan sebuah tab mandi.

"Tahu-tahu je parcel sampai. Saya ingatkan ayah beli barangan perkakas nak bertukang sebab dia suka DIY camper van, banyak barang yang dibeli menerusi Shopee.

"Tapi kali ni kotaknya leper dan nipis. Bila ayah buka, Ya Allah... bath tub rupa-rupanya. Saya masuk rumah sekejap masa ayah tengah buka, bila keluar semula, ayah dah duduk kat dalam tab tu nak 'test'.



Hani tidak menyangka bapanya membeli tab mandi secara dalam talian baru-baru ini.

"Siap menyanyi feeling-feeling pula tu... dia tak sedar saya rakam. Rakaman tu panjang sebenarnya termasuk part menyanyi tapi saya sunting sikit.

"Saya pelik juga kenapa ayah beli tab mandi... rupa-rupanya ibu yang minta ayah belikan," ujar gadis berusia 23 tahun ini.

Bagaimanapun tambahnya yang senang disapa Hani, ternyata tab mandi tersebut bukan satu pembelian yang sia-sia sebaliknya ia menjadi rebutan ahli keluarganya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kami letak dalam bilik mandi... semua orang dalam rumah ni dah cuba pakai tab mandi tu. Tapi paling kerap sekali adik bongsu yang berumur tujuh tahun. Sebelum ni ada je alasan kalau suruh mandi, tapi sejak ada tab ni, senang sikit nak 'umpan' suruh mandi.

"Ibu pun guna juga... dia siap letak macam-macam dalam air ala-ala dekat spa. Kiranya memang bagus juga beli tab mandi ni... tak sia-sia," katanya yang merupakan penuntut jurusan Pengurusan Risiko dan Takaful di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Siap menyanyi feeling-feeling pula tu... dia tak sedar saya rakam.

NURUL FARHANI MOHD SALLEH

Bercerita serba sedikit mengenai bapanya, Hani yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan berkata lelaki tersebut sememangnya gemar bertukang dan sering membuat pembelian perkakasannya secara online.

"Rasanya sejak PKP tahun lepas, ayah suka beli barang online. Boleh dikatakan setiap minggu ada saja parcel yang sampai dekat rumah dan semuanya atas nama dia.

"Ayah ada sebuah camper van model Volkswagen dan dia DIY sendiri kelengkapan dalamannya seperti sofa dan lain-lain. Dia rujuk YouTube dan laman-laman lain untuk tiru cara mat salih luar negara buat.



Hani (duduk, tengah) bersama keluarganya ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

"Kami sekeluarga sering habiskan masa bersama dengan pergi piknik atau beriadah dengan camper van ni. Merata-rata tempat dah pergi tapi terhenti sejak PKP. Sekarang ni berkhemah depan rumah saja hilangkan gian.

"Tak sangka pula video tu jadi perhatian ramai. Seronok baca komen masing-masing. Ada yang share gelagat ayah mereka lebih kurang sama macam ayah saya juga, suka shopping online. Ayah terkejut bila tahu videonya viral... siap seloroh kata dirinya dah famous," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain