suria

Kerana minat, pemuda kacak tak hirau dipertikai bergelar tukang jahit... siap kongsi detik cemas baju pelanggan berlubang di ambang raya

Biarpun ada yang mempersoalkan minatnya itu, Aqib enggan menoleh ke bekalang dan mempunyai perancangan tersendiri untuk masa depannya.

SUDAH menjadi kelaziman saban tahun, tukang jahit pastinya sibuk menyiapkan tempahan pakaian pelanggan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Begitu juga yang dilalui tukang jahit lelaki ini yang mana dia biasanya akan bertugas sehingga malam terakhir Ramadan, sejak enam tahun lalu.

Ketika dihubungi mStar, Mohamad Thaqib Asbar, 26, yang berasal dari Simpang Renggam, Johor sempat bercerita mengenai pengalamannya sepanjang bekerja ketika musim perayaan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang jahit cun jahit baju sendiri sejak Form 3... tradisional, moden, busana pengantin semua boleh - “Saya ada gaya tersendiri”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah belajar menjahit, anak tukang jahit berjaya siapkan sendiri kaftan dalam masa 3 jam... esoknya melaram pergi kenduri

"Biasanya menjelang raya, tempat saya bekerja menerima sekitar 700 helai tempahan baju Melayu. Sejak PKP tahun lepas, ada dalam 100 pasang lebih sahaja.

"Sebenarnya pelanggan kami ramai dari Singapura. Sebab tu tempahan kurang sekarang. Tapi setiap tahun, bila tiba musim raya, memang kami sibuk.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Biasanya selepas bersahur, dalam 6 pagi saya dah bersiap-siap ke tempat kerja. Sampai malam raya pun kerja.

"Lepas dah siap jahit, nak kena tunggu pelanggan datang ambil baju pula," ujarnya yang mesra disapa Aqib.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia mula meminati bidang jahitan sejak zaman sekolah lagi.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengikuti pengajian di Giat Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sebelum mula bekerja pada usia 20 tahun.

Biarpun ada yang mempersoalkan minatnya itu, Aqib enggan menoleh ke bekalang dan mempunyai perancangan tersendiri untuk masa depannya.

Aqib sudah enam tahun bergelar sebagai tukang jahit.

"Dari kecil saya suka tengok baju-baju. Habis sekolah saya pergi belajar menjahit. Sekarang masih kerja dengan orang.

"InsyaAllah suatu hari nanti memang teringin nak buka butik sendiri, tapi belum sampai masanya. Banyak lagi ilmu nak kena belajar.

"Awal-awal dulu memang ada yang persoal minat ni, tapi saya tetap teruskan. Jangan fikir apa orang kata, lagi pun kat tempat saya, kebanyakan tukang jahit adalah lelaki," ujarnya.

Sepanjang bekerja, Aqib juga pernah berhadapan detik cemas apabila baju raya pelanggan rosak terkena seterika.

Sampai sekarang trauma kalau nak gosok baju pelanggan.

AQIB

"Sampai sekarang tak boleh lupa, esok nak raya, petang tu saya gosok baju pelanggan sebab dia nak datang ambil.

"Entah macam mana, saya kelam kabut sampai baju tu berlubang kena seterika. Memang pucat, tak tahu nak buat macam mana.

"Akhirnya saya hubungi pelanggan dan gantikan baju baharu dengan kain yang dah ada kat kedai. Sampai sekarang trauma kalau nak gosok baju pelanggan," ujarnya yang menyukai kuih Almond London.

Untuk rekod, Aqib memiliki memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok.

Ujar Aqib, dia turut menerima pelanggan daripada TikTok selepas tular video-video yang dikongsinya menerusi platform itu.

Aqib memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok.

Kata Aqib, dia bersyukur dengan penerimaan ramai dan menerima segala komen termasuklah yang memuji rupa parasnya dengan hati terbuka.

"Saya pun terkejut apabila menjadi perhatian di TikTok. Saya buat video secara suka-suka sahaja.

"Alhamdulillah ada yang kenal saya melalui TikTok dan datang untuk tempah baju. Komen negatif pun ada, tapi saya tak pernah ambil hati.

"Saya anggap sebagai rezeki dan terima segala komen dengan hati terbuka.

"Pada masa sama, saya nak ucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin kepada semua rakyat Malaysia. Yang penting jaga diri ketika pandemik Covid-19 ini," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain