Adik kemalangan motor terpelanting di highway, tindakan remaja India buat jurutera ini ‘salute’ habis - “Muka dia nampak cukup bimbang”

(kiri) Adik Taufik, Mohamad Asyraf terbaring di tepi lebuh raya selepas kemalangan. (kanan) Thiban yang membantu Mohamad Asyraf sehingga ketibaan ambulans. Foto ihsan Mohd Taufik Zainuddin

MENERIMA panggilan telefon pada awal pagi mendapat khabar berita mengenai ahli keluarga terbabit kemalangan antara yang paling ditakuti oleh sesiapa pun.

Itulah yang dialami seorang pemuda menerima panggilan sekitar pukul 5 pagi daripada orang yang tidak dikenali, memaklumkan adiknya terbabit dalam kemalangan di lebuh raya.

Bukan setakat memaklumkan berita sedih itu, malah pemberi maklumat yang berada di lokasi kejadian juga sanggup menjaga adiknya sehingga ketibaan ambulans.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda India tolak perbezaan warna kulit, agama bantu cari Acap, “Cubit paha kanan, paha kiri terasa”

ARTIKEL BERKAITAN: Main masuk je! Penunggang motosikal hijau terus ‘blah’ selepas mangsa jatuh... tapi pemandu Swift merah wajar dapat pujian!

Bercakap kepada mStar, Mohamad Taufik Zainuddin berkata, kejadian malang menimpa adiknya di sebuah lebuh raya dekat Subang Jaya, awal pagi Selasa.

Mohamad Asyraf yang mengalami kecederaan di kedua-dua tangan dan kakinya.

Pemuda berusia 27 tahun itu memberitahu, ketika kejadian, adiknya, Mohamad Asyraf, 25, menunggang motosikal dalam perjalanan dari Tanjung Malim, Perak ke tempat kerja di sebuah hotel di Putrajaya.

“Sebelum tu adik saya, Asyraf pergi berjumpa dengan adik saya seorang lagi di Tanjung Malim. Kemalangan berlaku semasa dia mahu menyusur di jejambat dekat Subang Jaya.

“Katanya dia tak perasan divider di jalan masih panjang, lalu terlanggar dan terpelanting sehingga tergolek beberapa meter. Dia terbaring di tengah jalan dan tak boleh bergerak masa tu,” katanya kepada mStar.

Perkongsian Taufik mengenai seorang remaja India yang membantu adiknya terbabit kemalangan.

Taufik yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, seorang remaja India berusia 18 tahun bernama Thiban menghubunginya pada kira-kira pukul 5 pagi menggunakan telefon bimbit adiknya.

“Saya tak perasan pada mulanya, sampai ada tiga misscall. Mak saya di Pasir Puteh, Kelantan juga dapat panggilan daripada Thiban. Belum sempat saya buat panggilan, Thiban menghubungi saya buat kali keempat dan beritahu mengenai keadaan dan lokasi adik.

“Masa saya dapat berita tu memang terkejut, sebab tak dapat bayangkan apa yang berlaku. Tapi saya diberitahu Thiban dan rakan-rakannya tunggu adik sehingga ambulans datang,” katanya sambil menambah bahawa adiknya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur.

Mohamad Asyraf yang dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.

Menurut Taufik yang tiba di PPUM sekitar pukul 6 pagi, Thiban bukan setakat menunggu sehingga kehadiran ambulans, malah remaja yang tinggal berdekatan itu sanggup membawa adiknya ke tepi lebuh raya selepas kejadian.

“Thiban datang pun selepas dengar bunyi bising dari rumahnya. Saya tak tahu macam mana mereka angkat atau papah adik saya, tapi apa yang penting adik saya dibawa keluar dari lokasi kejadian sebelum dilanggar kereta lain.

“Thiban juga beritahu yang dia tolong simpankan motosikal adik di apartmentnya. Dia kata jangan bimbang, di apartmentnya ada CCTV (kamera litar tertutup) dan boleh telefon dia bila-bila masa untuk tuntut,” ujarnya yang merupakan jurutera proses di Bintulu, Sarawak yang secara kebetulan berada di Kuala Lumpur untuk menjalani kursus ketika kejadian.

Namun apa yang menyentuh hati Taufik mengenai saat adiknya yang dalam kesakitan sedang menunggu ketibaan ambulans.

Dia kata ‘bangun, bangun... jangan pejam mata, jangan tidur’ siap dijirusnya air pada muka adik saya supaya sedar. Mujur adik saya yang tengah sakit dan pening-pening itu masih sedar

TAUFIK

“Saya diberitahu yang Thiban sangat bimbang untuk tengok adik saya yang dalam keadaan sakit akan terpejam mata. Dia takut adik saya pengsan atau keadaan lebih buruk berlaku.

“Dia kata ‘bangun, bangun... jangan pejam mata, jangan tidur’ siap dijirusnya air pada muka adik saya supaya sedar. Mujur adik saya yang tengah sakit dan pening-pening itu masih sedar,” katanya yang telah menuntut motosikal adiknya daripada Thiban.

Taufik menyifatkan Thiban sebagai seorang rakyat Malaysia yang sebenar.

Taufik berkata, dia bersyukur kerana adiknya selamat dan hanya mengalami cedera ringan di kedua-dua tangan dan kakinya, serta dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.

“Bila saya berjumpa Thiban, walaupun baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tapi budak tu nampak baik dan ikhlas membantu. 

“Muka dia nampak cukup bimbang kalau adik saya pengsan, tapi dia berjaya tenangkan adik saya. Kepada Thiban, terima kasih kerana menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab,” katanya.

Thiban, remaja, India, ambulans, kemalangan, PPUM

Artikel Berkaitan

Artikel Lain