suria

Tujuh tahun berlalu, suatu malam anak autisme ajak ibu saudara ke kubur ibunya hanya untuk peluk nisan - “Kenapa umi meninggal?”

Afiq dibawa menziarahi pusara ibunya pada Jumaat lalu.

PERKONGSIAN sekeping foto memaparkan seorang kanak-kanak autisme yang sedang memeluk batu nisan di pusara ibunya mengundang hiba dalam kalangan netizen.

Menurut Fatin Hanani Mohd Fauzai, 28, dia pada Jumaat lalu membawa anak saudaranya, Afiq Akhtar, 11, menziarahi kubur atas permintaan kanak-kanak itu sendiri.

Bercerita lanjut kepada mStar, dia yang mesra disapa Fatin mendedahkan kakaknya yang juga ibu kepada Afiq meninggal dunia dalam satu kemalangan pada 23 Julai 2013.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 tahun meninggal, suami setiap hari ziarah pusara isterinya, beri ‘makanan’ 3 kali sehari untuk balas jasa

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia rindu tapi tak tahu nak cakap” - Sayu... tak pandai kira hari, tapi anak syurga ini tahu rutin ziarah pusara bapanya

"Kakak saya meninggal pada 14 Ramadan tahun 2013. Masa tu dia dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia keluar rumah selepas bersahur, dalam 7.45 pagi dapat berita dia kemalangan.

"Masa tu Afiq umur empat tahun. Adik dia pula umur dua tahun. Dah tujuh tahun berlalu, Afiq, adik dan ayahnya memang menetap bersama keluarga saya di Tumpat, Kelantan," katanya.

Mengenai gambar tersebut, Fatin berkata ia bermula apabila Afiq mengajaknya ke kubur ibunya yang dipanggil umi.

"Malam lagi dia ajak, pagi esoknya selepas bangun tidur, dia dah mandi siap, kami pun pergi ke kubur.

"Saya memang selalu rakam apa dia buat. Pada hari tu dia banyak diam je. Dia pegang batu nisan, peluk batu nisan tu. Jadi saya rakam nak tunjuk pada pada mak ayah saya," ujarnya.

Fatin berkongsi kisah mengenai Afiq menerusi Facebook Autisme Malaysia.

Menurut guru subjek Sejarah itu, Afiq sememangnya suka bertanya mengenai arwah ibunya.

Malah katanya, kanak-kanak itu juga mengalami trauma dan akan menggigil setiap kali melihat kejadian kemalangan sewaktu awal kematian ibunya.

"Afiq ni tak sama macam adik dia. Adik dia memendam perasaan kalau rindu. Afiq kalau ingat, dia akan tanya soalan.

"Dia akan tanya, kenapa umi meninggal? Kenapa umi tak ada? Mana umi abang?

Dia pegang batu nisan, peluk batu nisan tu. Jadi saya rakam nak tunjuk pada pada mak ayah saya.

FATIN HANANI MOHD FAUZAI

GURU/IBU SAUDARA

"Kalau tengok kemalangan masa awal-awal umi dia meninggal, dia trauma, menggigil," kata Fatin.

Menurut Fatin lagi, dia tidak menyangka perkongsiannya di laman Facebook Autisme Malaysia mengenai Afiq akan mencuri perhatian ramai.

Malah, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sayu dan mendoakan Afiq agar terus tabah menjalani hidup tanpa ibunya.

Dedah Fatin lagi, arwah ibu Afiq merupakan kakak sulungnya manakala anak istimewa itu merupakan cucu pertama dalam keluarganya.

Antara komen netizen di laman Facebook.

Tambahnya, biarpun kini dia bertugas di Pulau Pinang, dia sentiasa merindui Afiq dan pasti akan pulang menjenguknya di kampung jika ada kelapangan.

Kata Fatin lagi, Afiq juga merupakan penuntut di sebuah sekolah khas di Kota Bharu dan merupakan seorang kanak-kanak yang ceria.

"Dia seorang yang ceria, suka layan kartun. Saya dah jaga dia dari kecil, begitu juga dengan adik beradik saya yang lain.

"Semua rapat dengan dia. Saya start kerja di Pulau Pinang pada 2016. Ulang-alik ke Kelantan untuk jenguk keluarga dan Afiq," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain