suria

Sejuk mata memandang... si cilik tak kekok berpurdah, abang sulung dulu ada 'angin' kini jadi ikutan adik-adik - “Anak kecil ni kena tegas tapi secara lembut”

Anak-anak usahawan itu mencuri perhatian ramai menerusi posting-posting oleh ibu mereka di media sosial.

SETIAP pasangan pastinya ada cara tersendiri dalam memberi didikan buat anak-anak.

Begitu juga dengan usahawan wanita ini apabila dia dan suami mendidik anak-anak mengenai kepentingan menutup aurat sejak kecil lagi.

Malah, video dikongsi Amiera Baharudin, 34, memaparkan empat daripada lima anaknya yang berpakaian menutup aurat termasuklah si kecil berusia dua tahun yang mengenakan niqab turut mencuri perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih TikTok platform berdakwah... gadis berpurdah seawal usia 14 tahun hampir menangis saat terima mesej individu luah hasrat berhijrah

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu sakan berfesyen, berfoya-foya di pusat hiburan... gadis muncul dengan imej berpurdah selepas 2 tahun menyepi

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Amiera mengakui anak sulungnya yang berusia 11 tahun, Cyrus Dzulqarnain banyak mengubah cara dia mendidik anak-anaknya yang lain.

"Saya sebenarnya tak pernah kongsi secara terperinci, tapi ia bermula dengan anak sulung saya. Dia seorang yang kuat memberontak, budak-budak ada 'angin' masing-masing, dia lahir pramatang.

Tiga putera dan dua puteri usahawan itu.

"Bila dia terlampau manja, jadi keras kepala. Bukanlah dia tak dengar kata, tapi saya banyak kena mengalah dengannya. Jadi saya hantar dia ke sekolah islamik.

"Ustazah dia cakap kepada saya, sebenarnya dia tak boleh dididik dengan kekerasan, tapi kelembutan. Anak kecil ni kena bertegas dengan cara lembut.

"Saya sebagai mak dia, nak ubah dia, kena ubah diri saya dulu. Cara percakapan kena lembut, tak boleh marah tak tentu pasal dan sebagainya.

Ada orang kata terlalu awal, bagi saya itu cara masing-masing. Saya tak paksa, tapi saya ajar mereka.

AMIERA

"Bermula dari situ juga saya wujudkan suasana islamik dalam rumah supaya anak kedua dan seterusnya tak buat perangai macam dia. Along the way sampai sekarang, dia adalah leader kepada adik-adik yang lain," ujarnya.

Menurut Amiera lagi, penting untuknya memastikan anak-anak dididik mengenai aurat biarpun mereka belum dewasa lagi.

Namun katanya, dia tidak mengambil pendekatan memaksa, sebaliknya memberi contoh teladan kepada mereka sehingga pemakaian itu menjadi kebiasaan yang dilakukan dengan keikhlasan hati sendiri.

Amiera mewujudkan suasana islamik di rumah dalam memberi didikan buat anak-anaknya.

"Macam mana adik kecil yang lelaki tu boleh pakai jubah dan kopiah? Sebab dari cara didikan dan contoh kita sendiri.

"Macam mana anak perempuan saya pakai niqab? Sebab saya sendiri yang pakai. Tapi ia bukan wajib pun. Mereka pun bukanlah berjubah sepanjang masa, cuma bila keluar akan pakai pakaian yang menutup aurat.

"Yang dalam video viral tu sebab baru lepas photoshoot. Sebab tu anak saya pakai niqab. Anak tengok apa yang saya pakai.

Amiera banyak berkongsi mengenai anak-anaknya menerusi aplikasi TikTok.

"Anak perempuan saya yang pertama tu, seawal usia tiga bulan saya dah pakaikan tudung. Masa tu baru mula meniarap.

"Ada yang bagi tanggapan negatif, tapi saya ambil sebagai cabaran. Dulu pernah orang kecam di Instagram.

"Pada saya, kita didik anak-anak dengan cara kita. Ada orang kata terlalu awal, bagi saya itu cara masing-masing. Saya tak paksa, tapi saya ajar mereka," ujarnya yang sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Anak-anak Amiera turut menerima pujian netizen di media sosial.

Ujar Amiera lagi, akaun TikTok viral itu pada mulanya didaftarkan untuk tujuan promosi bisnes pakaian muslimah yang diusahakan dengan suaminya, namun tanpa semena-mena ia berubah menjadi platform perkongsian mengenai tip didikan anak-anak.

Malah, rata-rata netizen di ruangan komen turut memberi respon positif dan memuji cara pemakaian anak-anaknya.

Selain Cyrus Dzulqarnain, Amiera dikurniakan empat lagi cahaya mata iaitu Hannah Zulaikha, 8, Thowus Dzakwan, 4, Maria Al Qibtiyyah, 2, dan Ezra Uzayr, 9 bulan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain