suria

Nak pergi P.Pinang tapi ‘terlepas’ sampai Kedah, rupa-rupanya ada rezeki besar menunggu gadis Pink Walker - “Terima kasih semua yang prihatin, curi-curi tangkap gambar saya”

Lin bersama dua insan yang banyak membantunya sehingga kisahnya viral di media sosial.

"SAYA terlalu bersyukur dan terharu... asbab daripada kebaikan insan yang viralkan kisah saya, banyak yang tolong dan beri sumbangan."

Demikian kata Lin atau nama sebenarnya, Norsazlin Safika, gadis yang viral baru-baru ini kerana gigih mencari rezeki sebagai seorang penghantar makanan pejalan kaki Foodpanda atau Pink Walker.

Kisah Lin menjadi tular dan mendapat perhatian ramai selepas dimuat naik di media sosial oleh beberapa pelayar.

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih jadi Pink Walker! Mula-mula jalan kaki hantar makanan, kini naik basikal... nak beli motor tak lama lagi - “Dia tolak wang, apa yang diterima dah cukup”

Pada mulanya, kisah Lin diviralkan hasil idea sekumpulan rider Foodpanda kawasan Kulim, Kedah bagi meraih sumbangan dana untuk membelikannya sebuah basikal demi memudahkan pergerakannya mencari rezeki.

Namun siapa sangka, rezeki gadis ini mencurah-curah apabila dia bukan sahaja menerima sumbangan dana daripada netizen yang prihatin, malah mendapat hadiah berupa sebuah motosikal dan tajaan untuk membuat lesen daripada beberapa pihak perseorangan.



Kisah Lin turut mendapat perhatian individu mulia yang menghadiahkannya sebuah motosikal.

"Sebetulnya saya memang tidak jangka langsung... saya nak ucapkan terima kasih kepada insan yang mula-mula viralkan kisah saya iaitu Kak Bella serta suami dan Kak Solihah. Terima kasih kepada rider-rider Foodpanda yang usahakan kumpul dana beli basikal.

"Terima kasih juga kepada Encik Sanggaran Muniandy yang hadiahkan motosikal dan Jimat Canggih Kulim yang sponsor lesen motosikal. Juga terima kasih kepada semua yang prihatin, curi-curi tangkap gambar saya... semuanya asbab daripada usaha mereka semata-mata nak tolong saya," ujar gadis berusia 22 tahun ini.

Menyingkap serba sedikit mengenai dirinya, Lin berkata dia berhijrah seorang diri ke Kulim kerana nekad mahu mencari rezeki demi meraih pendapatan semata-mata mahu membantu ibunya yang kini terkandas di Bukit Tinggi, Indonesia sejak setahun lalu gara-gara pandemik Covid-19.

"Sebelum ini saya dan abang jual minuman buah-buahan di Negeri Sembilan. Tapi perniagaan sudah tak mendapat sambutan kerana pandemik Covid-19. Jadi saya perlu cari kerja lain untuk raih pendapatan.



Kisah Lin sebagai Pink Walker pernah viral minggu lalu selepas gambarnya berjalan kaki menghantar makanan, tular di media sosial.

"Saya terlihat mengenai pekerjaan Pink Walker di internet dan berhasrat nak cuba nasib. Kebetulan kakak saudara ada dekat Pulau Pinang, jadi saya fikir nak berhjrah ke sana.

"Masa mendaftar, saya tak sengaja pilih Pink Walker bahagian Kulim sebab ingatkan dekat dengan kakak saudara. Akhirnya saya reda cari rezeki dekat sini. Mungkin inilah hikmahnya.

"Saya nekad berhijrah sebab nak bantu kirim wang untuk ibu... dah setahun kami tak berjumpa selepas ibu terkandas di kampung. Di sana, keadaan ibu pun susah. Sebab itu saya nak bantunya. Tak tahu bila boleh berjumpa... kami hanya video call untuk lepas rindu," katanya.

Tambah Lin, dia menyewa sebuah bilik di Kulim dan baru sahaja memulakan kerja sebagai Pink Walker pada 25 Januari lalu.

Saya nekad berhijrah sebab nak bantu kirim wang untuk ibu... dah setahun kami tak berjumpa selepas ibu terkandas di kampung.

NORSAZLIN SAFIKA

PENGHANTAR MAKANAN

Mengakui pelbagai cabaran dihadapi sepanjang beberapa hari memulakan kerja, Lin bagaimanapun bersyukur kerana sering terjumpa dengan insan-insan yang baik hati.

"Nak kata penat jalan kaki, memang penat tapi bagi saya, apa jenis pekerjaan pun penat. Pernah juga terserempak dan dikejar anjing. Perasaan takut tu ada lebih-lebih lagi bab keselamatan ketika berjalan seorang diri.

"Tapi saya sentiasa baca doa dan mohon perlindungan Allah sepanjang keluar bekerja. Alhamdulillah, selalu jumpa orang baik-baik. Ada yang pernah tumpangkan kereta, ada yang selalu beri wang lebih, belanja minuman. Terima kasih sangat-sangat.



Lin bersama rider Foodpanda Kulim yang membantunya mengumpul dana untuk membeli sebuah basikal, sebelum ini.

"Pokok pangkalnya, kena ikhlas dan tetapkan niat untuk apa kita cari rezeki. Itulah yang menguatkan semangat saya untuk terus bekerja," ujarnya.

Dalam pada itu, Lin mengakui banyak mendapat tawaran kerja selepas kisahnya viral.

Bagaimanapun ujarnya, dia lebih selesa untuk bekerja sebagai Pink Walker buat masa ini kerana seronok dengan pengalaman yang ditimba.

"Ya, ramai yang tawarkan kerja... saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua, tapi saya mohon maaf sangat-sangat kerana terpaksa tolak secara baik.

"Saya seronok dengan pekerjaan saya sekarang dan buat masa ini, saya fikir nak bekerja sebagai Pink Walker terlebih dahulu," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain