suria

Akibat serangan peribadi, mat sado dihentam pemuda albino mangsa buli siber masa siaran langsung TV – “Merah padam muka masa tu... dia tak profesional!”

Shazwan (kiri) dan Azfar semasa bersiaran langsung mengupas isu 'body shaming' di MHI. (Gambar kecil) Shazwan.

ISU buli siber bukan perkara baharu dalam masyarakat hari ini terutama body shaming yang mengaibkan seseorang kerana fizikal atau bentuk badan.

Menerusi satu segmen dalam program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 pada pagi Isnin, tiga tetamu dijemput untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka mengenai isu body shaming.

Ketiga-tiga mereka ialah jejaka sado, Shazwan Zafran; model albino, Azfar Firdaus dan pelakon, Zulin Aziz yang pernah menjadi mangsa body shaming.

ARTIKEL BERKAITAN: Video 25 saat tunjuk six pack bawa padah, pemuda jadi mangsa body shaming – “Perempuan Melayu tak suka orang lain tengok boyfriend mereka”

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara foto six pack, pemuda kaki ‘troll’ disindir tak edit imej pada cermin, “Perut saya kejang sampai terbaring dalam fitting room”

Semasa bersiaran langsung, menerusi topik ‘Hapuskan Sindir Badan, body shaming tak kelakar’, Azfar mengimbas mengenai dirinya pernah diserang di media sosial berikutan satu tweet berunsur ancaman terhadapnya.

(dari kiri) Shazwan, Azfar dan Zulin menjadi tetamu MHI.

Keadaan menjadi tegang apabila Azfar kemudian merujuk Shazwan yang secara kebetulan merupakan individu yang menghantar tweet itu, mengaitkan dirinya dengan artikel mengenai golongan albino yang dikerat untuk ritual sihir.

Body shaming ni, kadang-kadang orang tak sedar daripada jari-jari itu dia rasa invisible tapi kita tak tahu akan berhadapan dengan orang yang kita buli ni in real life, macam nilah,” ujar Azfar sambil merujuk kepada Shazwan hanya mendiamkan diri yang ketika itu duduk di sebelahnya.

Bercakap kepada mStar, Shazwan atau nama sebenarnya Muhammad Shazwan Zafran Abdul Khai kesal dengan tindakan Azfar yang tidak profesional kerana mengaibkan dirinya semasa bersiaran langsung.

“Terus-terang saya kata saya malu sangat, merah padam muka masa tu. Saya akui memang saya salah kerana tweet berkenaan, tapi dia tidak profesional membangkitkan perkara tersebut semasa program TV secara langsung.

“Saya ada jumpa dia sebelum masuk ke set studio, kami ada berbual dan ok saja antara kami. Tapi kenapa masa live jadi lain? Bagi saya, dia buat serangan balas tak profesional,” kata pemuda berusia 22 tahun itu kepada mStar.

Perkongsian di Twitter membabitkan Shazwan dan Azfar.

Malahan, Shazwan memberitahu semasa dijemput untuk menjadi tetamu bagi segmen tersebut, mereka diberi penerangan daripada pihak produksi untuk tidak memalukan atau mengaibkan mana-mana individu lain.

“Tapi, kenapa masa live dia boleh malukan saya? Segmen yang dikupas adalah hapuskan body shaming, maksudnya henti mengaibkan orang tapi dia memalukan saya pula.

“Kalau ada peluang yang kami boleh selesaikan isu ini dengan cara lebih profesional seperti meminta maaf dan mengakui kesilapan masing-masing, saya sedia berbuat demikian,” katanya yang sebelum ini pernah dikecam gara-gara video berdurasi 25 saat menunjukkan badannya yang sado tidak berbaju dan foto disunting pada bahagian perutnya bagi menampakkan six pack.

Shazwan (kiri) dan Azfar kedua-duanya pernah menjadi mangsa body shaming. Foto Shazwan/ihsan Muhammad Shazwan Zafran Abdul Khai, Foto Azfar/instagram azfarovski

Sementara itu, tanpa menyebut nama Shazwan, Azfar menerusi tulisannya di Twitter @azfarovski bagaimanapun menegaskan dia bukan cuba untuk memalukan individu tersebut.

“Saya bukan cuba untuk memalukannya. Saya hanya mahu memberi mesej kepada pembuli siber di luar sana,” katanya yang seolah-olah menggambarkan situasi ‘kena batang hidung sendiri’ apabila berkata sesuatu yang tidak baik terhadap orang lain.

Saya akui memang saya salah kerana tweet berkenaan, tapi dia tidak profesional membangkitkan perkara tersebut semasa program TV secara langsung

SHAZWAN

Menurut Azfar, dia mungkin pernah melakukan kesilapan termasuk berkata sesuatu yang tidak sensitif dan mahu memohon maaf secara terbuka di atas tindakan itu.

“Kalau I buat silap you tegur, kalau you buat silap pun I tegur. Bukan tentang siapa juara tak pernah buat silap, sebaliknya ia mengenai bagaimana kita belajar daripada kesilapan itu, bangkit dan melakukan yang lebih baik.

“Tapi jika saya pernah silap, tegurlah, saya sedia memperbetulkan kesilapan,” katanya.

Antara luahan Azfar menerusi akaun Twitter @azfarovzski susulan menjadi tetamu di MHI.

Mengenai kritikan yang menyifatkan tindakannya itu tidak matang, Azfar menjelaskan ia sekadar menyuarakan kekecewaannya yang lama terpendam.

“Saya marah, saya sedih. Tetapi yang paling penting, saya kecewa. Saya sebak, saya terpaksa berhadapan dengan pembuli yang secara kebetulan di dalam bilik yang sama dengan saya.

“Saya terluka bukan kerana dia serang saya secara fizikal. Kalau dia panggil saya pucat, hodoh... saya tak kisah. Tapi dia secara jelas mengundang orang untuk membahayakan saya. 

“Ia merupakan serangan peribadi kepada semua golongan albino. Dan itu sudah melampau,” tulisnya.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain