suria

Nak belanja frontliners, pemuda terkejut ada yang dengar perbualan ‘pesta ayam’ dengan cashier - “Tak kenal tiba-tiba nak kongsi”

Fakhrul tidak menyangka niatnya mahu menyumbang makanan kepada frontliners menerima sambutan daripada pelanggan lain.

PENGORBANAN barisan hadapan (frontliners) yang tak pernah jemu membantu rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda wajar dihargai, malah patut diberi penghargaan.

Tidak hairanlah apabila seorang pemuda tiba-tiba tergerak hati untuk memberi makanan kepada anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di laluan untuk pulang ke rumahnya selepas pulang dari menderma darah.

Berkongsi cerita dengan mStar, Fakhrul Rareza Qarie Yussof, 30, berkata pada Ahad lalu kira-kira jam 1.30 petang, dia pergi ke sebuah restoran makanan segera untuk membeli makanan buat anggota polis yang memeriksa kenderaan dalam satu sekatan jalan raya berhampiran rumahnya di Kulai, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: “24 jam bertugas, tak tahu dah makan ke belum” - Gaji tak besar tapi geng rider Food Panda buat anggota polis, tentera tersenyum

ARTIKEL BERKAITAN: Percuma! Sedia khidmat cuci kereta hargai pengorbanan frontliners

Mesra disapa Fakhrul, dia berkata, disebabkan membuat pembelian ayam dalam kuantiti agak banyak, juruwang di restoran tersebut beramah mesra dengan bertanya soalan dengan nada bergurau kepadanya.

"Nak buat pesta-pesta ke abang?" demikian soalan yang diajukan kepadanya.

Fakhrul menjawab pertanyaan itu dengan baik, memberitahu niatnya untuk memberi makanan tersebut kepada frontliners.

Namun, tanpa disangka, seorang lelaki berbangsa Cina yang beratur di belakangnya menghulurkan sedikit wang kepadanya kerana dia turut sama mahu menghargai petugas barisan hadapan.



Posting Fakhrul menjadi tular di Twitter sehingga meraih hampir 30,000 retweet.

"Sebenarnya dalam restoran tu tak ramai mana pun, hanya dua kaunter yang dibuka. Memang semua beratur mengikut jarak yang ditetapkan.

"Mungkin sebab suasana sunyi, mereka boleh dengar perbualan saya dengan cashier tersebut. Uncle Cina belakang saya tu cakap tak perlu guna semua duit saya sebab dia nak kongsi sebahagian daripada kos makanan yang saya dah beli tu.

"Saya memang terkejut sebab tak kenal tiba-tiba dia kata nak kongsi. Tapi saya OK je nak jalankan amanah tu,"katanya.

Bagaimanapun, apa yang lebih mengejutkan apabila pelanggan lain yang ada di situ turut melakukan perkara sama.



Fakhrul bersama kedua ibu dan bapanya.

"Lepas uncle Cina tu bagi duit, yang lain pun nak bagi juga... ada la dalam dua tiga orang. Baik Melayu, Cina dan India semua sama-sama nak hulur sikit," ujarnya.

Tambah anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia sangat terharu dan langsung tidak menyangka ramai sebenarnya yang menghargai pengorbanan frontliners.

Malah dia juga terkejut apabila masing-masing di situ percaya dengan dirinya walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

Pengalaman ini memang mengajar saya erti kebaikan yang sangat luar biasa. Macam-macam perasaan masa tu, gembira... sebak pun ada.

FAKHRUL RAREZA QARIE YUSSOF

EKSEKUTIF

"Sejujurnya, kalau saya sendiri pun fikir dua tiga kali nak bagi wang sumbangan dekat orang yang tak dikenali.

"Tetapi pengalaman ini memang mengajar saya erti kebaikan yang sangat luar biasa. Macam-macam perasaan masa tu, gembira... sebak pun ada, ” katanya sambil memberitahu mendapat sekitar RM500 hasil perkongsian beberapa pelanggan di premis tersebut.

Disebabkan terlalu terharu, pemuda yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta itu memuat naik tweet mengenai pengalamannya di Twitter.

Dia langsung tidak menyangka tweet tersebut akan mendapat perhatian ramai sehingga meraih 29,000 tanda suka dan 20,000 retweets.

Dalam pada itu, Fakhrul berpandangan bahawa kebaikan tidak semestinya dinilai hanya daripada wang ringgit semata-mata.



Fakhrul turut mengambil inisiatif untuk menyebarkan kepentingan menderma darah kepada orang ramai.

Jika tidak mampu dari segi kewangan, seseorang itu boleh melakukan kebaikan dengan cara lain contohnya seperti menderma darah, melakukan aktiviti amal dan banyak lagi.

Sejak 2012, Fakhrul konsisten menderma darah kerana baginya, usaha kecilnya itu mungkin dapat membantu mereka yang sangat memerlukan.

"Alang-alang tweet saya dah viral, saya pun ambil inisiatif itu untuk menyarankan mereka di luar sana yang nak buat kebaikan dengan menderma darah.

"Harap ramai yang sedar dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan dalam apa jua situasi. Inilah yang perlu kita terapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain