suria

Bermimpi mengaji sendirian di tempat lapang, jejaka baru peluk Islam akui sukar gambarkan perasaan tatkala pertama kali solat - “Hanya saya di situ”

Iwan memeluk Islam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi di Putrajaya pada Februari 2019.

SETIAP individu ada kisah perjalanan hidup masing-masing.

Begitu juga dengan Harlister Iwan Sate, dari Sibu, Sarawak yang baru sahaja memeluk Islam pada Februari tahun lalu.

Kisah pemuda berusia 23 tahun yang lebih mesra disapa Iwan tular selepas berkongsi kisah hidupnya menerusi sebuah video di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun peluk Islam, apa yang dialami jejaka mualaf ini tidak pernah dijangka... terharu keluarga mentua terima menantu nakal!

ARTIKEL BERKAITAN: Tak percaya agama, peminat Black Metal ini akhirnya peluk Islam, akui apa yang ditemui ketika kaji al-Quran amat mengejutkan!

Bercerita kepada mStar, pegawai pemasaran digital di Marang, Terengganu itu mendedahkan sudah mula berminat dengan Islam seawal usia 12 tahun lagi.

"Masa umur 12 tahun, saya tak kenal Islam lagi. Masa tu saya selalu kena tindih sewaktu tidur. Bila cerita pada datuk saya, dia suruh saya amalkan membaca bismillah.

"Datuk saya seorang Kristian. Mungkin dia tahu pasal kalimah bismillah tu melalui rakannya. Saya cuba amalkan dan ia menjadi. Tiada lagi gangguan.

Iwan berkata, dia mula berminat dengan Islam sejak kecil lagi.

"Dalam tahun sama, saya bermimpi sedang membaca al-Quran di sebuah kawasan yang luas. Hanya saya di situ. Saya tanya ustaz di sekolah, dia suruh saya belajar mengenai Islam," ujarnya kepada mStar.

Ujar Iwan, dia turut mempelajari asas bacaan al-Quran dan menghafal Rukun Iman sewaktu di sekolah menengah.

Malah, dia juga ada membaca buku-buku berkaitan yang dpinjam daripada ustaz di sekolah.

Masa pertama kali sujud, sangat tenang dan sebak. Jadi saya sekali lagi ke Masjid Besi pada Februari 2019 dan peluk Islam di situ.

IWAN

Namun kata Iwan, pembelajaran itu seolah-olah terhenti seketika sewaktu dia menyambung pengajian di peringkat Matrikulasi kerana kesuntukan masa.

"Masuk Matrik, makin jauh dengan Islam, sangat sibuk. Pada 2016 saya masuk Universiti Kebangsaan Malaya (UKM). Pada masa itu ibu bapa suruh saya dalami agama Kristian.

"Saya ambil kelas dan belajar agama sehingga hari Pembaptisan pada April 2017. Selepas itu saya jalani hidup sebagai Kristian, hari Ahad pergi gereja.

"Tapi pada masa sama, saya masih dengar ceramah agama Islam di YouTube. Namun pada September 2018, saya sertai program mobiliti bersama pihak UKM.

"Ada satu slot untuk belajar mengenai solat. Masa tu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi di Putrajaya. Masa kali pertama solat, tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan.

Kata Iwan, sukar untuk dia menggambarkan perasaan tatkala pertama kali menunaikan solat.

"Masa pertama kali sujud, sangat tenang dan sebak. Jadi saya sekali lagi ke Masjid Besi pada Februari 2019 dan peluk Islam di situ," imbas Iwan panjang lebar.

Ujar Iwan, pada mulanya dia mendapat tentangan keluarga, namun kini segalanya berubah dan dia mendapat sokongan penuh.

Mengulas video tular di TikTok, Iwan mengakui tidak sangka ia akan meraih perhatian ramai sehingga meraih 120,000 tontonan.

"Saya nak kongsi perjalanan hidup dan beri inspirasi. Ada kawan-kawan saya nak masuk Islam tapi ada halangan masing-masing.

"Saya juga perlukan sokongan untuk bangkit dan bagi sinar harapan pada kawan-kawan. Alhamdulillah, sekarang saya kerja di Terengganu.

"Rakan sekerja saya budak tahfiz, jadi senang nak belajar dengan dia. Ibaratnya, Allah dah rancang untuk mudahkan perjalanan saya dalam nak mempelajari Islam," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain