suria

Terpaksa hidup menumpang di rumah kakak selepas mak ayah tiada, malang nasib dilayan macam hamba... kini dipulau adik-beradik pula - “Kenapa keluarga saya macam ni?”

Wanita ini diperlakukan seperti hamba oleh kakak sendiri selepas kematian ibu bapa. Gambar hiasan

BERTUAHNYA seseorang jika dikurniakan keluarga yang penyayang dan harmoni.

Namun, tidak semua insan bertuah dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang sempurna kasih sayangnya, sebagaimana kisah seorang pelayar ini.

Menerusi satu coretan di laman Kisah Rumah Tangga, pelayar ini berkongsi luahan hatinya yang kesedihan kerana tidak pernah merasai nikmat kasih sayang daripada darah daging sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak murung jadi ‘hamba’ kepada 3 adik lelaki malas bekerja, tidur sepanjang hari - “Ayah terbiasa biar mak buat kerja rumah, suami dilayan ibarat raja”

ARTIKEL BERKAITAN: Disisih keluarga... suami pula penagih dadah, kaki pukul! Wanita terpaksa usung 4 anak merempat minta sedekah, nasib baik jumpa Cikgu Fadli - “Akak kena janji, berubah betul-betul”

"Masa kecil umur tujuh tahun, mak ayah saya meninggal. Kakak-kakak lima orang sudah berkawin. Salah seorang daripada kakak bela saya. Kakak tak ada anak, hanya seorang je anak angkat.

"Setiap hari saya akan dipukul, dipijak, disepak terajang... hari-hari jadi makanan. Ya saya salah sebab saya jenis panjang tangan. Saya selalu curi makanan sebab sehari kakak hanya suruh makan dua kali, itu pun makan sisa saki baki mereka.

"Saya dipaksa buat semua kerja rumah, ya saya sedar hidup menumpang tapi apakan kudrat saya di umur itu dipaksa melakukan semua kerja," luahnya sedih.

Tidak tahan dengan layanan buruk yang diterima, pelayar itu akhirnya mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah kakaknya, ketika berusia 15 tahun.



Disebabkan hidup menumpang di rumah kakaknya, pelayar berkenaan dipaksa melakukan pelbagai kerja rumah. Gambar hiasan

Di kala remaja lain sibuk bergelumang dengan buku, pelayar ini pula terpaksa berdikari dan berusaha mencari kerja untuk menyara kehidupan.

"Alhamdulillah saya dapat kerja basuh pingan, dan ada tempat tinggal disediakan. Tapi kakak masih serang saya. Pukul saya di tempat kerja, Allahuakbar. Hanya Allah yang tahu deritanya hidup saya.

"Selepas itu, dia sudah tidak menemui saya lagi. Sejak bekerja, bos banyak membantu saya, banyak yang saya belajar. Hingga saya boleh buka bisnes sendiri.

"Dengan bisnes itulah saya mula dari awal sampailah saya mampu punya segala-galanya. Dan hidup saya Alhamdulillah cukup senang," ceritanya.

Dulu masa saya dalam jagaan dia, saya pernah telan pil berpuluh-puluh biji tapi Allah masih sayang pada saya.

PELAYAR

Namun, dia kemudian kembali diganggu oleh kakaknya dan kali ini lebih teruk kerana adik-beradiknya yang lain termakan hasutan wanita tersebut dan menyisihkan dirinya.

"Apa salah saya? Memang jahat sangatkah saya? Memang hidup saya untuk dibenci oleh keluarga sendiri? Dulu masa saya dalam jagaan dia, saya pernah telan pil berpuluh-puluh biji tapi Allah masih sayang pada saya.

"Walaupun sekarang saya punya segala-galanya tapi hati saya sakit, sedih dan kecewa. Orang yang tak berada di tempat saya akan cakap 'Alaa teruskan je hidup kau, orang tak suka jangan paksa... lagipun kau dah hidup senang lenang'.

"Sungguh bukan tu yang saya nak. Saya nak adik beradik, saudara kandung tetap bersatu utuh. Bila solat, air mata mengalir mengenangkan ini semua.

"Bila depan suami saya nampak gembira. Bila seorang diri, saya sedih sangat. Hubungan saudara darah daging tak dapat dipisahkan. Kenapa keluarga saya macam ni?," soalnya lagi.



Sungguhpun kini sudah 'bebas' daripada kekejaman kakaknya, namun wanita ini sedih setiap kali selepas solat apabila mengenangkan nasibnya dipulau keluarga.

Perkongsian pelayar itu dibanjiri dengan ratusan kata-kata semangat netizen yang mendoakannya tabah dengan ujian yang dihadapi.

"Betapa mulianya hati kamu, walaupun dah dilakukan macam-macam tetap ingat darah daging. Berdoalah semoga Allah beri hidayah kepada adik beradik kamu," komen seorang pelayar.

"Sabar yer dik. Semua orang layak hidup bahagia dik. Cuma bahagia bersama adik-beradik tu belum lagi... Doa yang baik-baik," komen pelayar lain pula.

Namun ada juga netizen yang turut sama senasib dan berkongsi kisah hidup mereka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain