suria

Kecewa result asyik negatif, suami minta isteri berhenti check kehamilan! Buka kotak kejutan ‘Hai daddy’… disangka ada makanan

(Gambar kiri) Effy (kanan) membuat kejutan buat suaminya.

BUKAN satu, tapi tiga kit ujian kehamilan diletakkan dalam sebuah kotak yang dihias cantik, berserta sekeping nota ringkas, 'Assalamualaikum, hai daddy’.

Menerusi video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, seorang suami berpakaian seragam tentera sebak membuka 'hadiah kejutan' itu sebelum memeluk isterinya tanda gembira.

Isterinya, Nurafidah Ahmad Yusof berkata, kejutan itu dibuat untuk suaminya pada Disember tahun lalu, tetapi video tersebut baru dimuat naik di TikTok pada minggu ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Aduhai! Hormon hamil anak sulung... isteri menangis teresak-esak di restoran Korea, soalan ditanya selepas itu bagai menguji si suami

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat tahu hamil gara-gara makan burger dengan cili api, ada sebab pasangan ini menangis - "Mula-mula tak nak check pun"

Berkongsi kisah di sebaliknya, wanita berusia 28 tahun itu memberitahu, ia juga merupakan hadiah paling bermakna sejak mereka mendirikan rumah tangga pada Mac 2019.

"Sejak berkahwin, dugaan PJJ (perhubungan jarak jauh) adalah perkara biasa apabila suami yang bertugas sebagai pegawai tentera perlu bertugas di luar kawasan. Pernah dalam enam bulan tu, dua kali je suami balik ke rumah.

"Saya pula adalah suri rumah sepenuh masa kerana suami mahu saya memberi tumpuan pada rumah tangga dan rancangan kami untuk mendapatkan anak," katanya kepada mStar.



Effy (kanan) dan suaminya mendirikan rumah tangga pada Mac 2019.

Namun sepanjang tempoh hampir dua tahun perkahwinan, dia yang lebih mesra dengan panggilan Effy berkata, rezeki tidak berpihak kepada mereka.

"Setiap kali saya lewat datang bulan (haid), saya yang paling nervous sebab akan periksa sama ada saya hamil atau tidak. Memang menjadi tanda-tanya.

"Setiap kali ujian kit beri keputusan negatif tanda saya tak hamil, setiap kali itu juga saya dan suami menangis kerana sentiasa berharap," ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Sehingga ke satu tahap pada Oktober 2019, katanya, suaminya meminta untuk tidak lagi membuat pemeriksaan apabila lewat datang bulan tetapi jangan berhenti berdoa.



Suami Effy yang merupakan pegawai tentera bersama kejutan mengenai berita kehamilannya.

"Saya kemudian sekali lagi lewat datang bulan, tapi saya pun biarkan saja. Selepas itu, suami rasa mual, pening, muntah dan tak sedap badan, dan saya pula tak syak apa-apa.

"Tapi period saya delay lagi. Saya tergerak hati nak check, dan terkejut bila kit tunjuk dua garisan tanda hamil. Saya tak percaya, siap call tanya kakak dan mak, mereka kata hamil.

Sebenarnya lebih banyak kit yang negatif, tapi tak simpan, dah buang sebab frust sangat. Tapi walaupun stres atau frust, jangan sesekali berputus asa

NURAFIDAH AHMAD YUSOF

"Sampai tiga kit berbeza saya check dan keputusan masih sama, sah saya hamil! Macam tak percaya tetapi syukur Alhamdulillah, dan saya rancang buat kejutan untuk suami bagi memaklumkan saya hamil.

"Bila suami balik ke rumah, dia pada mulanya ingat ada makanan dalam kotak kejutan tu sebab dia ni kuat makan.

"Sebaik buka kotak, dia mula-mula blur tengok tiga kit ada dua garis tu sebelum menangis. Tengok suami menangis, saya pun ikut sama menangis," katanya sambil menambah dia mengalami mual, pening dan muntah tanda-tanda hamil seminggu selepas kejutan tersebut dibuat.



Suami Effy membotakkan kepala selepas isteri disahkan hamil.

Walaupun suami yang berpangkat kapten sebenarnya begitu tegas ketika menjalankan tugas, namun kata Effy, suaminya juga berhati lembut terutama berkaitan tentang anak.

"Sebelum ini saya ada beritahu suami andai kata Tuhan makbulkan doa kami dikurniakan zuriat, suami kena botakkan kepala.

"Suami sebenarnya cukup sayang dengan rambut tapi dia botakkan kepala juga atas anugerah yang Allah SWT beri pada kami. Selepas tu, dia berhari-hari tengok cermin dan ambil gambar selfie sebab tak percaya kepala dia dah botak," ujarnya secara berseloroh.



Effy menunjukkan tiga kit ujian kehamilan yang mengesahkannya hamil, berserta sebahagian kit sebelum ini yang menunjukkan keputusan negatif.

Menerusi video TikTok itu, Effy yang kini hamil tiga bulan turut mendedahkan sebanyak 11 kit ujian kehamilan dengan keputusan negatif masih disimpannya sehingga kini.

"Sebenarnya lebih banyak kit yang negatif, tapi tak simpan dah buang sebab frust sangat. Tapi walaupun stres atau frust, jangan sesekali berputus asa.

"Sebelum ni setiap kali hujan yang dilihat satu rahmat, saya berdoa kepada Allah SWT agar dimakbulkan hajat kami untuk dikurniakan zuriat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain