suria

Gigih jadi Pink Walker! Mula-mula jalan kaki hantar makanan, kini naik basikal... nak beli motor tak lama lagi - “Dia tolak wang, apa yang diterima dah cukup”

Kisah gadis bernama Lin yang gigih mencari rezeki sebagai Pink Walker menjadi tular sehingga ramai tampil memberi sumbangan kepadanya.

TIDAK dinafikan, sejak pandemik Covid-19 menyerang sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebilangan besar rakyat begitu terkesan.

Ketika ini tiada lagi istilah memilih pekerjaan, asalkan ia mampu memberikan pendapatan untuk meneruskan kehidupan dengan pekerjaan yang halal.

Begitulah juga kisah seorang gadis ini yang sanggup memilih pekerjaan sebagai seorang penghantar makanan pejalan kaki Foodpanda atau 'Pink Walker' demi meraih pendapatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan batal tempahan, rider Foodpanda terdetik bagi fastfood kepada kucing jalanan sebelum akhirnya diberi kepada insan yang sangat lapar

ARTIKEL BERKAITAN: “24 jam bertugas, tak tahu dah makan ke belum” - Gaji tak besar tapi geng rider Food Panda buat anggota polis, tentera tersenyum

Kisah kegigihan gadis ini menjadi perhatian selepas dimuat naik di laman Instagram oleh seorang wanita, yang kemudiannya menjadi viral selepas dikongsikan oleh pelayar lain di Facebook.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Bella Audri, dia pada mulanya berkongsi kisah gadis bernama Lin menerusi Instagram Story bertujuan untuk mengutip sumbangan daripada kenalan dan pengikutnya bagi membelikan sebuah basikal untuk memudahkan pergerakan gadis tersebut.

"Suami saya, Yeop Huzaifah kebetulannya merupakan seorang rider Foodpanda di sini (Kulim). Baru-baru ni dia dan rakan-rakan nampak adik Lin ni berjalan kaki hantar pesanan. Sebelum ni tak pernah nampak.



Bella berkongsi kisah Lin yang bekerja sebagai Pink Walker di Instagram Story, sebelum ia tular di Facebook.

"Jadi dia dan rakan-rakan pun approach dan bertanya adik ni serba sedikit. Rupa-rupanya adik ni baru je datang ke Kulim seorang diri, nak cari rezeki sebagai Foodpanda Walker sebab tak semua tempat ada 'walker'.

"Menurut cerita adik ni, ibunya di Indonesia, ayah sudah meninggal. Adik beradik lain di Melaka. Dia berusia 22 tahun dan kini menyewa sebuah bilik di pekan ni.

"Suami dan rakan-rakan rider Foodpanda pun pakat-pakat nak kutip sumbangan untuk beli basikal sebab nak mudahkan pergerakannya mencari rezeki... untuk keselamatannya juga sebab dia perempuan," cerita wanita berusia 28 tahun ini kepada mStar.

Tambah Bella, dia sama sekali tidak menyangka kisah Lin meraih perhatian ramai sehinggakan sumbangan yang diterima lebih daripada mencukupi walaupun pada asalnya dana yang dikutip hanyalah untuk membelikan sebuah basikal.



Hasil sumbangan yang dikutip akhirnya hajat untuk membelikan Lin sebuah basikal tercapai.

"Selepas rakan saya share di Facebooknya, bertalu-talu orang hantar mesej di Direct Message (DM), WhatsApp dan sebagainya... malah sumbangan yang diterima lebih daripada cukup.

"Timbul pula isu kenapa saya sertakan nombor akaun bank saya dan suami, bukan adik Lin. Ada juga persoalkan kenapa tak letak nombor telefon Lin. Saya nak jelaskan, sebelum ini kami hanya nak kutip dana beli basikal saja dan hanya hebah kepada rakan-rakan.

"Dalam masa yang sama, Lin pun enggan nombor telefonnya didedahkan. Tapi viral selepas rakan saya share di Facebook... tak sangka begitu banyak sumbangan yang diterima. Alhamdulillah, niat untuk beli basikal untuk Lin dah ditunaikan selepas dua hari hebahan dilakukan.

"Manakala lebihan sumbangan, kami dah berbincang dengan Lin sendiri dan merancang untuk menggunakannya mendapatkan lesen motosikal, serta buat bayaran muka untuk membeli motosikal kelak," katanya.

Alhamdulillah, tak sangka sumbangan datang dari pelbagai ceruk... malah ada yang bukan Islam pun sama-sama menyumbang.

BELLA AUDRI

Dedah Bella lagi, jika diikutkan, wang yang berjaya dikumpul itu masih mempunyai lebihan baki namun menurutnya, Lin sendiri menolak kerana merasakan apa yang diterimanya lebih daripada mencukupi.

"Lin mahu wang tersebut disedekahkan kepada orang lain yang memerlukan. Dia kata kalau beli motosikal, dia sendiri nak bayar ansuran bulanan dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.

"Lihatlah betapa bagus akhlaknya. InsyaAllah, selepas ini kami akan menggunakan wang lebihan itu untuk membantu orang lain pula," ujarnya.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Bella bagaimanapun bersyukur dan terharu kerana pertolongan kecilnya itu mendapat perhatian ramai sekali gus menjadi platform untuk sama-sama mengumpul pahala.



Rider Food Panda sewaktu sesi penyerahan basikal kepada Lin pada Khamis.

"Selain sumbangan wang, ada yang nak tawarkan Lin pekerjaan namun dia mahu berbincang dengan keluarga dahulu katanya.

"Alhamdulillah, tak sangka sumbangan datang dari pelbagai ceruk... malah ada yang bukan Islam pun sama-sama menyumbang.

"Nilai kecil atau besar bukan ukuran, tetapi niat untuk sama-sama berkongsi rezeki sebab masing-masing faham betapa struggle sekarang nak cari rezeki.

"Rider-rider kawan suami pun seronok dapat sama-sama buat kerja kebajikan selepas kisah Lin ni tular. InsyaAllah dana yang ada akan digunakan untuk bantu orang lain pula. Moga kita sama-sama dapat kumpul bekalan untuk 'di sana' (akhirat) kelak," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain