suria

Sepanjang hidup cintakan kucing, wanita ‘pergi’ sehari selepas serah si bulus kesayangan kepada PBT - “Sebelum meninggal mak sempat kutip najis di kawasan kejiranan”

Seorang ibu yang merupakan pencinta kucing meninggal dunia akibat serangan jantung. foto ihsan Noor Azliya Mohd Noor

SIAPA sangka seorang ibu yang merupakan pencinta kucing dijemput Ilahi, hanya sehari selepas 'ketiadaan' haiwan kesayangan.

Posting yang dikongsi oleh seorang wanita di laman sosial mengenai seekor kucing peliharaan arwah ibunya yang didakwa diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi tular.

Noor Azliya Mohd Noor tampil menjelaskan bahawa ibunya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 20 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita terkejut bapa menangis seperti hilang anak selepas kucingnya mati, tengok bekas makanan pun emosi - "Saya nikah pun abah tak nangis sampai macam ni"

ARTIKEL BERKAITAN: Pantang jumpa mesti kutip! Ibu dedah perangai anak asyik bawa balik kucing jalanan, kini baru sedar dari dalam perut dah bagi banyak petunjuk

Wanita berusia 38 tahun itu memberitahu, ibunya bersedih selepas ketiadaan seekor daripada tujuh kucing jalanan yang dibela, sehari sebelum pemergiannya.

"Arwah mak merupakan pencinta kucing sejak kecil. Semasa hayatnya, mak akan bawa makanan kucing ke mana-mana untuk diberikan makan kepada kucing yang terbiar.

"Boleh dikatakan hidup mak sepanjang masa adalah membela kucing, termasuk ketika menjaga ayah yang uzur menghidap penyakit jantung sehingga mak menghembuskan nafasnya yang terakhir," katanya kepada mStar.



Ibu Azliya menghembuskan nafas terakhir pada 20 Mei 2021.

Azliya menjelaskan bahawa tidak ada rampasan kucing berlaku, sebaliknya ia diserahkan kepada pegawai penguat kuasa PBT atas kehendak dan arahan pegawai tersebut, susulan aduan orang awam mengenai kucing berkeliaran dan membuang najis di kawasan kejiranan kediaman ibu bapanya di Seberang Perai, Pulau Pinang.

"Mungkin sebab sayangkan kucing tu sebagaimana kucing-kucing lain, mak tak berhenti menangis. Mak risau, tertanya-tanya keadaan kucing tu.

"Kami anak-anak cuba menenangkan mak dengan memberi jaminan kucing tersebut dijaga dengan baik dan tidak akan dibuang atau dibiarkan.

"Pagi pada hari mak meninggal dunia, mak meneruskan tugas hariannya untuk mengutip najis-najis kucing di sekitar kawasan kejiranan dengan membawa beg plastik.

"Selepas selesai bersihkan sangkar kucing dan berikan makan minum pada kucing-kucing lain, mak berehat sebelum terkena serangan jantung," ujarnya sambil menambah ibunya menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 10 pagi.



Antara kucing yang dipelihara arwah ibu Azliya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu turut berkongsi kisah arwah ibunya yang sebelum ini pernah kehilangan seekor kucing peliharaan pada 2018.

"Seekor kucing jantan bernama Dodi tiba-tiba hilang dari rumah mak. Puas kami cari tapi tak jumpa. Mak bersedih sampai seminggu tak lalu makan.

"Kuasa Allah itu Maha Besar, setahun kemudian kami dikejutkan dengan kepulangan Dodi ke rumah. Dodi masuk rumah, terus ke bilik mak... masa tu mak di luar.

"Bila mak balik ke rumah... mak cuba panggil nama Dodi, dan kucing tu mengiau kuat dan datang dekat pada mak. Kami bersyukur sangat walaupun sampai sekarang kami tak tahu ke mana kucing tu menghilang," kata Azliya yang merupakan ibu kepada enam cahaya mata.

Mungkin sebab sayangkan kucing tu sebagaimana kucing-kucing lain, mak tak berhenti menangis. Mak risau, tertanya-tanya keadaan kucing tu

AZLIYA

Azliya berkata, walaupun mereka adik-beradik masih bersedih dengan pemergian ibu yang tidak disangka-sangka itu namun reda dengan ketentuan Allah SWT.

Malah katanya, mereka akan meneruskan niat murni arwah ibunya untuk menjaga kesemua kucing-kucing peliharaan di rumah.

"Arwah mak pencinta kucing dan amalan itu akan diteruskan kami adik-beradik. Semoga kemuliaan hati mak menjaga kucing-kucing jalanan semasa hayatnya diberkati," katanya.



Arwah ibu Azliya selamat dikebumikan.

Sementara itu, susulan posting yang tular di sebuah grup Facebook, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tampil membuat kenyataan bahawa mereka bertindak atas aduan berulang mengenai kucing berkeliaran dan membuang najis merata-rata.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya telah membuat siasatan dan menasihati pemilik kucing tersebut untuk tidak membiarkan kucingnya bebas berkeliaran.

"Kita nasihat pemilik untuk mengurangkan jumlah kucing yang dibela bagi mengelakkan kacau ganggu seperti lepas bebas dan bau busuk.

"Ketika siasatan, pemilik kucing tersebut secara sukarela ingin menyerahkan seekor kucing yang disangka bunting kepada pegawai MBSP," katanya dalam satu kenyataan.

Rozali berkata, tiada serahan notis dibuat ketika itu kerana tujuan siasatan untuk memberi nasihat kepada pemilik kucing berkenaan.

"MBSP tidak pernah menggunakan kekerasan atau tidak bertimbang rasa semasa kedua-dua proses siasatan dibuat.

"Pihak MBSP bersedih di atas kejadian yang menimpa keluarga arwah dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan berdoa supaya roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," ujar beliau.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain