suria

Anak-anak pening, usia 69 tahun tapi si ibu masih ketagih shopping online... siap sorok barang dibeli dalam bilik!

Nadia buntu dengan sikap ibunya yang suka membeli belah secara atas talian. Gambar hiasan.

'DILUAH mati emak, ditelan mati bapa' perumpamaan ini tepat kepada tiga orang anak yang bimbang dengan sikap ibu mereka yang ketagih membeli-belah secara atas talian.

Salah seorang anak wanita itu yang hanya mahu dikenali Nadia memberitahu mStar, ibunya yang kini berusia 69 tahun sudah tidak dapat dikawal dari segi perbelanjaannya membeli barangan rumah.

Jelas Nadia, dua orang adik-beradiknya tinggal berasingan dengan ibu memandangkan masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai rumah sendiri, manakala dia yang masih bujang menyewa di kawasan berhampiran.

ARTIKAL BERKAITAN: Jangan berlengah... RM70 bilion harta pusaka tak dituntut, uruslah ketika masih hidup!

"Ibu tinggal keseorangan di rumah selepas arwah ayah meninggal dunia. Kami setiap hari akan balik ke rumah ibu menghabiskan masa dengannya.

"Masalah utama ibu saya ni, dia jenis tak suka orang ramai di rumahnya, tapi kalau kami tak datang dia akan telefon dan ingin berjumpa.

"Apabila kami semua datang, dia mulalah membebel cakap rimas dan rumah berselerak dan lain-lain lagi. Jadi kami semua pergi ke rumah ibu dan pulang lewat malamke rumah sendiri," jelasnya kepada mStar.



Periuk antara barang yang selalu dibeli ibu Nadia. Gambar hiasan.

Ketagih beli barang

Menurut Nadia, setiap kali pulang ke rumah ibunya, ada sahaja kotak-kotak barang baharu tersusun rapi di ruang tamu.

"Itu maknanya ibu baru beli barang selepas menonton rancangan langsung di TV. Periuk, bantal, vakum, pengisar dan macam-macam lagi.

"Setiap bulan ada sahaja barang-barang yang ditempah sehingga satu bilik penuh dengan pelbagai barang. Padahal di rumah semuanya sudah lengkap.

"Kadang-kadang ibu menyorok barang-barang itu di biliknya, mengelak kami tahu. Pihak penjual (wakil TV) sudah kenal dengan ibu.

"Selepas kami berbincang adik-beradik, saya bersetuju untuk kembali tinggal dengan ibu. Lagipun tempat kerja saya berhampiran dengan rumah ibu.

"Saya risau dengan kesihatan ibu yang kadang-kala seperti lupa dengan apa yang dia buat.

"Cuma saya perlu banyak bersabar dengan sikap ibu apabila tinggal bersamanya nanti," jelasnya.



Ibu Nadia ketagih membeli barang-barang yang dipaparkan di televisyen menerusi program belian secara atas talian.

Buntu

Sehingga kini, Nadia mengakui mereka adik-beradik tidak tahu bagaimana untuk menghentikan sikap ibunya itu.

"Kalau kami biarkan, ia boleh memberi kesan pembaziran yang teruk dari segi kewangan. Tetapi kalau kami melarang, ibu akan merajuk dan enggan bertemu dengan kami semua.

"Sikap ibu makin menjadi-jadi menjelang hari raya baru-baru ini. Macam-macam ibu beli, tetapi tidak digunakan. Setiap bulan ibu habiskan duit lebih kurang RM600 untuk membeli belah secara online.

"Buat masa sekarang, kami biarkan dan penuhi apa sahaja kehendak ibu," akhiri Nadia.

Faktor ketagih membeli di atas talian

Berdasarkan satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Plos One mengkaji mengenai persamaan antara ketagih dan membeli secara online.

Menurut hellodoktor.com, sehingga kini, saintis masih lagi cuba untuk mengkategorikan tabiat membeli-belah atas talian dan adakah sama seperti gangguan kawalan impuls (impulse control disorders), gangguan obsesif-kompulsif (obsessive-compulsive disorders) atau ketagihan.

Terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan seseorang individu terdedah kepada ketagihan membeli-belah secara online.

Hindari interaksi sosial

Terdapat pertindihan antara pathological buying dan anxiety-social anxiety. Bagi individu yang tidak suka situasi sesak dan interaksi sosial, membeli-belah online adalah satu jalan penyelesaian yang terbaik.



Selain barangan dapur, ibu Nadia juga gemar membeli bantal dan cadar. Gambar hiasan.

Pembelian barangan atas talian sememangnya dapat memberikan kepuasan kepada individu yang sukakan kepelbagaian pilihan.

Kepuasan segera

Individu yang sukakan kepuasan segera adalah lebih cenderung kepada pembelian atas talian dengan hanya satu klik. Keadaan ini dapat memuaskan kitaran keinginan dan ganjaran.

Individu dengan ketagihan berasa masa mereka terisi dengan membeli-belah. Mereka juga cenderung berasa seperti tidak mempunyai kawalan ke atas tabiat itu walaupun pada akhirnya mereka akan berdepan dengan isu kerja, masalah perhubungan serta bankrap dari segi kewangan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain