suria

Rembat kain batik, baju kelawar bini... ada sebab ‘Spiderman’ lincah berjoget di tepi jalan – “Kalau tak ada yang beli nanti kami down”

Salah seorang penjual bantal berkain batik dan apron sambil memakai topeng Spiderman.

BUKAN di pentas, tapi dua ‘gadis’ bertopengkan adiwira Spiderman menari lenggang-lenggok di tepi jalan.

Seorang berkain batik siap dengan apron, manakala rakannya pula berbaju kelawar sambil masing-masing lincah beraksi dengan memegang sebiji bantal.

Kehadiran mereka ternyata menghiburkan pengguna jalan raya di Shah Alam, mana tidaknya di sebalik topeng Spiderman itu kedua-duanya sebenarnya jejaka yang menjual bantal sambil berjoget.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kembar lincah berjoget 13 tarian tradisi di TikTok, lebih kagum sebab guna lagu moden - "Kami masih dipandang sebelah mata"

ARTIKEL BERKAITAN: Macam Blackpink! Viral pelajar comel buat 'show' eksklusif di sekolah,"Saya hanya berlatih 2 jam"

Salah seorang daripada mereka, Amri Md Zain, 33, berkata, aksi menari tersebut sebenarnya antara taktik mereka untuk menarik perhatian pengguna jalan raya untuk berhenti membeli.



Selain topeng Spiderman, dua jejaka turut memakai topeng Black Panther.

Turut dikenali sebagai Wak Meli, dia memberitahu, dia bersama rakan niaga, Makh Syafarizul Mamat yang juga mesra disapa Pak Maon menjual bantal di tepi jalan sejak 2018.

"Macam-macam cara kami buat untuk berjoget, sebelum ini pernah pakai rambut palsu afro dan kali ini kami tampil kelainan untuk muncul seperti maskot.

"Tapi sebab kekangan masa, jadi kami pakai apa yang ada seperti topeng Spiderman. Saya rembat kain batik isteri dan Pak Maon ambil baju kelawar bini dia," katanya kepada mStar.



Memakai baju kelawar menjual bantal di tepi jalan.

Berniaga di tepi jalan di Kota Kemuning, Shah Alam, Wak Meli berkata, selain topeng Spiderman, sebelum ini mereka pernah memakai topeng Iron Man dan Black Panther.

Beroperasi seawal pukul 10 pagi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, dia menjelaskan bahawa mereka berdua tidaklah berjoget sepanjang masa.

"Setiap kali joget, kami ambil masa kira-kira 30 minit satu sesi. Kami menari tak menentu sebab bergantung kepada kesibukan lalu lintas.

"Kalau banyak kereta lalu lalang, kami menarilah. Tengok juga keadaan cuaca, kalau tengah hari panas tak boleh menari lama-lama nanti cepat letih," ujarnya secara berseloroh.



Wak Meli (kiri) dan rakan niaganya, Pak Maon menjual bantal sejak 2018.

Taktik berjoget berkenaan membuahkan hasil apabila dua pemuda ini mampu mencatatkan jualan paling tinggi sebanyak 120 biji bantal sehari.

Wak Meli dan rakan niaganya yang berusia 34 tahun itu turut menjual bantal secara dalam talian tidak kisah menebalkan diri mereka dengan beraksi lucu sebegitu demi sesuap nasi.

Selagi ada rezeki, hujan atau panas bukan penghalang

WAK MELI

"Kalau tak ada orang beli, nanti rasa down. Jadi, kami tebalkan muka dengan lakukan sesuatu untuk menarik perhatian orang ramai untuk datang membeli.

"Kadang-kadang kami berjoget ikut lagu yang dipasang di kereta sebab ada speaker. Biasanya lagu-lagu dangdut menjadi pilihan sebab senang menari ikut rentak lagu," katanya sambil menambah dia sebelum ini bertugas sebagai pengurus produksi di sebuah syarikat.



Wak Meli (tengah) dan Pak Maon (kanan) bersama seorang lagi usahawan bantal.

Berkongsi pengalaman Wak Meli berkata, keadaan cuaca merupakan cabaran mereka apabila berniaga secara terbuka di tepi jalan terutama ketika hujan.

"Pernah suatu hari, tengah syok berjoget tiba-tiba hujan lebat. Waktu tu pula ada beberapa pelanggan di dalam kereta masing-masing di tepi jalan untuk datang membeli.

"Kami basah kuyup terus layan pelanggan dan ketika itu saja lebih 10 bantal dapat dijual. Bagi kami, selagi ada rezeki, hujan atau panas bukan penghalang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain