suria

Duit ‘hangus’ lebih RM600, bas ekspres buat hal di R&R pagi-pagi buta – “Puas cari pemandu bas tapi tak jumpa”

Seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati dengan sebuah syarikat bas ekspres gara-gara bas milik syarikat itu meninggalkan penumpang di hentian R&R pada awal pagi Jumaat lalu. Kredit Foto: Azizul Thai

“SAYA terpaksa membelanjakan kira-kira RM628 untuk perjalanan dari Perlis ke Kuantan, gara-gara bas yang dinaiki buat hal,” demikian kata seorang lelaki yang meluahkan rasa geram kerana terpaksa melalui pengalaman ‘pahit’ ketika pulang ke kampung halaman, baru-baru ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki yang bernama Azizul Ridhuan Wahid itu berkata, kejadian berkenaan berlaku pada Jumaat lalu ketika dia bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan pulang ke Kuantan untuk menghadiri majlis sambutan hari lahir neneknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul 5 pagi pemandu bas suka hati ‘letak’ penumpang tepi jalan, menapak 2km ke terminal, “Saya beli tiket bas ekspres, bukan bas loceng!” 

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh OKU bisu bersama dua anak kena tinggal bas di stesen minyak, “Dia menjerit-jerit... menangis”

“Pada Jumaat lepas, kira-kira pukul 8.30 malam kami empat beranak tunggu di stesen bas Kangar untuk pulang ke Kuantan. Sepatutnya masa itu bas dah sampai, dah mula rasa pelik tapi tak syak apa sangat.

“Tidak lama selepas itu, kami diberitahu bas rosak, dan sebuah bas ekspres ganti disediakan. Pada pukul 9.30 malam, kami semua bertolak dari Kangar tapi diturunkan di Alor Setar, Kedah sahaja dan kena tunggu lagi.

“Dalam pukul 11.30 malam ketika semua 42 penumpang cukup barulah bas berjalan. Bas kedua tersebut adalah bas persiaran,” katanya.

Azizul berkongsi pengalaman pahit ditinggalkan bas di tepi jalan dalam laman Facebook miliknya.

Menurut Azizul, ketika menaiki bas ganti itu dia fikirkan masalah sudah selesai, namun sangkaannya meleset sama sekali.

Kira-kira pukul 1.30 pagi, bas yang membawa mereka berhenti di hentian Rehat dan Rawat (RnR) Juru dan ketika itulah, masalah sebenar bermula.

“Ketika bas berhenti, saya tersedar kerana ramai-ramai bising mengatakan pemandu bas hilang. Puas kami cari di tandas dan kawasan di sekitar hentian itu, namun tidak menemuinya. Hati dah berasa tidak sedap.

Mengikut kata beberapa penumpang, pemandu bas yang tinggalkan kami di Juru tu tertidur di pondok rehat sementara tunggu bas ganti. Tapi alasannya sangat tak  munasabah. Kami dah cari dia segenap kawasan masa itu. Lagi satu, boleh pula dia tidur tinggalkan kami terkontang kanting?

AZIZUL RIDHUAN WAHID

PENUMPANG

“Menurut salah seorang penumpang,  dia ada bersembang dengan pemandu bas sebelum itu dan diberitahu bas berhenti sebab rosak, namun pemandu bas itu tak ada pula maklumkan ada bas ganti atau tidak.

“Sambil mencari pemandu bas, kami telefon syarikat bas namun tak diangkat. Kami juga telefon polis. Tapi tak juga jumpa pemandu bas itu.

“Hampir lima jam menunggu, kami semua akhirnya keluarkan beg dan barang masing-masing dari bas dan memutuskan untuk bergerak sendiri. Ada yang naik Grab, ada yang jalan kaki ke Butterworth, naya betul. Saya dah belanjakan RM280 untuk beli tiket kami empat beranak, tapi tengoklah perkhidmatan yang diberi,” luahnya.

Penumpang menunggu di hentian R&R Juru hampir lima jam sebelum masing-masing bergerak dengan inisiatif sendiri.

Bercerita lebih lanjut, ahli perniagaan berusia berusia 31 tahun itu berkata, dia kemudian menumpang kenderaan bersama salah seorang penumpang bas yang sama untuk ke stesen bas di Kamunting, Perak.

“Mahu tak mahu saya terpaksa keluarkan lagi RM150 untuk menumpang hingga ke Kamunting. Dari situ, saya beli lagi tiket bas untuk ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), dan harga tiket kira-kira RM108 untuk kami sekeluarga.

“Keesokan pagi ketika sampai di TBS, bas untuk ke Kuantan dah terlepas dan perlu menunggu untuk menaiki trip seterusnya pula. Saya enggan menunggu lebih lama, jadi saya pinjam kereta keluarga mentua untuk ke Kuantan. Kena keluarkan lagi duit minyak dan tol kira-kira RM90.

Antara komen netizen yang turut sama meluahkan rasa geram dengan sikap tidak bertanggungjawab syarikat bas tersebut.

“Bayangkan, daripada RM280 saya sepatutnya belanjakan, tapi lebih RM600 kos terpaksa dikeluarkan, gara-gara sikap tak bertanggungjawab syarikat bas tersebut,” luahnya kesal.

Menurut Azizul, tindakannya memviralkan perkara berkenaan di laman sosial kerana mahu syarikat bas itu bertanggungjawab di atas kesusahan dan kesulitan yang ditanggung penumpang.

“Kami bayar tiket mahal-mahal, tapi ini yang kami dapat. Sudahlah penumpang ditinggalkan di RnR pagi-pagi buta. Kalau apa-apa jadi macam mana?

“Saya dah buat laporan polis di Kuantan pada Isnin, dan sekembali ke Perlis nanti saya akan jumpa syarikat bas tersebut. Sehingga kini langsung tiada apa-apa penjelasan daripada mereka.

“Mengikut kata beberapa penumpang, pemandu bas yang tinggalkan kami di Juru tu tertidur di pondok rehat sementara tunggu bas ganti. Tapi alasannya sangat tak  munasabah. Kami dah cari dia segenap kawasan masa itu. Lagi satu, boleh pula dia tidur tinggalkan kami terkontang kanting?

“Apa yang saya mahu supaya syarikat bas tersebut bayar ganti rugi atas perbelanjaan tambahan yang kami keluarkan. Kalau ditanya serik, memang serik guna perkhidmatan syarikat ini sebab kesian anak-anak kecil. Tapi saya sejak dulu lagi kami naik bas untuk ke Kuantan,” akhirinya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
bas ekspres, Juru, R&R

Artikel Lain