suria

Dilanggar pemandu mabuk, keadaan remaja 50-50 sampaikan ibu bapa anggap dah tak ada harapan... siapa sangka dapat peluang ke-2

Muiz terselamat daripada kemalangan yang hampir meragut nyawa gara-gara dilanggar pemandu mabuk pada Disember 2019.

BERPANTANG maut sebelum ajal!

Itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan kisah remaja ini yang terselamat sungguhpun mengalami kecederaan parah, gara-gara dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki mabuk.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Muiz Zaiazrul berkata sungguhpun insiden tersebut sudah lebih setahun berlalu, namun dia kini masih lagi menjalani proses pemulihan dan sudah melalui 13 siri pembedahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik kemalangan motor terpelanting di highway, tindakan remaja India buat jurutera ini ‘salute’ habis - “Muka dia nampak cukup bimbang”

ARTIKEL BERKAITAN: “Arwah dalam perjalanan mencari rezeki untuk keluarga” - Suami dilanggar pemandu mabuk, isteri mahu suspek terima hukuman sewajarnya

Terdahulu, remaja ini berkongsi video di aplikasi TikTok mengenai kejadian yang menimpanya sehingga meraih lebih 180,000 tontonan.

Mengimbas kembali detik hitam yang berlaku pada 30 Disember 2019, remaja yang senang disapa Muiz berkata ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu dengan rakan-rakan.

"Sebenarnya mak tak bagi keluar dah sebab dah tengah malam tapi biasalah budak muda... saya nak juga lepak dengan kawan-kawan.



Muiz mengalami cedera parah sehingga dirawat selama hampir empat bulan di hospital.

"Lepas dah makan dan jumpa kawan, dalam perjalanan pulang tu entah macam mana sebuah kereta dari depan terus masuk laluan saya.

"Lepas tu saya tak sedar dah. Tiga minggu juga saya koma dan hampir empat bulan dirawat di hospital," kata anak kedua daripada empat adik beradik ini.

Menurut Muiz, akibat kemalangan berkenaan, dia mengalami kecederaan parah daripada paras pinggang ke bawah.

"Tulang pinggul saya patah, kaki kiri terkoyak hingga nampak tulang, punggung juga terkoyak teruk, usus terpaksa dipotong 15 sentimeter (cm) dan limpa terpaksa dibuang.

"Kalau orang tengok keadaan saya masa tu, memang 50-50... macam tak ada harapan dah. Mama dan abah pun pada mulanya fikir macam tu sebab keadaan saya teruk sangat namun mereka tak putus doa dan harapan.



Selain ibu bapa dan keluarga, rakan-rakan terdekat tidak putus-putus memberikan sokongan kepada Muiz.

"Alhamdulillah, selepas tiga minggu koma, saya akhirnya sedar. Wajah mama dan abah serta adik yang saya mula-mula nampak. Abah dan mama tak henti-henti syukur saya sedar. Mereka bimbang sangat saya 'pergi' ikut abang.

"Arwah abang saya meninggal dunia ketika berusia 13 tahun, juga kerana kemalangan. Arwah koma dua hari sebelum hembuskan nafas terakhir," katanya yang kini berusia 19 tahun.

Menurut Muiz lagi, sehingga kini dia sudah menjalani 13 siri pembedahan dan bakal menjalani pembedahan lagi dalam masa tiga atau empat bulan akan datang.

Abah dan mama tak henti-henti syukur saya sedar. Mereka bimbang sangat saya 'pergi' ikut abang.

MUHAMMAD MUIZ ZAIAZRUL

MANGSA KEMALANGAN

"Pembedahan seterusnya bagi membolehkan saya membuang air dengan sempurna," ujarnya yang berasal dari Kuala Perlis, Perlis.

Kata Muiz, keadaan fizikalnya yang jauh berubah berbanding sebelum ini kadang kala membuatkan dirinya sedikit tertekan dan hampir hilang semangat.

"Memang ada kala saya down bila fikir keadaan tak macam dulu... hari-hari kena cuci luka, keluar masuk hospital. Pernah juga saya marah-marah sebab terlalu sakit.

"Tapi abah dan mama tak pernah penat melayan karenah saya. Abah sampai cuti kerja beberapa bulan sebab nak fokus jaga saya. Itu yang membuatkan saya sebak dan saya kuat sebab mereka. Staf hospital pun layan baik, dah rapat sebab selalu sangat keluar masuk.



Antara gambar Muiz sebelum ditimpa tragedi yang hampir meragut nyawanya.

"Begitu juga dengan kawan-kawan yang tak putus beri kata semangat. Cuma masa ini kita dapat tengok mana kawan yang ada dengan kita masa susah. Selebihnya untuk kuatkan semangat, saya kerap menonton ceramah agama yang bercerita mengenai ujian hidup.

"Yang penting, kena positif... jangan layan sangat sakit tu. Saya anggap ini ujian yang mendatangkan banyak hikmah untuk diri sendiri. Dulu solat tak cukup, sekarang saya cuba berubah selepas diberi peluang kedua," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain