suria

Hanya bertahan 4 bulan, berat hati nak lepaskan 'Oscar' tapi SPM lebih penting - "Tak banyak karenah, cuma jangan sentuh kepala!"

Iezzana Natashah Norizan bersama ular peliharaannya yang diberi nama Oscar.

SEBUT sahaja ular, pasti ada diantara kita terbayang akan bahaya yang bakal menimpa jika anda dipatuk haiwan berbisa ini.

Jika diberi pilihan, selalunya kucing, arnab atau hamster sering dijadikan haiwan peliharaan dek kerana mudah untuk dijaga dan diuruskan selain tidak berbahaya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak percaya benda karut tu semua” - Gadis ‘moody’ baling senduk tewaskan ular masuk rumah, anak buah selamat

Namun tidak bagi gadis ini apabila dia mempunyai hobi yang sangat unik kerana memilih ular sawa sebagai haiwan peliharaannya.

Tasha bersama Oscar, ular sawa peliharaannya.

Iezzana Natashah Norizan atau mesra disapa Tasha berkata, minatnya terhadap haiwan eksotik ini bermula sejak usianya 10 tahun.

Jelas gadis berusia 16 tahun ini, minatnya tercetus apabila dia sering berkunjung ke rumah rakannya yang turut memelihara haiwan berkenaan.

"Saya ada pergi rumah kawan, sajalah nak main-main. Lepas tu dapat tahu yang abang dia ada bela dua ekor ular. Comel! Dan sejak itulah saya selalu pergi rumah dia semata-mata nak main dengan ular.

"Tapi lama-lama jadi teringin pula sebab jinak sangat. Jadi saya cakaplah dengan abang dia yang saya teringin nak bela. Kemudian dia setuju nak jual, seronok sangat masa tu," katanya ketika dihubungi mStar.

Kongsi Tasha lagi, dia kemudiannya memberitahu ibu dan bapanya tentang perkara tersebut dan meminta izin untuk menjadikan ular sawa jenis ball python itu sebagai haiwan peliharaannya.

Oscar sebenarnya tak banyak karenah, dia jinak. Cuma saya memang dah pesan awal-awal dekat adik kalau nak main, jangan sentuh kepala dia sebab Oscar ni akan jadi agresif

IEZZANA NATASHAH NORIZAN

Pelajar

Namun kata gadis ini, pada mulanya kedua ibu bapanya tidak bersetuju kerana kata mereka hobi tersebut sangat berbahaya.

"Pada Julai lalu saya ada beritahu ibu dan ayah saya teringin nak bela ular lagipun ada abang kawan ni dia nak jual, tapi mereka tak bagi. Mereka cakap bahaya lah...susah nak jagalah. Risau juga kalau apa-apa jadi nanti, tapi saya pujuk juga.

"Mula-mula tu memang susah nak pujuk, lagipun saya kan perempuan itu yang mereka risau. Tapi lama-lama mereka bagi juga saya bela. Terus saya pergi jumpa abang tu cakap saya beli. Abang tu jual dengan harga RM900 siap dengan lesen dia tukar atas nama saya," kongsi Tasha.

Merupakan salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Taha, Negeri Sembilan, Tasha berkata ular sawa tersebut dibeli menggunakan wang simpanannya sendiri dan diberi nama Oscar.

Paparan skrin perbualan Tasha dengan salah seorang pembeli.

Malah tambah pelajar ini, tidak semua orang boleh memelihara haiwan eksotik ini kecuali mereka yang memiliki lesen sahaja.

"Alhamdulillah, sepanjang empat bulan saya jaga Oscar dia sangat jinak dan tak merbahaya. Tambah-tambah nak meragam, memang tidak pernah.

"Asalkan kita cukup bagi dia makan. Macam Oscar, saya akan bekalkan dia sekurang-kurangnya tiga ekor anak ayam (hidup), dalam dua minggu sekali sahaja," ujarnya.

Selain itu, Tasha turut berkongsi bahawa Oscar mempunyai satu titik sensitif dimana dia boleh bertukar menjadi agresif jika disentuh di bahagian kepalanya.

Tasha (kiri) bergambar bersama seorang rakannya dan Oscar.

"Oscar sebenarnya tak banyak karenah, dia jinak. Sebab tu ibu tak kisah kalau saya bela dalam bilik, tapi saya letak dalam akuarium. Adik-adik pun selalu masuk bilik main dengan Oscar. Cuma saya memang dah pesan awal-awal dekat adik kalau nak main, jangan sentuh kepala dia sebab Oscar ni akan jadi agresif," kongsi Tasha.

Bagaimanapun, gadis ini akhirnya bercadang untuk menjual haiwan kesayangannya dengan harga RM700 kerana mahu memberi fokus kepada pelajarannya.

"Walaupun berat sangat hati nak lepaskan Oscar, tapi saya terpaksa sebab tahun depan saya dah nak SPM. Jadi saya nak tumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.

"Lagipun susah kalau nak tinggal rumah lama-lama, nak balik kampung ke sebab nanti tak ada orang nak jaga Oscar. Dan jangan risau, sebab Oscar memang di letakkan microchip dalam badannya. Jadi mudahlah kalau apa-apa berlaku. Misalnya, kalau dia hilang ke, masuk rumah orang ke senang nak kesan nanti," kata Tasha.

Posting yang dimuatnaik oleh Tasha di akaun Twitter miliknya.

Susulan itu, gadis ini memuat naik satu posting di laman Twitter pada Khamis dengan kapsyen, 'hai, saya ada seekor ular ball python ingin dilepaskan. Ular kesayangan ni. Urgent nak pakai duit. Ada lesen dan microchip. Taknak beli tak apa, tolong sebarkan dan beritahu dekat kawan-kawan yang minat'.

Selain itu, posting tersebut turut mendapat perhatian ramai dengan meraih kira-kira 1,900 ulang kicau serta 1,300 tanda suka.

Tambah anak sulung daripada empat beradik ini, setakat ini sudah ramai yang hubunginya untuk membeli Oscar namun belum ada yang serius lagi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ular, peliharaan, gadis

Artikel Lain