suria

Dah selamat sampai Seoul, gadis masih sebak kenang insiden kereta atuk overheat - “Salah saya sendiri”

Dina sempat bergambar tanda mengingati hari yang bersejarah dalam hidupnya itu.

SIAPA yang tak panik jika kereta yang dinaiki tiba-tiba buat hal apatah lagi ketika itu perlu bergegas untuk satu urusan yang sangat penting.

Situasi itulah yang berlaku kepada Irdina Azzahra Jaswan, 20, Jumaat lalu, ketika dia dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Korea Selatan bagi melanjutkan pengajian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mana awak?” - Terkandas di Singapura, ramai beremosi lihat kegigihan lelaki ini nak ‘bertemu’ anak isteri di Malaysia... terima kasih adik beri idea!

ARTIKEL BERKAITAN: Simpati nasib pelajar U terkandas, wanita ini segera buat mesyuarat tergempar adik beradik! - “Dia malu sangat tapi terpaksa...”

“Budak-budak Mara (Majlis Amanah Rakyat) perlu sampai sebelum pukul 6.30 petang dekat airport, kereta atuk pula buat hal overheat tak boleh jalan pukul 6.25 petang. Nasib ada pakcik Dahlan tolong hantarkan saya, ” tulisnya di Twitter.

Perkongsian mengenai insiden penuh mendebarkan itu menarik perhatian warga Twitter sehingga mendapat 23,000 likes dan hampir 10,000 retweets.

Ketika dihubungi mStar, gadis yang berasal dari Jitra, Kedah itu berkata apa yang berlaku mengajar dirinya supaya tidak lagi bersikap suka bertangguh dan melakukan urusan penting pada saat akhir.

Paparan skrin perkongsian Dina di laman Twitter.

“Sehingga hari ini saya macam tak percaya apa yang berlaku. Memang panik sangat sebab saya patut sampai KLIA sebelum 6.30 petang tapi lima minit sebelum tu saya masih di tepi jalan... kereta atuk overheat.

“Apa yang boleh saya katakan semua salah sendiri sebab suka buat kerja ‘last minute’ dan keadaan pula serba tak kena... ia pengajaran berharga untuk saya, ” katanya yang sudah selamat tiba di Seoul, Korea Selatan ketika dihubungi.

Mengimbas kembali insiden tersebut, dia yang mesra disapa Dina berkata hampir semua persiapan dan persediaan sebelum berlepas ke Seoul dilakukannya sendiri memandangkan dia sudah terbiasa hidup berdikari sejak kecil.

Tambah anak sulung daripada empat beradik ini lagi, dia dibesarkan oleh datuk dan nenek yang meletakkan kepercayaan penuh kepada dirinya berhubung urusan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara termasuklah merancang perjalanan ke KLIA.

“Dari dulu keluarga memang harapkan saya. Mereka tahu saya ni seorang yang berdikari dan boleh buat semua sendiri.

“Tapi masa nak pergi Korea ni mereka pelik juga sebab mereka tengok saya tenang sangat. Macam tak buat persediaan apa-apa.

Dina bersama datuk dan neneknya.

“Sejujurnya, saya memang sibuk sebelum nak bertolak. Banyak benda saya kena uruskan apatah lagi saya merupakan seorang presiden mewakili ‘batch’ saya.

“Bukan langsung tak buat persedian, cuma bagi saya mungkin saya tak rancang dengan teliti, ” katanya.

Mengenai rancangan asal untuk ke KLIA, Dina memberitahu dia sepatutnya menaiki kapal terbang dari Kedah.

Bagaimanapun, disebabkan tidak peka dengan muatan ditetapkan oleh syarikat penerbangan, dia terpaksa membatalkan rancangan itu dan membuat pilihan lain sama ada menaiki bas ekspres atau ETS (perkhidmatan tren elektrik) untuk ke Kuala Lumpur.

“Saya pilih bas sebab senang nak letak beg yang beratnya lebih 50kg tu kat bahagian bawah bas. Tren bagi saya susah sikit sebab bagasi saya berat dan besar.

“Bila dah beli tiket bas pukul 8 pagi saya lega sebab ingatkan sempat sampai Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan kemudian pensyarah akan ambil dan hantar ke KLIA... tapi nak dijadikan cerita bas pula lewat sampai.

“Sampai saja di terminal bas di Kedah, saya dan keluarga dimaklumkan bas akan tiba pada pukul 10.30 pagi, ” katanya.

Sebaik sahaja bas tiba, dia sempat bertanyakan kepada pemandu sama ada sempat sampai di TBS jam 6 petang namun terkejut apabila diberitahu bas hanya akan tiba pada waktu malam.

“Saya pun turun dari bas dan beritahu keluarga. Tak ada cara lain memang kena pergi sendiri. Saya, atuk dan nenek terus ke balai ambil surat, kemudian balik rumah ambil barang mereka sikit terus gerak ke KL, ” ujarnya.

Dina melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah di Korea University dalam bidang Kejuruteraan Sains Komputer.

Disebabkan terlalu mengejar masa, Dina berkata datuknya memandu agak laju tanpa berhenti sehingga enjin kereta panas.

“Mula-mula dah rasa aircond panas, tapi macam tak kisah sangat. Lagi sikit nak sampai terus kereta tak boleh jalan.

“Nasib baik ada polis bantuan dengan peronda Plus datang tolong. Bila atuk terangkan pada mereka saya dah lambat, salah seorang daripada mereka yang dipanggil Encik Dahlan terus suruh tinggalkan kereta dan bawa kami sekeluarga ke KLIA.

“Saya terharu sangat dan masa yang sama sebak sebab rasa menyusahkan ramai orang.

“Sampai hari ni masih rasa serba salah kepada semua ahli keluarga kerana buat mereka risau terutama atuk dan nenek, ” katanya.

Dina berkata dia bersyukur kerana akhirnya selamat tiba di Seoul untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah di Korea University dalam bidang Kejuruteraan Sains Komputer.

Selain menzahirkan penghargaan kepada polis bantuan dan anggota peronda Plus, Dina juga mengucapkan terima kasih kepada datuk dan neneknya, Khairul Anuar @ Izhar Halim, 63, dan Hasidah Hassan, 61 kerana selama ini sanggup bersusah payah berkorban untuk dirinya.

Gadis ini berharap pengalaman ini akan memberi pengajaran kepada dirinya untuk membuat perancangan teliti dalam menguruskan sesuatu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain