suria

Jawapan “rahsia cikgu” ada kisah di sebaliknya, perkongsian murid Tahun 5 ini undang simpati - “Hari ini giliran adik sebab ada PJ, saya pakai seluar sekolah la”

Posting seorang guru tentang kisah Idan menarik perhatian netizen untuk memberikan bantuan.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Begitulah yang dapat menggambarkan nasib seorang murid Tahun Lima yang terpaksa berkongsi pakaian bersama adik-beradiknya.

Kisah itu meruntun hati netizen setelah ia dikongsi menerusi laman Twitter oleh seorang guru.

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terima duit cikgu, jawapan pelajar ini buat ramai kagum... Neelofa pun - “Dia pernah menangis, tak mahu kecewakan guru”

ARTIKEL BERKAITAN: Biadab! Ibu murid paksa ustazah merangkak... sila tampil ada yang nak bantu - “Jika ustazah tak mampu bayar kos guaman, aku sudi support”

Bercerita kepada mStar, Syafaat Nasir, 29, yang merupakan guru subjek Matematik di sebuah sekolah di Batu Kurau, Perak bertemu dengan murid itu ketika sesi latihan sukan sekolah peringkat daerah pada Isnin lalu.

"Mana seluar sukan kamu?" tanya Syafaat.

"Rahsia, cikgu" jawab murid bernama Mohammad Sharidan Amri atau dikenali sebagai Idan dalam kalangan rakannya.

Jelas Syafaat lagi, dia berasa hairan apabila melihat Idan menghadiri latihan olahraga dengan memakai seluar sekolah.

"Idan beritahu seluar sukannya dikongsi bersama adiknya dan kebetulan hari itu adiknya ada kelas Pendidikan Jasmani (PJ) jadi perlu memakai seluar sukan.

"Kata Idan di pula tak ada kelas PJ, jadi dia berlatih sukan dengan memakai seluar sekolah la," kata Syafaat.

Tambah Syafaat lagi, bukan sahaja kekurangan seluar sukan, malah Idan yang merupakan anak ketujuh daripada sembilan beradik hanya mempunyai dua baju sekolah dan sepasang stokin, manakala seluar sukan dikongsi bersama adiknya yang berusia lapan tahun.

Idan kelihatan gembira ketika dibawa membeli keperluan sekolah.

Ketika ditanya berkenaan posting tersebut, Syafaat memberitahu dia pada mulanya tidak berniat untuk meminta bantuan orang ramai.

"Disaat orang kecoh dengan isu semasa, saya tweet sebab nak beritahu netizen tentang kesusahan pelajar-pelajar di sekolah kampung. Tak sangka pula ramai netizen yang menghulurkan bantuan. Ada yang menyumbang RM100, RM50 dan RM20.

"Saya berasa sangat terharu apabila mereka sedaya upaya ingin menghulurkan bantuan meskipun ada di antara mereka bukanlah orang senang dan hanya mampu memberi dalam jumlah yang kecil," katanya.

Menurut guru itu lagi, hasil sumbangan netizen, selepas tamat latihan olahraga pada tengahari Selasa, dia telah membawa Idan ke kedai untuk membeli seluar sukan dan keperluan lain.

"Saya belikan empat seluar sukan untuk Idan dan adiknya, dua seluar pendek, dua seluar thigh untuk dipakai di dalam seluar pendek, dua baju sekolah dan stokin.

"Wajahnya kelihatan seronok sekali sebaik kami masuk ke kedai," katanya mengenai Idan yang aktif dalam olahraga antaranya lari 100 meter, 200 meter, 4x100 meter dan 4x400 meter.

Hasil keprihatinan netizen dalam menghulurkan sumbangan, Idan dibawa makan ke KFC.

Ada juga netizen yang memberikan wang kepada Syafaat untuk membawa Idan ke KFC.

"Masa tengah makan tu saya tanya dia kenapa simpan ayam lagi seketul tu? Idan beritahu dia nak beri ayam itu kepada adiknya.

"Terus saya belikan lagi dua bungkus untuk Idan bawa pulang ke rumah," katanya.

Guru Matematik itu berkata, lebih kurang enam tahun lalu dia pernah mengajar di sekolah Idan yang terletak di sekitar Batu Kurau, Perak.

"Kira-kira 90 peratus pelajar di situ menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kerana kebanyakannya daripada keluarga kurang berkemampuan.

Masa tengah makan tu saya tanya dia kenapa simpan ayam lagi seketul tu? Idan beritahu saya dia nak beri ayam itu kepada adiknya

SYAFAAT NASIR

GURU

"Bukan Idan seorang sahaja yang mempunyai nasib begini, tapi ramai lagi," ujarnya.

Posting yang mendapat 23,400 retweet (ulang kicau) dan 23,100 tanda suka itu menerima banyak pujian daripada netizen yang bersimpati denga nasib Idan.

"Mulianya awak. Semoga Allah SWT merahmati awak sekeluarga. Niat murni dibalas dengan kebaikan kelak lebih berganda. Terbaik," ujar seorang netizen.

"Alhamdulillah. Semoga pahala berterusan untukk yang memberi derma dan dilimpahkan rezeki juga," ujar pelayar lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Idan, Syafaat, guru, cikgu, sekolah, Perak

Artikel Lain