suria

Kontroversi video ‘curang dengan izin Allah’, Andika akui silap... terguris hati digelar penunggang agama - “Visual panjang disunting jadi pendek, mesejnya jangan menilai sesiapa”

Andika Putera menjadi perhatian susulan video kontroversinya mengenai isu curang, baru-baru ini. Foto: Instagram Andika Putera

"SAYA bersedia... saya berpegang bahawa Allah itu ada dan berani kerana benar."

Demikian kata selebriti media sosial yang juga penceramah motivasi, Muhamad Andika Putera Salleh ketika mengulas mengenai kemungkinan video kontroversinya akan diteliti oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sambil mengakui kesilapannya, pemuda berusia 24 tahun yang lebih dikenali sebagai Andika Putera itu bagaimanapun berkata sehingga kini dia masih belum mendapat apa-apa panggilan daripada jabatan agama itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan video motivasi ‘suka negatif’... mentor bisnes dikritik cakap pelat, pakai Airpods pun jadi isu – “Bukannya ikut skrip”

"Belum ada apa-apa panggilan setakat ini tapi saya ready. Saya mengakui silap saya dan saya akan jelaskan kepada pihak berkenaan sekiranya diminta berbuat demikian," katanya kepada mStar.

Andika Putera menjadi perhatian sejak Jumaat selepas mengeluarkan komen mengenai kes curang yang mengaitkan seorang penyampai radio popular, baru-baru ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram, Andika yang ditanya mengenai isu curang menyatakan bahawa perbuatan yang dilakukan lelaki berkenaan adalah atas izin Allah.

"Dia tu curang dengan izin Allah. Dia pergi rumah perempuan tu pun dengan izin Allah. Siapakah kita nak marah orang tu dengan izinnya Allah? Allah maha mengetahui segala-galanya," demikian antara jawapan pemuda berkenaan.



Andika Putera memuat naik video memohon maaf di atas salah faham susulan kenyataannya mengenai isu curang, baru-baru ini.

Ternyata, jawapan tersebut mengundang kecaman netizen yang tidak bersetuju sama sekali dengan ulasan 'positif' penceramah motivasi berkenaan.

Netizen berpendapat bahawa dia tidak seharusnya menggunakan agama untuk 'menghalalkan' perbuatan berbentuk kemungkaran seperti berlaku curang dengan pasangan.

Isu berkenaan makin hangat selepas seorang netizen kemudiannya meminta pandangan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui Twitter, yang mana menteri berkenaan kemudian meminta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meneliti perkara berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai kontroversi tersebut, Andika Putera menjelaskan bahawa video tersebut dirakam ketika dia bersama pasukannya dan ia merupakan video yang berdurasi panjang sebelum disunting menjadi lebih pendek.



Video kenyataan Andika turut mendapat perhatian Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Sebenarnya saya nak tekankan mengenai kita jangan menilai sesiapa kerana diri kita juga tak sempurna. Tapi mungkin cara penyampaian saya yang spontan dan direct itu telah misleading dan menimbulkan salah faham.

"Tambahan pula ia dipotong pendek sedangkan keseluruhan konteksnya saya nak tekankan jangan menilai sesiapa. Saya bersyukur dengan apa yang berlaku dan pastinya ujian ini datang dengan hikmah.

"Sudah semestinya saya belajar sesuatu daripada perkara ini. Bila kita salah, kita akan betulkan diri kita daripada kesalahan itu," ujarnya yang sebelum ini turut tampil dengan video permohonan maaf yang dimuat naik di Instagram susulan kontroversi berkenaan.

Dalam pada itu, penceramah motivasi muda ini berkata dia terbuka dengan setiap komen yang diberikan netizen mahupun pelbagai pihak lain dalam usaha untuk memperbaiki diri.

Biarlah orang melihat saya dikecam namun saya mahu mereka melihat sesuatu yang positif dari situ.

ANDIKA PUTERA

SELEBRITI MEDIA SOSIAL/PENCERAMAH MOTIVASI

"Saya langsung tidak menutup ruangan komen di Instagram. Ini bukan maksudnya saya bangga dengan silap saya, tapi saya terbuka dengan apa jua komen yang diberikan.

"Saya berterima kasih dengan komen positif dan kata-kata sokongan yang diberi, namun komen-komen berbaur teguran, saya tetap berteima kasih dan balas dengan positif.

"Biarlah orang melihat saya dikecam namun saya mahu mereka melihat sesuatu yang positif dari situ. Sekarang ini ramai yang rasa insecure dan takut sangat dikecam di media sosial. Tengok dan ambillah dari sudut positif... yang mana tak elok, kita perbaiki," ujarnya.

Meskipun begitu, Andika Putera mengakui hatinya sedikit terguris dengan kata-kata yang dilontarkan kepadanya, antaranya diberi gelaran penunggang agama.



Andika Putera melihat apa yang berlaku ketika ini sebagai satu ujian yang datang dengan hikmah.

"Terguris juga... sebenarnya saya sejak berkecimpung dalam bidang ini, saya lebih suka meletakkan Allah dalam niat terlebih dahulu. Itu visi yang saya nak tonjolkan dalam media sosial saya.

"Dan bersabit tagline 'pergi mampus mulut orang' itu, ramai yang salah faham... malah mereka gunakannya untuk hentam saya semula. Hanya pengikut (followers) dan mereka yang memang mengikuti saya sejak dulu yang faham penggunaan tagline tersebut.

"Apapun, saya minta maaf atas apa yang berlaku. Janganlah kita menilai sesiapa. Mungkin dalam kes baru-baru ini, lelaki itu kantoi curang, tapi mana tahu, selepas kes dia itu dia jadi lelaki yang setia selepas ini, itulah point saya," jelasnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain