suria

Balu menangis gagal keluarkan wang KWSP suami... tunjuk surat nikah, sijil mati pun tak laku - “Senang cerita, masa hidup buat perancangan siap-siap”

Kisah yang dikongsikan oleh seorang perunding takaful mengenai seorang wanita yang gagal mengeluarkan wang EPF arwah suaminya bertujuan membuka mata orang ramai akan pentingnya melakukan persediaan awal. Gambar hiasan.

TIADA siapa yang mampu meneka bilakah mereka akan dijemput menghadap pencipta-Nya.

Justeru, adalah digalakkan untuk setiap daripada kita khususnya ketua keluarga untuk melakukan persediaan awal bagi menghadapi apa jua kemungkinan andai kata ajal menjemput secara mengejut.

Mungkin ramai yang masih belum sedar atau menganggap ia isu yang tidak perlu dirisaukan, tetapi hakikatnya ketiadaan persedian awal daripada pihak suami atau ketua keluarga bakal menyebabkan timbulnya pelbagai masalah berkaitan urusan pembahagian harta sebagaimana yang dikongsikan seorang perunding takaful bernama Asyraf Zakhi ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Takut isteri kahwin lain, suami berkira tak nak sediakan 'bekalan' sebelum 'pergi'... langsung batal deal - “Selalu client ketawa saya akan ketawa tapi tidak bab ni!”

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi senario tak patut berlaku selepas kematian, kubur masih merah dah berebut harta - “Mereka pilih taat isu faraid, tidak bahagian lain”

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Asyraf turut menceritakan kisah benar yang berlaku di mana seorang isteri tidak dapat mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) milik suaminya yang sudah meninggal dunia.

Hal tersebut berlaku kerana arwah suami kepada wanita berkenaan tidak meletakkan penama di dalam akaun EPF miliknya dan wanita tersebut tidak mempunyai surat kuasa bagi tujuan pengeluaran wang berkenaan.

Walaupun wanita berkenaan mengemukakan sijil kematian suaminya dan surat nikah, namun dokumen tersebut tidak boleh digunakan bagi tujuan pengeluaran wang EPF tersebut kerana sudah menjadi prosedur institusi kewangan itu.



Dokumen seperti sijil kematian tidak boleh digunakan untuk tujuan pengeluaran wang EPF si mati sekiranya tidak mempunyai surat kuasa. Gambar hiasan

"Ini salah satu risiko yang bakal berlaku sekiranya pencarum EPF tidak mengemaskini penama akaun mereka.

"Tahu tak surat kuasa tu apa? Sila ingat ya. Sijil kematian dan permit pengebumian saja tidak laku untuk membuat pentadbiran harta pusaka.

"Berlaku saja kematian dan setelah didaftarkan kematian tersebut, maka terbekulah segala harta dan aset si mati. Jadi, semua institusi kewangan (harta alih) dan pejabat tanah (harta tak alih) akan minta surat kuasa jika waris hendak menuntut harta tersebut," katanya yang sudah dua tahun berkecimpung sebagai perunding takaful.

Jelasnya lagi, penama yang diletakkan di dalam akaun EPF itu juga bukan bermakna individu berkenaan berhak sepenuhnya ke atas tinggalan si mati, sebaliknya dia berperanan sebagai pengurus tadbir.



Asyraf Zakhi sudah dua tahun berkecimpung sebagai perunding takaful.

"Selalu orang ingat, letak penama maka terus penama dapat wang. Tapi sebenarnya, penama ini adalah pengurus tadbir. Ia ada beberapa peringkat proses lain.

"Penama hanya berfungsi sebagai pemegang amanah sahaja. Pembahagian wang EPF tersebut masih perlu dibahagi mengikut faraid atau muafakat waris.

"Jangan meletakkan penama anak-anak yang di bawah umur 18 tahun. Anak-anak tiada kuasa pun nak mentadbir harta tersebut selagi tak berumur 18 tahun.

"Selepas tahu jumlah wang, kena tolak hutang-hutang arwah dulu, dan seterusnya proses mahkamah untuk pembahagian," kata lelaki berusia 30 tahun ini.

Penama hanya berfungsi sebagai pemegang amanah sahaja. Pembahagian wang EPF tersebut masih perlu dibahagi mengikut faraid atau muafakat waris.

ASYRAF ZAKHI

PERUNDING TAKAFUL

Dalam pada itu, Asyraf turut menekan betapa perlunya seseorang ketua keluarga untuk mengambil perlindungan insurans serta pelan hibah (pemberian harta) untuk keluarganya sebagai persediaan awal, tambahan pula jika si isteri merupakan seorang suri rumah sahaja.

"Banyak sebenarnya manfaat hibah ni. Ia boleh digunakan sebagai nafkah oleh isteri dan waris untuk meneruskan kehidupan.

"Ia juga digunakan untuk membantu proses faraid terutama berkaitan dokumentasi dan proses lain, dan ia juga boleh digunakan untuk membantu membayar hutang si mati.



Suami sebagai ketua keluarga perlu membuat persiapan awal untuk ditinggalkan kepada waris sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka. Gambar hiasan.

"Tapi masih ada segelintir yang mempunyai 'mindset' konon kalau ambil hibah, nanti bila dia mati, isterinya boleh bersenang lenang dengan pasangan baru. Sebenarnya, ia untuk kemudahan isteri dia sendiri.

"Senang cerita, semasa hidup ni buatlah perancangan siap-siap ke atas harta kita. Buatlah pelantikan pentadbir harta supaya apabila kita meninggal kelak, harta dapat ditadbir dengan cepat," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain