suria

Anak mengamuk terselamat daripada kena hanger selepas ibu teringat pesanan ustazah! Situasi tegang terus berubah hanya dengan ucapkan satu kalimah

Kanak-kanak cenderung untuk mengamuk (tantrum) sekiranya kemahuan mereka tidak dipenuhi. Gambar hiasan

KALAU sudah namanya anak kecil, pasti mereka cenderung untuk memberontak sekiranya permintaan tidak dipenuhi ibu bapa.

Lebih-lebih jika kanak-kanak tersebut ketagih dengan gajet, maka sudah pastilah mereka akan mengamuk jika peralatan tersebut dirampas atau disembunyikan.

Bagi ibu bapa yang berdepan dengan situasi ini, tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak tahap kesabaran mereka teruji.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu nyaris meroyan bayi asyik meragam teruk, tergamam diberitahu dirinya adalah punca! - “Jam 11 malam dia nangis macam kena pukul”

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan pelik tapi realiti... Saat hampir tantrum, Lidiya Janura jadi penenang pemuda autisme - “Penghinaan terhadap Najmi 19 tahun lalu buat kami kuat”

Dalam keadaan ini, ibu bapa perlu bijak untuk mengawal emosi dan juga situasi dalam masa yang sama agar anak mereka dapat memahami rasional di sebalik tindakan yang diambil.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang ibu berkongsi pengalamannya berdepan dengan 'tantrum' anak kecilnya dan bagaimana dia mengatasi situasi tersebut.

"Lepas solat Maghrib tadi, aku punya kesabaran memang tahap maksima. Semua gara-gara anak dara ni mengamuk sakan. Hanya kerana aku tak bagi dia main telefon bimbit. Dan, membuatkan dia lagi marah sebab aku dah tukar password.

"Waktu dia mengamuk tu, aku baru nak solat Maghrib. Aku solat je macam biasa. Lagi la dia bengang. Mulalah dia buat perangai tarik-tarik cadar katil dan jerit-jerit. Aku teruskan je solat sampai habis.

"Lepas bagi salam, dia mula tolak-tolak katil. Dalam hati ni dah membara rasa nak amik hanger je. Tapi aku sabar lagi. Buat tak tahu je. Teruskan doa," kongsinya.



Sebahagian posting yang dikongsikan ibu berkenaan di Facebook.

Di tengah-tengah kesabaran yang semakin memuncak itu, ibu berkenaan teringat kepada pesanan yang dikongsikan oleh seorang penceramah popular, Ustazah Asma' Harun.

"Ustazah ada bagitahu, hidup kita ni celik mata je ujian dah menunggu. Sama ada ujian dari bos kita, anak-anak kita, suami kita atau dengan siapa saja.

"Jadi hari ni Allah uji aku dengan anak mengamuk di waktu senja. Aku switch (tukar) fikiran aku dan bagitau yang Allah yang hantar ujian ni. Anak itu hanya perantaraan saja. Allah nak tengok macam mana aku handle.

"Jadi aku ikut nasihat Ustazah Asma' Harun. Ustazah ada pesan, jika kita diuji ucapkanlah, Innalillahiwainnailaihirojiun. Ertinya 'sesungguhnya kita semuanya adalah milik Allah, dan kepada-Nya nanti kita akan kembali.

"Aku ucap kalimah Allah ni banyak kali dengan yakin, Allah yang pegang hati anak aku. Allah yang menguasai segala alam ini," kongsinya lagi.

Tanpa disangka-sangka, anak kecilnya yang menangis dan mengamuk sakan sebentar tadi terus berubah secara automatik, selepas ibu berkenaan mengungkapkan kalimah tersebut beberapa kali dengan penuh yakin.



Tanpa disangka, anak kecil wanita berkenaan berubah tenang selepas dia membacakan kalimah yang diajar oleh seorang ustazah. Gambar hiasan.

"Dia bangun betulkan cadar yang dia dah tarik-tarik dan susun balik katil yang dia dah tolak. Allahuakbar, aku jadi terkedu sekejap.

"Aku terus menangis atas tikar sejadah tu juga. Sakan aku nangis.

"Allah terus perbaiki keadaan jadi baik. Masa tu terasa diri ni terlalu kerdil dan lemah. Aku rasa Allah betul-betul dekat dengan aku.

"Sebenarnya, apa saja ujian yang kita lalui, Allah sentiasa ada dengan kita. Sama ada kita sedar atau tidak, Allah menguji sebab Dia nak tengok macam mana kita bertindak atas ujian yang diberikan," tulisnya.

Sehingga kini posting tersebut meraih hampir 200 shares di Facebook.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain