suria

Gadis ditinggalkan sejak usia 6 bulan harapkan ‘hadiah’ bermakna di hari bahagia, tak pernah putus asa mencari... - “Pulanglah demi nenek”

Nik Adila tidak putus ikhtiar mencari bapa kandung demi neneknya.

"TIPULAH tak rindu ayah dan mak, tapi sememangnya rindu nenek saya kepada mereka lebih berat"

Demikian kata Nik Adila Mat Radzuan ketika berkongsi cerita mengenai misi pencarian ibu dan bapa kandungnya yang terpisah sejak hampir 25 tahun lalu.

Menurut Nik Adila, 25, kedua-dua ibu dan bapa kandungnya tidak pulang selepas keluar dari kampung mereka di Felda Kampung Sertik, Bentong, Pahang untuk mencari kerja di bandar.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyatuan ketika PKP... 15 tahun terpisah, anak telefon ibu kandung jam 2 pagi - “Masa kecil dulu saya keliru”

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak cari adik dan ayah... hanya ‘berbekalkan’ nama Abdullah - “Kami sikit pun tak pernah dicium, dibelai oleh ibu bapa kandung”

"Kata nenek, ketika itu saya masih bayi dan berusia kira-kira enam bulan. Saya ditinggalkan bersama nenek di kampung. Mula-mula ayah keluar dahulu, disusuli oleh ibu seminggu kemudiannya. Mereka nak mencari kerja. Namun selepas keluar, mereka langsung tak pulang sehingga sekarang," ceritanya kepada mStar.

Menurut Nik Adila, sepeninggalan kedua-dua ibu bapa, dia dibesarkan oleh nenek dan juga bapa saudaranya yang digelar Ayah Chik serta ibu-ibu saudaranya yang lain.



Nik Adila pernah berikhtiar membuat hebahan di akhbar untuk mencari ibu bapanya beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, bapa saudaranya meninggal dunia ketika dia berusia 17 tahun dan ia adalah detik yang paling sedih buat wanita ini kerana kehilangan satu-satunya insan yang dianggap seperti bapa kandung sendiri.

"Saya ingat arwah Ayah Chik ada pesan sebelum dia meninggal dunia... dia minta saya cari ayah dan ibu. Selain itu, saya juga kasihan dekat nenek kerana merindui anak lelakinya... selalu nenek bertanya dekat manalah ayah sekarang.

"Ayah adalah anak ke lima daripada tujuh adik beradik... tapi masa tu saya belum cari kerana baru habis sekolah, muda sangat. Saya mula mencari ketika berusia 21 tahun.



Hanya satu-satunya gambar kenangan Nik Adila bersama ibu (kiri) dan bapanya.

"Masa itu bukan setakat hebahkan di platform media sosial, tetapi juga dah masuk surat khabar. Sehingga kini, dah masuk empat tahun tapi belum menampakkan hasil. Tiada klu yang boleh digunakan untuk cari mereka.

"Ada yang kata ayah dah berkahwin dan ada keluarga lain... tak tahulah betul atau tidak. Ibu pula memang tak ada klu langsung kerana dia adalah warga Thailand," ujarnya yang merupakan anak tunggal.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bercerita lebih lanjut, Nik Adila berkata sungguhpun nenek, arwah bapa saudara dan ibu saudaranya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaganya, namun jauh di sudut hati dia tetap mahu merasai kasih sayang ibu bapa sendiri.

Saya ingat arwah Ayah Chik ada pesan sebelum dia meninggal dunia... dia minta saya cari ayah dan ibu.

NIK ADILA MAT RADZUAN

"Kadang-kadang bila nak cerita hal diri sendiri, persekolahan dan pekerjaan, kita nak mengadu dengan mak ayah... nak sokongan moral, tapi mereka tak ada. Hanya bangkit dan pujuk hati sendiri saja," ujarnya.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di aplikasi TikTok mengundang perhatian, Nik Adila berkata dia terharu apabila menerima kata-kata sokongan serta doa daripada netizen.



Nik Adila (kiri sekali) bersama nenek dan keluarga di sebelah bapanya.

"Ada yang kongsi kisah dia terpisah dengan ahli keluarga selama hampir 30 tahun dan akhirnya ada rezeki bertemu semula. Jadi mereka minta saya jangan putus harapan. Ya, saya akan cuba selagi boleh, selagi tak dengar berita sahih yang ibu bapa dah tiada. Doa setiap hari sudah pasti.



Nik Adila (kanan) bersama dua ibu saudara rapatnya.

"Saya harap sangat kalau ayah atau ibu nampak posting berkenaan misi saya, pulanglah... kalau dapat pulang masa hari bahagia saya, InsyaAllah bulan Oktober nanti, ia akan jadi 'hadiah' paling bermakna.

"Kalau tak nak balik untuk saya pun tak apa.... tapi baliklah untuk nenek. Nenek dah 83 tahun dan sentiasa menunggu kepulangan anak lelaki yang dirinduinya," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain